Monday, July 12, 2010

Bersin



Nikmat bersin, bahana menguap tanpa tutup mulut Oleh Ibrahim Abdullah 2010/07/12 ANAS bin Malik RA bercerita, ada dua orang bersin dekat Nabi Muhammad SAW. Baginda mendoakan (tasymit) seorang daripada keduanya, namun tidak mendoakan seorang yang lain. Ditanya alasannya..., Rasulullah menjawab: "Sebab yang seorang mengucapkan 'alhamdulillah', sedangkan yang seorang lagi tidak membacanya." (Hadis riwayat Bukhari).

Jadi orang bersin dan tidak membaca alhamdulillah tidak layak didoakan kerana tidak bersyukur nikmat yang Allah SWT kurniakan. Pada hal bersin termasuk antara nikmat daripada Allah yang manfaatnya sangat besar dan mustajab. Menurut Ibnu Qaiyyim, bersin dapat mengeluarkan wap dari dalam otak yang jika dibiarkan (tidak dimanfaatkan) akan berbahaya. (Kitab Zadul Ma'ad).

Bersin adalah mekanisme pertahanan tubuh untuk mencegah masuknya zat luar ke dalam tubuh. Ketika bersin, udara kotor keluar dengan keras melalui hidung dan mulut berkecepatan sekitar 161 kilometer/jam. Dr Michael Roizen, pegawai kesihatan Cleveland Clinics menegaskan, bersin kegiatan positif kerana berfungsi membersihkan faring (rongga antara hidung, mulut, dan tenggorakan).

Dalam Syarh Riyadhus Salihin, Syeikh Usaimin mengutarakan, bersin dapat menggiatkan otak dan meringankan tubuh. Untuk itulah, setelah bersin, dengan membaca hamdalah, sebagai bukti bersyukur kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika seorang di antara kamu bersin, ucapkanlah ‘alhamdulillah’ (segala puji bagi Allah). Di samping itu orang yang mendengarnya mendoakan dengan ucapan ‘yarhamukallah’ (semoga Allah merahmatimu), orang yang bersin tadi membaca doa ‘yahdikumullahu wa yusilhu balakum’ (semoga Allah memberikan hidayah dan memperbaiki keadaanmu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Bacaan hamdalah adalah doa paling utama. Imam al-Sindi menyatakan, hamdalah mengandungi pengertian dua jenis (fungsi) doa, iaitu menyanjung dan mengingat Allah SWT (zikir), serta mengajukan permohonan agar nikmat ditambah.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails