Friday, July 23, 2010

HAK HADHONAH


Soalan; Assalamuailaikum. Kakak saya baru meninggal 3 minggu yg lepas. Arwah meninggalkan 4 orang anak yang masih kecik berumur 13 tahun, 11 tahun , 7 tahun dan 3 tahun. Saya ingin bertanya siapa kah yang patut mengambil alih tugas menjaga anak-anaknya. Adakah suami dan ahli keluarga suaminya yg lebih berhak atau kami ahli keluarga arwah.? Sekian terima kasih

Jawapan;

1) Soalan di atas berkait dengan hak hadhonah. Hak hadhonah bermaksud; hak untuk memelihara anak yang belum mumayyiz[1] dan belum boleh berdikari, menjaga urusannya, mendidik dan memastikan pertumbuhannya –jasmani, jiwa dan akal- hinggalah ia mencapai umur dapat membezakan antara yang memberi manfaat dan mendatangkan mudarat dan dapat mengurus sendiri kehidupannya.[2]

2) Anak dalam peringkat belum mumayyiz dan belum mampu berdikari itu (–sama ada lelaki atau perempuan-), orang yang paling berhak menjaga dan menguruskan kehidupannya ialah dua ibu-bapanya jika mereka masih bersama dalam ikatan perkahwinan. Jika mereka telah berpisah –sama ada kerana kematian bapa atau berlaku penceraian-, maka hak tersebut pergi kepada ibu dengan sepakat para ulamak berdalilkan hadis dari ‘Abdullah bin ‘Amru r.a. yang menceritakan; “Seorang wanita mengadu kepada Nabi s.a.w.; “Wahai Rasulullah, anakku ini dulu perutku ini adalah bekasnya, jagaanku adalah tempat berlindungnya dan kantung susuku ini adalah minumannya. Sekarang bapanya ingin merampasnya dariku”. Nabi berkata; “Kamu lebih berhak menjaganya selagi kamu belum kahwin lain””. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi dan al-Hakim).[3]

3) Jika ibu enggan menjaga anak itu, atau ibu mati, atau ibu tidak memenuhi syarat (yang akan disebutkan nanti), hak hadhonah itu akan berpindah kepada orang lain. Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam menentukan siapa yang paling berhak ke atas hak hadhonah selepas ibu, namun mereka sepakat bahawa ahli keluarga si anak dari kalangan wanita didahulukan dari kalangan lelaki. Mengikut pandangan jumhur ulamak; orang yang paling berhak selepas ibu ialah nenek sebelah ibu (yakni ibu kepada ibu). Selepas nenek sebelah ibu itu, berlaku lagi khilaf di kalangan ulamak; siapa yang lebih layak? Ada yang berkata; bapa (iaitulah mengikut pandangan mazhab Syafi’ie dan Hanbali). Ada yang berkata; nenek sebelah bapa (mengikut mazhab Hanafi). Ada yang berkata; emak saudara sebelah ibu (mengikut mazhab Maliki).

4) Menurut mazhab Syafi’ie; senarai lengkap orang-orang yang berhak terhadap hadhonah tersebut menurut urutan keutamaan ialah seperti berikut;[4]
a) Ibu
b) Nenek-nenek sebelah ibu
c) Bapa
d) Nenek-nenek sebelah bapa
e) Datuk
f) Nenek-nenek sebelah datuk
g) Saudara-saudara perempuan seibu-sebapa
h) Saudara-saudara lelaki seibu-sebapa
i) Saudara-saudara lelaki sebapa
j) Saudara-saudara lelaki seibu
k) Ibu-ibu saudara sebelah ibu
l) Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu-sebapa (anak saudara perempuan)
m) Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa (anak saudara)
n) Anak perempuan kepada saudara lelaki sebapa (anak saudara)
o) Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa (anak saudara)
p) Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu (anak saudara)
q) Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu (anak saudara)
r) Ibu-ibu saudara sebelah bapa.
s) Bapa-bapa saudara sebelah bapa
t) Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah ibu (sepupu)
u) Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa (sepupu)
v) Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa (sepupu)

5) Sekalipun seseorang itu dari segi urutan adalah layak, namun hak hadhonah tidak boleh diberikan kepadanya melainkan apabila ia memiliki syarat-syarat untuk menjadi pengasuh yang telah ditetapkan Syarak. Ada enam syarat semuanya, iaitu;
a) Berakal
b) Baligh
c) Mempunyai kemampuan (mental, fizikal dan masa) untuk bemberi khidmat kepada anak kecil, mendidik dan mengasuhnya. Jika tiada kemampuan seperti buta, sakit teruk, sakit berjangkit (yang dikhuatiri menjangkiti anak kecil) dan sebagainya gugurlah hak jagaan.
d) Amanah iaitu mempunyai akhlak yang baik. Jika berakhlak buruk, jahat, cuai terhadap tugas rumah-tangga, banyak meninggalkan rumah di mana dibimbangi akan terabainya anak kecil dan membahayakannya, gugurlah hak jagaan.
e) Seorang muslimah.[5] Tidak ada hak jagaan bagi wanita kafir kerana jagaan/hadhanah adalah penguasaan dan tidak harus penguasaan orang kafir ke atas orang Islam sebagaimana firman Allah (bermaksud); “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman” (Surah an-Nisa’, ayat 141)
f) Ibu tidak berkahwin lain. Jika ibu berkahwin lain, gugurlah hak jagaan darinya. Ini berdasarkan hadis tadi; “Kamu lebih berhak menjaganya selagi kamu belum kahwin lain”. Sebahagian ulamak mengecualikan jika ia berkahwin dengan lelaki yang ada hubungan keluarga dengan si anak (seperti berkahwin dengan bapa saudara si anak), maka tidak hilang hak hadhonah tersebut.

Jika gugur satu syarat dari syarat-syarat di atas, akan hilang kelayakan untuk menjaga dan berpindah kepada orang lain mengikut urutan tadi.

6) Sepanjang tempoh hadhonah, siapa yang akan menanggung nafkahnya (termasuk kos hadhonah)? Ia ditanggung dari harta anak itu sendiri jika ia memiliki harta (seperti ibunya yang mati ada meninggalkan harta yang diwarisinya). Jika ia tidak memiliki harta, wajib dibiayai oleh orang yang wajib menanggung nafkahnya iaitu bapa atau datuk (jika bapa tidak ada) atau pihak berikutnya.

7) Bila tempoh hadhonah itu akan tamat? Tempoh hadhonah berakhir apabila anak tidak lagi perlu kepada khidmat jagaan yakni ia dapat melakukan sendiri keperluan-keperluan asasnya iaitu makan, memakai pakaian dan membersih diri.[6] Ia tidaklah ditentukan had masa atau umur tertentu. Namun mazhab Hanafi memberi fatwa; hak hadhonah berakhir bila anak berumur tujuh tahun bagi anak lelaki, bagi anak perempuan; sembilan tahun.

8) Selepas tamat tempoh hadhonah,[7] kepada siapa anak akan diserahkan? Menjawab persoalan ini, para ulamak khilaf juga;
a) Menurut mazhab Hanafi; diserahkan kepada bapa
b) Menurut mazhab Syafi’ie; hendaklah diserahkan kepada si anak untuk memilih bapa atau ibunya, atau memilih bapa atau orang yang mengambil tempat ibunya.
c) Menurut mazhab Hanbali; jika anak adalah lelaki, disuruh pilih. Namun jika anak adalah perempuan, hendaklah diserahkan kepada bapa untuk menjaganya hinggalah ia baligh dan dikahwinkan. [8]

9) Apabila berlaku pertikaian di antara bapa dan ahli keluarga lain yang berebut hak hadhonah, wajiblah pertikaian itu dirujuk kepada mahkamah Syari’ah untuk mendapatkan penyelesaiannya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 2/161-169.
2. Ahkam al-Aulad, Zakaria Ahmad al-Barri, hlm. 39.
3. Fatwa dalam laman Fatawa Asy-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), no. 6256 dan no. 102206.
4. Al-Fiqh as-Syafi’ie (Qism al-Ahwal al-Syakhsiyyah), Dr. Muhammad Sa’id al-Mujahid, hlm. 142.

Nota hujung;

[1] Yakni anak yang berada di peringkat awal umur. (Ahkam al-Aulad, Zakaria Ahmad al-Barri, hlm. 39).
[2] Al-Fiqh al-Wadhih dan Ahkam al-Aulad.
[3] Imam as-Syaukani menjelaskan dalam Nailul-Autar; Hadis ini menjadi dalil bahawa ibu lebih utama dari bapa terhadap jagaan anak selama tidak ada sebarang tegahan dari hak tersebut umpamanya apabila ia berkahwin kerana Rasulullah mengikat hak tersebut dengan ucapannya “Selama kamu belum berkahwin lain”. Inilah pandangan Imam Malik, ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan ulamak-ulamak mazhab Abu Hanifah. Menurut laporan Imam Ibnu al-Munzir; para ulamak telah ijmak dalam hokum tersebut. Imam Abu Hanifah menyuarat pendapat; jika ia bernikah dengan lelaki yang ada hubungan mahram dengan anak yang dijaga tidak gugur hak jagaan itu. Namun Imam Syafi’ie berpendapat; gugur secara keseluruhannya kerana nas tadi tidak membezakannya. (Dinaqal dari ‘Aunul-Ma’bud).
[4] Al-Fiqh as-Syafi’ie (Qism al-Ahwal al-Syakhsiyyah), Dr. Muhammad Sa’id al-Mujahid, hlm. 142.
[5] Itu adalah pandangan jumhur ulamak. Namun , mazhab Hanafi, Ibnul-Qasim dari mazhab Malik dan Abu Tsur berpendapat; hak jagaan adalah sabit bagi seorang wanita kafir sekalipun ia masih kafir dan anaknya Islam, kerana menurut mereka jagaan/hadhobah tidak lebih dari sekadar penyusuan dan khidmat dan keduanya harus dilakukan oleh wanita kafir asalkan bukan murtad. Adapun wanita murtad hilang hak jagaan hinggalah ia bertaubat dan kembali kepada Islam, maka kembalilah hak jagaan untuknya.
[6] Ahkam al-Aulad, hlm. 44.
[7] Jagaan selepas tempoh hadhonah tidak lagi disebut sebagai hadhonah (asuhan), tetapi dengan istilah kafalah (tanggungan). Kafalah; ialah tempoh jagaan selepas hadhonah hingga umur baligh. (Lihat; al-Fiqh as-Syafi’ie (Qism al-Ahwal al-Syakhsiyah), Dr. Muhammad Sa’id al-Mujahid, hlm. 140.
[8] Mengikut fatwa dalam laman Asy-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), pandangan mazhab Hanbali inilah yang ditarjihkan dengan dikecualikan jika bapa adalah seorang fasik, maka tidaklah diserahkan kepadanya. (lihat fatwa no. 6256).

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails