Dunia kampus hari ini, adalah suatu bentuk alam pendidikan yang begitu ‘meriah’ dengan pelbagai macam karenah mahasiswanya mengatur langkah menuju masa depan masing-masing. Ada yang benar-benar menumpu kepada studi yang hanya berdasarkan silibus yang diberi. Ada juga yang sering mengabaikan tanggungjawab studi yang diberikan itu dan menggantikannya dengan hal-hal yang tidak berfaedah. Dan, ada juga yang menyeimbangkan di antara studi dengan kerja-kerja pencarian ilmu yang lain di samping ilmu yang sememangnya daripada silibus pelajaran.
Di dalam perjalanan hidup yang penuh ujian dan cacamerba ini, hendaklah kiranya para mahasiswa memanfaatkan masa remaja mereka untuk menimba ilmu sebanyak mungkin yang termampu. Tidak hanya terhad kepada ilmu ekonomi, perbankkan, bahasa, sastera, sains dan teknologi, bahkan ilmu yang paling asas yang menjadi prinsip kepada kehidupan kita iaitu ilmu yang membina agama dan manhaj kehidupan insan yang sejahtera. Yang mana seterusnya dengan ilmu itulah kita dipandu untuk beramal dengan ilmu-ilmu yang lainnya.
Masyarakat mahasiswa hari ini perlu dicelikkan semula kepada kepentingan ilmu-ilmu dan amalan-amalan berlandaskan al-Qur’an dan Sunnah yang sejahtera. Ini kerana bukan sahaja akhlak dan amalan sahih Islami yang semakin menghilang, malahan prinsip aqidah Islamiyah juga semakin pudar dari dalam jiwa mahasiswa.
"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (az-Zumar (39): 9)
Ini terbukti dari beberapa tinjauan saya terhadap rakan-rakan terdekat terhadap asas aqidah Islami yang sejahtera.
Saya pernah bertanya, “Eh, benarkah Allah itu wujud, apa buktinya?” Saya juga pernah mengutarakan persoalan Allah di mana. “Jika benar Allah itu wujud, di manakah Allah?” Daripada dua soalan ini sahaja masih ramai yang gagal menjawabnya dan ada yang hanya menghentam sahaja untuk mengemukakan jawapan berdasarkan akal semata.
Lalu terhasillah bermacam jawaban yang mengatakan bahawa ‘Allah itu berada di mana-mana...’ Ada pula yang mengatakan ‘Allah itu tidak bertempat’ dan sebagainya. Tidak kurang ramai juga yang menjawab dengan kalimah ‘tidak tahu’ dan ‘saya tidak pasti’. Dan hanya beberapa individu sahaja yang mampu menjawab Allah itu di langit. Allah itu di ‘arsy dan Allah itu memiliki kursi dengan menyertakan beberapa dalil al-Qur’an dan hadis. Selanjutnya, bukankah fenomena ini amat menyedihkan sekali bagi kita yang memahami? Betapa rapuhnya jati diri dan pemahaman asas kita dalam mengenali Rabbul ‘alamiin..
Daripada dua soalan itu sahaja, sudah membuktikan keadaan mereka kepada kita yang betapa nipisnya asas Islami mereka dalam mengenali Allah. Tidak hairanlah jika begitu ramai umat Islam diberitakan murtad jika asas utama aqidah ini sahaja mereka sudah tidak mampu merungkaikannya. Belum lagi ditanya hakikat pemahaman rukun iman dan sebagainya.
Tidak hairanlah jika dengan mudah sahaja mereka mengabaikan amalan-amalan islami yang samaada fardhu ataupun yang sunat. Lalu mudah-mudah sahaja menggantikannya dengan amalan-amalan yang di luar konteks Islami. Mereka tidak lagi mengenali apa itu peranan al-Qur’an dan as-sunnah (hadis) dengan sempurna. Bahkan lebih malang, ada sebahagian kecil di antara kita yang hanya mengenali al-Qur’an hanya sebagai bahan bacaan yang untuk dilagukan lalu mengabaikan apakah maksud dan tujuan sebenar penurunan al-Qur’an yang sebenarnya. Mereka melupakan bahawa al-Qur’an itu sebagai petunjuk atau manual kehidupan insan. Bila ditanya pula apakah itu hadis, mereka tidak mampu menjawabnya. Jadi, dengan asas apakah mereka mendirikan jati diri dan amalan Islami sebenarnya? Islam bukanlah adat dan warisan. Islam itu adalah agama dan petunjuk bagi setiap insan yang wujud. Ia perlu difahami dengan sebaik-baiknya bagi menjamin ketulenan amalan dan i’tiqad kita.
“(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa.” (Ali ‘Imran (3): 138)
Memang logiklah jika mereka mudah terikut-ikut dengan budaya dan fahaman-fahaman yang menyeleweng di sekitar mereka. Mengagungkan perkara-perkara yang jelas sia-sia melebihi menuju kepada mengingati Allah seterusnya mentahidkan Allah berdasarkan asas yang sebenar. Inilah sebenarnya natijah dan akibat daripada pemahaman Islam yang amat cetek dan diambil secara sambil lewa, lalu mengabaikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai landasan penilaian hidup insani yang tulen.
No comments:
Post a Comment