Soalan; Assalamualaikum Ustaz..Saya ada pertanyaan..Apakah hukum bagi seorang lelaki memakai jam tangan yang disadurkan dengan emas? Sekian, terima kasih.
Jawapan;
1. Terdapat larangan yang jelas dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- terhdaap orang lelaki memakai perhiasan dari emas. Sabda Nabi (bermaksud); “Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka” (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Musa al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).
Oleh itu, jam yang dibuat dari emas haram lelaki memakainya.[1] Begitu juga, jam yang bukan keseluruhannya dari emas, akan tetapi terdapat bahagian tertentu dibuat dari emas –seperti jarumnya, lingkungan mukanya, tangannya atau sebagainya- juga diharamkan lelaki memakainya kerana ia juga termasuk dalam makna menjadikan emas sebagai perhiasan.[2]
2. Adapun jam yang bersalut emas; jika salutan emas itu adalah tiruan (yakni bukan emas, tetapi air emas atau bahan lain yang berwarna seperti emas), tidaklah dilarang. Namun jika salutan itu sememangnya emas (yakni jam yang dibuat dari logam lain, kemudian disalut dengan lapisan emas di luarnya), para ulamak berbeza pandangan;
a) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Syafiie); jika salutan emas itu banyak, ia adalah haram dipakai oleh lelaki. Jika ia sedikit, tidak haram memakainya, akan tetapi makruh. Ukuran untuk menentukan banyak atau sedikit ialah; jika emas itu masih dapat dipisahkan dari logam yang disalutinya –dengan cara peleburan, pengikisan atau seumpamanya-, ia dianggap banyak. Jika sudah tidak dapat dipisahkan –dengan apa cara sekalipun-, ia dikira sedikit.[3]
b) Menurut mazhab Hanbali; diharamkan memakainya sama ada salutan emas banyak atau sedikit, sama ada emas itu dapat dipisahkan atau tidak lagi dapat dipisahkan, kerana larangan Nabi dalam hadis tadi adalah umum merangkumi pengertian emas secara amnya (tanpa diikat dengan sedikit atau banyak). (al-Insaf, 1/478)
Tindakan terbaik ialah kita tidak memakainya kerana jumhur ulamak yang mengharuskannya tadi mereka mengharuskannya dengan hukum makruh (yakni sekalipun tidak haram memakainya, akan tetapi makruh). Lagipun apabila terdapat khilaf di kalangan ulamak, jika kita dapat mengambil jalan untuk lari dari khilaf (dengan tidak melakukannya), itulah tindakan terbaik.
Wallahu a’lam.
Nota;
[1] Begitu juga, diharamkan ke atas kanak-kanak. Namun oleh kerana kanak-kanak belum mukallaf, yang menanggung dosa ialah orang yang memakaikan kepadanya sama ada ibunya, bapanya atau sebagainya. (Lihat; Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah).
[2]-Pemakaian emas oleh lelaki hanya harus ketika darurat sahaja seperti untuk menampung kecacatan di badan seperti membuat hidung palsu, gigi (termasuk mengikat gigi), hujung jari dan sebagainya jika tidak ada logam lain dapat menggantinya. Harus juga menggunakan perak. (lihat; al-Majmu’, 1/256, 6/38. Lihat juga; Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 348).
-Menurut ulamak; Termasuk yang dilarang ialah menjadikan emas sebagai bahan penampal, tampungan atau pengikat kepada bekas sama ada kerana keperluan (seperti menampung bekas yang pecah) atau kerana perhiasan. Ia diharamkan sama ada kadar emas itu banyak atau sedikit. Hanya diharuskan tampalan/tampungan itu ialah dengan perak, itupun untuk keperluan, bukan untuk perhiasan. Kadarnya hendaklah sedikit sahaja, tidak banyak. Menurut mazhab Syafiie; menampung bekas dengan perak, jika sedikit kadar tampungan itu dan dibuat kerana keperluan, tidaklah makruh (yakni harus). Jika dibuat untuk perhiasan, makruh. Jika kadar tampungan banyak, jika kerana ada keperluan, hukumnya makruh, dan jika kerana perhiasan (bukan keperluan), hukumnya haram. Adapun dengan emas, hukumnya haram sama ada kerana keperluan atau perhiasan, sedikit kadar emasnya atau banyak. (Lihat; al-Majmu’, 1/254, bab al-Aniyah).
[3] Tidak diharamkan memakainya kerana dengan kadar emas yang sedikit itu (dan tidak dapat dipisahkan lagi), ia seolah-olah tidak wujud melainkan warnanya sahaja yang masih tinggal. Menurut pandangan yang paling soheh; tidak diambil perkiraan lagi bagi suatu yang tidak tinggal darinya melainkan warna sahaja (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 369).
Rujukan;
1. Fiqh al-Albisan wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 369.
2. Al-Inshaf Fi Ma'rifati ar-Rajih Minal-Khilaf, Syeikh Alauddin Ali bin Sulaiman al-Mardawi, 1/478.
3. Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah.
4. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/254 (bab al-Aniyah), 6/38 (Kitab az-Zakah, bab Nisab az-Zahab wa al-Fiddah..).
ZAKAT PERNIAGAAN IBU TUNGGAL
Soalan; Assalamualaikum w.b.t Tuan, Saya hamba yang kurang pengetahuan ini ada satu persoalan yang saya inginkan penjelasan. Adakah seorang ibu tunggal (telah kematian suami) yang meniaga sendiri untuk menyara keluarganya dan katakanlah telah mendapat keuntungan bersih hasil perniagaannya berjumlah RM10,000.00 setahun, wajib untuk membayar zakat perniagaannya sedangkan dia yang mempunyai 5 orang anak dimana 2 daripadanya telah bekerja (cukup untuk menyara diri sendiri) manakala 3 darinya masih menuntut (seorang di Universiti Awam, seorang di Matrikulasi Kerajaan dan seorang lagi masih belajar di tingkatan 4). Harap dapat dibantu. Terima Kasih.
Jawapan;
1. Zakat wajib dikeluarkan apabila seorang itu kaya. Dalam hadis yang menceritakan Nabi menghantar Muaz ke Yaman untuk menjadi Gabenor, antara yang dipesan Nabi kepadanya ialah; "Apabila mereka telah patuh kewajipan Solat lima waktu, beritahu pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah (yakni zakat) iaitu dipungut dari orang-orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka" (HR Imam Muslim dari Ibnu 'Abbas). Kewajipan zakat ini tidak terkecuali dari sesiapapun asalkan harta yang dimiliki adalah milik sempurna dan memenuhi syarat-syarat diwajibkan zakat, termasuklah harta anak yatim, ibu tunggal atau sebagainya.
Maksud kaya dalam istilah Syariat bukan bermaksud seorang itu mempunyai simpanan wang berjuta, beratus ribu atau puluhan ribu. Jika seseorang mempunyai lebihan wang setelah ditolak keperluan asas dirinya dan keluarganya dan lebihan itu menyamai atau melebihi nisab yang ditetapkan (yakni kadar minima pemilikan harta yang mewajibkan zakat), ia dianggap kaya di sisi Syariat dan wajiblah mengeluarkan zakat. Jika ia tidak mempunyai lebihan atau lebihan yang ada tidak sampai nisab yang ditetapkan, ia tidak dianggap kaya dan tidak wajib zakat.
2. Bagi zakat perniagaan, wajib dikeluarkan zakat apabila harta perniagaan yang dimiliki mencukupi nisab yang ditetapkan Syariat iaitu nilai semasa 85 gram emas. Zakat dikeluarkan setelah ditolak keperluan diri dan keluarga (termasuk kos pengajian anak-anak). Jika lebihan setelah ditolak belanja keperluan mencapai nisab, barulah diwajibkan zakat. Ikut langkah-langkah berikut untuk mengira zakat;
1. Tetapkan tarikh hitungan zakat bagi setiap tahun. Contoh; 1 Ramadhan atau 1 Muharram atau sebagainya. Ini kerana zakat perniagaan hanya wajib sekali sahaja pada setiap tahun.
2. Bila tiba tarikh tersebut, buat perkiraan terhadap semua barang-barang perniagaan yang ada di kedai atau di stor simpanan.* Hitung dalam nilai wang. Kemudian campurkan nilai itu dengan wang yang ada dalam tangan dan dalam simpanan (di bank dan sebagainya).
3. Tolak hutang semasa sama ada hutang perniagaan atau hutang keperluan hidup.
4. Tolak kos keperluan hidup semasa merangkumi untuk diri dan keluarga.
5. Setelah itu, perhatikan berapa yang berbaki. Jika baki sampai nisab tadi (nilai semasa 85 gram emas), wajiblah dikeluarkan zakat ke atas baki tadi iaitu sebanyak 2.5% sahaja. Jika tak sampai, tak wajiblah zakat.
(*Perlu diketahui; yang perlu dihitung ialah barang-barang perniagaan sahaja. Adapun aset-aset yang tidak diperniagaankan seperti kerusi-meja, perabot, komputer, mesin-mesin dan sebagainya, tidaklah termasuk dalam hitungan).
3. Mengeluarkan zakat banyak hikmah dan kebaikannua. Selain melaksanakan kewajipan kita sebagai hamba Allah, ia menjadi simpanan pahala untuk kita di akhirat, membersihkan harta dan mengundang keberkatan kepada harta. Harta yang dikeluarkan zakat, harta itu akan semakin bertambah, Insya Allah.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment