Thursday, March 24, 2011

Kebangkitan rakyat masuki pusingan baru

19 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Revolusi kebangkitan rakyat di Bahrain memasuki pusingan baru apabila tentera Saudi Arabia berjumlah 1,000 orang anggota yang lengkap dengan kenderaan tentera termasuk kereta perisai dan lain-lain kelengkapan ketenteraan dan peralatan perang memasuki Manama, ibu kota Bahrain Isnin lalu bersama dengan 500 orang pegawai dan tentera Emariah Arab Bersatu (UEA).

Kehadiran ketumbukan tentera seramai 1,500 orang anggota itu adalah atas jemputan Raja Bahrian sebagai sebahagian dari bantuan ketenteraan dari negara anggota Majlis Negara-Negara Teluk (GCC) untuk menyelamatkan regim Bahrain yang sedang menghadapi revolusi kebangkitan rakyat.

Rakyat mendesak dilakukan reformasi politik,ekonomi dan sosial meliputi soal kebebasan, ketelusan, menentang rasuah dan akhirnya menukar regim beraja yang memerintah Bahrain beratus-ratus tahun lamanya.

Dari satu kebangkitan masyarakat sivil rakyat secara aman menyarupai kebangkitan di Tunisia dan Mesir, kebangkitan di Bahrain bertukar menjadi ganas apabila regim diraja terus mempertahankan kelangsungan regimnya.

Kebangkitan rakyat telah berlangsung sejak berminggu-minggu lalu dan konsesi yang ditawarkan oleh regim Bahrain untuk berdailog dan melakukan reformasi telah tidak disahut oleh penganjur-penganjur demonstrasi yang mahu menukar regim yang ada.

Sebaik sahaja tentera Saudi dan UEA memasuki Bahrain, regim beraja Bahrain melakukan penggelidahan dan pembersihan terhadap para demonstran dan menyuraikan mereka yang berkumpul di Bulatan Mutiara dengan kekerasan. Ramai yang terkorban dan cedera dalam kempen kekerasan yang dilakukan.

Bahrain sebuah negara kecil bukan sahaja dari segi saiznya, tetapi juga penduduknya. Ia unik kerana raja pemerintah adalah dari kalangan sunni sementara 70 peratus penduduknya terdiri dari penduduk Syiah. Pihak Amerika Syarikat (AS) dan barat meuar-uarkan bahawa kebangkitan ini adalah kebangkitan rakyat syiah yang tidak berpuashati kerana mereka sentiasa dipinggirkan termasuk dalam penentuan dasar negara.

Bagaimana pun mereka yang berdemonstrasi terdiri dari kalangan Syiah dan Sunni. Tidak terdapat pertentangan terbuka antara kedua kalangan itu yang telah hidup saling mengerti selama ini.

Kandatipun demikian,kebangkitan di Bahrain ini berbeza sedikit dengan kebangkitan di jazerah Arab yang lain seperti di Yaman, Libya dan di wilayah-wilayah lain termasuk di Tunisia dan Mesir yang menyaksikan tumbangnya dua regim diktator Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir.

Perbezaan nya kerana di Bahrain majoriti rakyat adalah penganut syiah walaupun dinegara-negara Arab dan Teluk yang lain penganut syiah juga ramai,tetapi Bahrain dalam konteks Saudi adalah negara penimbal bagi Saudi Arabia. Saudi tidak mahu melihat kebangkitan yang melanda jazerah Arab ini tiba di Riyadh dan kehadiran tentera Saudi adalah dalam usaha untuk membendungnya.

Di Bahrain terdapat pengkalan tentera laut AS dan di Saudi Arabia pula terdapat kem tentera AS. Kehadiran tentera AS ini adalah dalam skima lebih besar dan luas dalam percaturan dirantau Timur Tengah dan Asia Barat itu.

Negara Repablik Islam Iran selepas revolusi 1979 yang menyaksikan kejatuhan dinesti Shah Pahlavi dianggap sebagai satu ancaman kepada negara-negara serantau. Sehingga kini Iran dianggap sebagai negara musuh oleh AS dan barat.

Percaturan untuk berebut menjadi kuasa serantau antara Iran dan Saudi Arabia berterusan sejak revolusi Iran sehingga kini dan dalam konteks itulah tentera Saudi dan UEA memasuki Bahrain bagi membendung pengaruh Iran kerana majoriti rakyat Bahrain terdiri dari penganut Syiah. Jika sekiranya berlaku konflik antara Sunni dan Syiah yang memang diadu-domba oleh AS dan barat,rantau yang bergolak itu akan menyaksikan konflik yang berskala besar. Diharapkan tidak akan berlaku pertembungan sia-sia ini.

Kehadiran tentera Saudi di Bahrain telah mendapat persetujuan AS dan barat. AS mensifatkan kehadiran tentera Saudi bukanlah satu penaklukan atau penjajahan. Ia menepati kerjasama negara anggota GCC. Iran telah membantah kehadiran tentera Saudi di Bahrain yang bertujuan untuk membendung kebangkitan rakyat Bahrain. Iran menafikan penglibatan negara itu dimana-mana jua, walaupun rakyat Bahrain dan kebanyakan negara Arab lain termasuk Iraq mempunyai penduduk majoriti penganut Syiah.

Saudi dan UAE menjadi proksi AS dan barat dalam menyelamatkan regim Bahrain. AS mempunyai kepentingan yang besar dirantau itu dengan kehadiran armada keenamnya. AS tidak berupaya membiarkan kebangkitan di Bahrain berterusan,walaupun retorik AS sentiasa menyatakan rakyat dinegara-negara Arab berhak untuk berdemonstrasi secara aman; mendesak dilakukan reformasi politik dan menyokong kebangkitan pro demokrasi.

Dengan bantuan ketenteraan Saudi yang disokong oleh AS dan barat, kebangkitan rakyat di Bahrain dijangka akan dibendung dengan cara kekerasaan, tetapi rakyat yang bangkit menyatakan iltizam mereka untuk meneruskan kebangkitan. Kini kebangkitan di Bahrain telah memakan korban lebih ramai.

Bagi Saudi membendung dan sekaligus menumpaskan kebangkitan di Bahrain berkait rapat dengan menumpaskan kebangkitan yang mula mengambil tempat di timur Saudi yang juga majoriti penduduknya merupakan penganut Syiah. Setakat ini Saudi dengan kerasnya dapat membendung kebangkitan di timur negaranya,tetapi apakah ia mampu menumpaskannya sekaligus.

Pendekatan regim-regim yang dilanda kebangkitan revolusi rakyat berbeza antara satu negara dengan satu negara yang lain. Selepas kejatuhan Ben Ali dan Mubarak, regim-regim ini mengambil pendekatan untuk berdepan dan menghadapi kebangkitan dengan kekerasan dengan menggunakan tentera dan pasukan keselamatan, menyebabkan ramai rakyat yang berdemonstrasi secara aman terkorban.

Regim-regim diktator ini tidak menyerah kalah kepada tuntutan kebangkitan rakyat. Mereka tidak mahu mengikut jejak Ben Ali dan Hosni Mubarak yang dijatuhkan dengan penuh penghinaan sekali.

Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah mengambil pendekatan memerangi rakyatnya sendiri dan kini dikatakan mulai memenangi semula wilayah-wilayah yang dikuasai oleh revolusi kebangkitan rakyat yang menamakan diri mereka sebagai majlis nasional Libya yang telahpun diiktiraf oleh Peranchis dan Britain.

Gaddafi telah menggunakan kekuatan udaranya untuk menyerang dan membebaskan wilayah yang dikuasai oleh kebangkitan rakyat dan kini dilaporkan sedang menuju ke Banghazi yang menjadi kubu kuat kebangkitan rakyat.

Bagi menyelamatkan Benghazi Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan larangan penerbangan di langit Libya bagi menyelamatkan rakyat Libya dari serangan udara oleh jet-jet pejuang tentera udara yang pro Ghadafi. Resolusi majlis Keselamatan itu disokong oleh sepuluh negara sementara lima negara termasuk dua negara anggota tetap China dan Russia berkecuali. Tiga lagi negara anggota tetap, iaitu AS, Britain dan Peranchis menyokong.

Resolusi larangan penerbangan ini adalah campurtangan langsung negara kuasa AS,Britain dan Peranchis terhadap konflik perang saudara di Libya. Bagi memberikan kesan kepada larangan penerbangan, keupayaan udara yang dimiliki Gaddafi mesti disasarkan bagi melumpuhkan keupayaan udara yang dimiliki tentera udara pro Gaddafi.

Dalam konteks Libya, dimensi dari satu revolusi kebangkitan rakyat bertukar wajah menjadi perang saudara dan kini menerjah kepada satu keadaan yang akan mengheret kepada arena perang yang lebih besar, semata-mata kerana keengganan dan kedegilan Ghadafi tunduk kepada tuntutan rakyat.

Di Yaman pula,keadaan yang hampir serupa sedang mengambil tempat. Regim Ali Abdullah Salleh yang enggan tunduk kepada tuntutan kebangkitan rakyat mula menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan. Regim-regim ini mahu menggagalkan kebangkitan rakyat.

Kebangkitan rakyat di Bahrain akan digagalkan dengan bantuan Saudi yang disokong oleh AS dan barat. Di Libya larangan penerbangan memberi ruang kepada AS dan sekutunya untuk campurtangan dalam konflik perang saudara di Libya,sementara di Yaman, regim Ali Abdullah Salleh mahu berdepan dengan kekerasan terhadap para demonstran yang menggerakkan kebangkitan rakyat.

Pengakhiran kebangkitan rakyat dibeberapa buah negara ini berada dalam keadaan tidak menentu. Penyelesaian nya tidak lagi antara rakyat yang bangkit dengan regim masing-masing tetapi mengheret kuasa AS barat dan proksi mereka dalam kancah dan pergolakan yang dijangka akan berpanjangan.

Sewajarnya penyelesaian dari revolusi kebangkitan rakyat ini di selesaikan oleh rakyat sendiri tanpa campurtangan asing seperti yang berlaku di Tunsia dan Mesir.

Harakahdaily/-
Oleh : Suhaimi Mokhtar .

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails