Tuesday, March 22, 2011

Kebangkitan China : Satu Ancaman Atau Peluang Bagi Usahawan Melayu?


China sebuah negara yang didiami paling ramai manusia di dunia bangkit sebagai sebuah kuasa ekonomi yang besar sejak 30 tahun yang lepas. Pertumbuhannya adalah secara purata sepuluh peratus sejak 30 tahun yang lalu.

Kelebihan yang ada pada China tentulah, rakyatnya yang ramai, kerajaan pentadbiran pusat (central planner), infrastruktur yang lengkap, kos bahan mentah yang murah dan hubungan luarnya yang baik.

Tidak pernah berlaku sebelum ini, sebuah kuasa ekonomi adalah sebuah negara yang membangun.

Mengikut ramalan oleh Goldman Sach dan BNP Paribas, ekonomi China akan melebihi Amerika Syarikat pada tahun 2025 dan 2027 masing-masing. Ini bakal merubah iklim ekonomi dunia.

Mari kita lihat samada kebangkitan luar biasa China ini adalah satu ancaman atau peluang bagi kita di Malaysia.

Ramai orang melihat China sebagai satu ancaman dengan alasan, banyak syarikat-syarikat asing berpindah daripada beroperasi di negara kita.

Kita perlu faham, kita tidak mungkin lagi bersaing dalam pasaran buruh yang murah. Bukan saja dengan China malah dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam pun kita tidak mampu.

Rakyat kita yang rata-rata berpelajaran boleh sebaliknya menumpukan tenaga dan pemikiran kearah bidang yang lebih kreatif dan berpendapatan tinggi.

Ada juga beralasan, dengan kebangkitan luar biasa ini, China akan bertindak menelan negara jirannya dari segi politik mahupun ketenteraan.

Melihat kepada sejarah, China adalah sebuah negara yang tidak menjadi ancaman dari segi politik mahupun ketenteraan.

Ini dibuktikan dengan pelayaran Laksamana Cheng Ho dari China ke Afrika dengan delegasi beribu buah kapal, tidak menyerang mana-mana negara. Malah pelayaran ini menjadi simbol jalinan hubungan mesra antara China dan negara-negara lain di dunia.

Peluang atau Ancaman?

Bagi saya, saya melihat kebangkitan China ini bukan sebagai ancaman, malah sebagai sebuah peluang besar yang dapat digarap oleh usahawan Melayu.

Melalui perjanjian ACFTA (ASEAN-China Free Trade Agreement) yang dimetrai oleh anggota ASEAN dan China, usahawan ASEAN dan China hampir sepenuhnya bebas untuk mengimport atau mengeksport produk masing-masing.

Jadi saya melihat peluang bagi kita dalam 3 aspek yang utama.

1. Pasaran China yang besar adalah syurga pemasaran bagi usahawan yang ingin menerokainya. Usahawan kita perlu bijak mengambil peluang dengan mewujudkan produk yang kreatif yang memenuhi kehendak pasaran di China. Memahami budaya setempat sesebuah negara sebelum menerokainya adalah satu aspek yang penting. Kerajaan juga boleh memainkan peranan dengan menyertai pameran-pameran perniagaan di China dan menghantar delegasi-delegasi untuk bekerjasama dengan persatuan peniaga tempatan di China.

2. Ramai peniaga di Malaysia, menjadi risau dengan lambakan produk dari China. Kerisauan mereka berkisar sekitar bagaimana mereka ingin bersaing harga dengan produk-produk ini.

Kita juga boleh melihat ini sebagai peluang. Bagaimana? Kita perlu berusaha untuk menambah nilai barangan yang diimport dari China dan seterusnya mengeksport ke negara-negara Eropah dan Arab. Nama kita lebih harum dan disukai oleh masyarakat di sana berbanding jika produk itu adalah "Made in China".

Produk yang telah 40% ditambah nilai di dalam negara kita boleh dilabelkan sebagai "buatan Malaysia". Jadi gunakanlah peluang ini.

Penambahan nilai boleh dilakukan dengan memasukan software yang baru, menukar pembungkusan, membuat kawalan kualiti dan sebagainya.

3. Peluang seterusnya bagi usahawan Melayu adalah melalui pasaran Halal. China kini sedang membangunkan Kashgar sebuah bandar di wilayah Xinjiang yang didiami oleh majoriti orang Islam menjadi sebuah bandar mega. Projek yang mendapat jolokan "New Shenzhen", bakal menjadi sebuah pintu masuk ke pasaran Rusia dan negara-negara bekas Soviet seperti Kazakstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan. Kita juga sedia maklum bahawa pengiktirafan halal di negara kita diiktiraf di seluruh dunia Islam. Ini adalah peluang besar bagi usahawan makanan dan kosmetik untuk menembusi pasaran halal di China, Asia Tengah dan Rusia.

Melalui 3 peluang yang dibentangkan di atas, dapat dilihat bahawa kebangkitan China bukanlah satu ancaman buat kita usahawan di Malaysia, malah ianya sebuah peluang yang perlu digarap.

Kebangkitan China perlulah dilihat sebagai sebuah enjin kepada perkembangan ekonomi negara kita.

Biodata Kolumnis

Shahabudeen Jalil adalah seorang usahawan dalam bidang import dan eksport, selain itu beliau juga seorang konsultan yang melatih usahawan lain untuk memborong terus dari sumber terutamanya dari China . Beliau juga telah mengasaskan sebuah portal untuk usahawan membuka dan berniaga secara online di internet.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails