Dunia hanya sementara, akhirat kekal abadi |
4 Rabi'ul Akhir 1432 H | 9 Mac 2011
Apa sahaja perlawanan yang berlaku pastinya ada yang kalah dan ada yang menang. Di dalam pilihanraya kecil DUN Merlimau dan Kerdau 6 Mac yang lepas, PAS telah gagal untuk merebut kedua-dua kerusi tersebut daripada UMNO. Saya akur dengan kekalahan tersebut. Di mana-mana perlawanan sekalipun, pihak yang menang berhak untuk gembira dan pihak yang kalah berhak untuk kecewa dan bersedih. Tinggal lagi, berapa lamakah kegembiraan dan kekecewaan itu akan bertahan?
Sesiapa sahaja akan gembira jika menang. Seorang pelajar akan gembira jika mendapat keputusan yang cemerlang begitu juga seorang pencuri akan gembira jika berjaya melakukan jenayah mencuri harta benda orang lain hatta jika dapat membunuh mangsanya, itu lebih menggembirakan. Bahkan Allah SWT merakamkan bagaimana gembiranya orang-orang musyrikin yang memusuhi agamaNya ketika berada di dunia. Firman Allah SWT :
وَإِذَا انقَلَبُواْ إِلَى أَهْلِهِمُ انقَلَبُواْ فَكِهِينَ
Yang bermaksud : Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada pengikutnya, mereka kembali dengan gembira. – Surah al-Muthaffifin, ayat 31.
Demikianlah kegembiraan yang dinikmati oleh orang-orang yang berdosa ketika berada di dunia. Dan dukacita kegembiraan itu tidak sedikitpun menyelamatkan mereka apabila berada di akhirat kelak. Bahkan kegembiraan itu akan ditukar menjadi kehinaan yang amat dahsyat di hadapan Allah SWT.
Salahkah bergembira? Jawabnya tidak salah. Sesiapa yang diberikan nikmat oleh Allah SWT berhak untuk bergembira dan begitu juga sebaliknya. Namun kegembiraan dan kesedihan di dunia bukanlah suatu yang hakiki di sisi Allah SWT. Bahkan beleklah sejarah perjuangan Rasulullah SAW, di Mekah baginda ditolak selama 13 tahun sekalipun sebelum dilantik menjadi nabi, baginda diiktiraf sebagai seorang yang jujur (al-Amin). Sedih pilu perjuangan yang dilalui oleh baginda tercermin melalui doanya sewaktu kembali dari Thaif :
اللهم انى اشكو اليك ضعف قوتى و قلة حيلتى و هوانى على الناس انت رب المستضعفين
Yang bermaksud : Ya Allah, aku mengadu kepadaMu betapa lemahnya kekuatan aku, dan betapa kurangnya kepandaian aku berhujah, dan betapa hinanya aku pada pandangan mata manusia, Engkaulah Tuhan golongan yang ditindas.
Doa ini tidak akan diungkapkan oleh lidah suci baginda kecuali dalam keadaan baginda dirundung kesedihan dan kekecewaan. Jika sedih dan kecewa pun pernah melanda Rasulullah SAW, apatah lagi pendokong Islam pada hari ini. Sesungguhnya pada kekalahan, kesedihan dan kekecewaan inilah tersimpannya ganjaran yang besar yang disediakan oleh Allah SWT.
Apa yang penting, asas hidup ialah Islam. Menang atau kalah tidak menjadi ukuran. Lihatlah penulis buku The Satanic Verse, Salman Rushdie yang diberikan gelaran terhormat oleh Barat sebagai Sir, sedangkan penghormatan itu diberikan kerana tindakannya mengina Islam. Adakah bernilai gelaran itu di sisi Allah? Jawabnya tidak. Demikian juga kemenangan, jika diperolehi dengan cara khianat, langsung tidak bernilai di sisi Allah SWT.
Di Kerdau dan Merlimau, PAS telah kalah. Ia perlu diakui. Namun, penipuan dan fitnah serta penggunaan jentera kerajaan secara besar-besaran juga perlu diakui telah dilakukan oleh UMNO. Saya diserang bertubi-tubi tanpa diberikan peluang yang sama untuk membela diri. Kalau di dalam akhbar, serangan ke atas saya diletakkan di muka hadapan manakala jawapan saya disudutkan di hujung muka surat dalam. Pengarah pilihanraya kami di Kerdau, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dituduh membeli tanah dari peneroka Felda sedangkan tuduhan itu merupakan satu fitnah, dan ia ternafi sebelumpun tenggelamnya matahari pada hari yang sama. Adakah penafian itu disiarkan sebagaimana fitnah itu disiarkan? Jawabnya tidak. Atas nama kebebasan demokrasi pincang, itulah senjata yang ada pada UMNO pada hari ini.
Utusan Malaysia (8 Mac 2011) melalui Senyum Kambingnya melabelkan saya tidak dapat menerima kekalahan. Sebagaimana namanya, demikianlah tahap pemikirannya. Saya hanya mahu menyatakan ayat yang telah diungkapkan oleh tukang-tukang sihir Firaun yang beriman kepada Nabi Musa tatkala diancam bunuh oleh Firaun :
فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا
Yang bermaksud : Maka buatlah keputusan apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja. – Surah Thaha, 72.
TG Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
3 Rabiul Akhir 1432H bersamaan 8 Mac 2011M
No comments:
Post a Comment