Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Pusat
21 hb Mac 2011
Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan Program Pertemuan Peminjam-Peminjam PTPTN pada hari Ahad 27hb Mac 2011 jam 3 petang di Auditorium Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS), Bandar Sri Putra, Kajang, Selangor. Pimpinan PAS dan ahli parlimen Pakatan Rakyat(PR) akan turut sama mendengar rintihan mereka. Pandangan mereka akan dirumuskan selepas perjumpaan tersebut.
Matlamat program ini adalah bagi mendengar sendiri rintihan daripada peminjam-peminjam PTPTN(Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional) yang sedang menghadapi tekanan bayaran balik. Tardapat rungutan yang sangat ketara terhadap sistem pengurusan PTPTN yang tidak sistematik. Ada kalangan peminjam yang telah membuat bayaran tetapi tidak dinyatakan dalam penyata. Seolah-olah mereka tidak membuat sebarang bayaran. Terdapat peminjam yang membuat bayaran tetapi nama mereka masih disenarai hitamkan. Menariknya mereka yang tidak langsung membuat bayaran tidak pula disenarai hitamkan. Terdapat tawaran Ujrah iaitu penurunan caj perkhidmatan daripada 4% kepada 1 %. Malangnya peminjam memberi komen tawaran Ujrah hanyalah helah PTPTN untuk mendapatkan maklumat terkini mereka sahaja. Peminjam yang telah disenarai hitamkan oleh PTPTN tidak layak mendapat tawaran Ujrah. Komen-komen daripada peminjam ini membuktikan bahawa PTPTN sedang menghadapi masalah pengurusannya. Pertemuan yang akan diadakan ini juga bertujuan bagi membentuk satu jawatankuasa bertindak mengatasi masalah yang mereka sedang hadapi.
PTPTN telah membelanjakan sebanyak RM 37 bilion sejak 13 tahun yang lalu. PTPTN telah mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 4% dan sedang berusaha untuk membuat pindaan terhadap akta PTPTN yang bertujuan untuk mengetatkan lagi kawalan pembayaran balik pinjaman. Tindakan ini sudah semestinya akan memberikan lebih tekanan kepada peminjam. Jumlah peminjam adalah seramai 1.7 juta orang. Terdapat 191,262 orang peminjam yang tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman. Mereka dalam keadaan tertekan kerana mereka tidak mampu membuat bayaran. Faktor utama adalah kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan kos hidup yang meningkat setiap tahun khususnya di bandar. Diharap peminjam-peminjam PTPTN dapat hadir dalam pertemuan ini, seterusnya jawatankuasa yang bakal dibentuk dapat menyediakan plan cadangan kepada pihak kerajaan bagi mengatasi masalah yang sedang mereka hadapi. Semua peminjam PTPTN seluruh negara di jemput hadir.
SUHAIZAN BIN KAYAT
KETUA PENERANGAN
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
No comments:
Post a Comment