Tuesday, August 23, 2011

Untung Maybank melonjak kepada RM6.27b


23 Ramadhan 1432H.

Maybank hari ini mengumumkan satu lagi tahun yang memberangsangkan dengan catatan keuntungan kumpulan sebelum cukai untuk tahun berakhir 30 Jun, 2011 melonjak 16.8 peratus kepada RM6.27 bilion daripada RM5.37 bilion tahun lepas.

Ini dicapai dengan pertumbuhan pinjaman kukuh luar biasa di pasaran-pasaran Malaysia, Singapura dan Indonesia serta prestasi yang lebih baik di keseluruhan segmen perniagaannya, kata pengerusi Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Beliau berkata penurunan yang berterusan dalam elaun untuk kerugian terhadap pinjaman yang susut lebih daripada separuh meyumbang kepada pendapatan yang lebih kukuh itu, katanya dalam taklimat media di ibunegara hari ini.

Pendapatannya meningkat kepada RM21.04 bilion daripada RM18.56 bilion tahun lepas.

Bank komersil terbesar negara ini turut mencatatkan keuntungan faedah selepas cukai dan minoriti RM4.45 bilion, naik 16.6 peratus daripada RM3.82 bilion tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, lembaga telah mencadangkan dividen akhir di bawah pelan pelaburan semula dividen 32 sen sesaham kurang pendapatan cukai sebanyak 25 peratus.

“Kami juga boleh membayar lebih sedikit (berbanding dasar pembayaran dividen kumpulan) dan kami mahu mengekalkannya sebegitu," kata presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Saham sebanyak empat sen itu akan dibayar secara tunai dan baki 28 sen sesaham dalam bahagian boleh pilih di mana pemegang saham sama ada akan memilih untuk menerimanya secara tunai sepenuhnya atau melabur semula dalam saham-saham Maybank.

Ini membawa jumlah dividen untuk tahun kewangan kepada 60 sen sesaham, mewakili jumlah nisbah pembayaran 74.9 peratus tahun ini, melepasi dasar pembayaran dividen kumpulan 40 peratus hingga 60 peratus.

Dividen itu dijangka diagihkan pada bulan Oktober.

Ditanya sama ada rekod keputusan sedemikian boleh dikekalkan, Wahid berkata aktiviti-aktiviti projek daripada program transformasi ekonomi (ETP) akan membantu memampankan prestasi kukuh kumpulan.

“Dengan penilaian semasa kami, kami percaya terdapatnya rangsangan yang cukup daripada pelbagai projek ETP untuk memacu pertumbuhan domestik di Malaysia. Terdapatnya juga momentum yang cukup dalam bergerak ke hadapan di Singapura dan Indonesia untuk menggerakkan pertumbuhan kami."

Bagaimanapun, mengambilkira persekitaran luaran, "kami kekal yakin tetapi berhati-hati mengenai masa depan," kata beliau.

Ditanya mengenai lebih banyak langkah pengambilalihan dalam tahun kewangan, Wahid berkata fokus akan lebih menerusi pertumbuhan organik.

“Sasaran yang kami tetapkan ialah berdasarkan kepada aktiviti organik untuk tahun kewangan akan datang tetapi kami tidak menolak jika terdapatnya peluang yang berbaloi untuk kami."

Maybank Group telah menyelesaikan pengambilalihan wajibnya dan menyahsenaraikan syarikat broker Singapura, Kim Eng Holdings, bulan ini.

Mengenai pinjaman kumpulan, ia berkembang pada rentak yang paling pantas, mencecah 21.7 peratus kepada 262.0 bilion.

Ini adalah berikutan pertumbuhan pinjaman seberang laut yang menggalakkan iaitu kenaikan 29.4 peratus dan 16.8 peratus daripada operasi Malaysia, mengatasi purata industri 13.5 peratus.

Operasi Indonesia dan Singapura menyaksikan peningkatan pinjaman, masing-masing 25.8 peratus sementara operasi antarabangsa yang lain naik 38.6 peratus.

Dalam lingkungan operasi Malaysia, perbankan borong global mendahului pertumbuhan dengan 25.6 peratus diikuti dengan perkhidmatan kewangan komuniti dengan 12.9 peratus.

Portfolio pembiayaan Islam di Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 35.1 peratus.

Sementara itu, deposit kumpulan berkembang 19.0 peratus kepada RM282.0 bilion, paling tinggi sejak tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2007.

Deposit menyaksikan pertumbuhan dua digit di Malaysia sebanyak 20.8 peratus dan Indonesia 31.3 peratus sementara deposit Singapura mengembang 6.4 peratus.

Untuk tahun kewangan ke hadapan, kumpulan telah menetapkan dua petunjuk prestasi utama (KPI) yang menggalakkan iaitu pertumbuhan 16 peratus pulangan ke atas ekuiti (ROE) dan 12 peratus pertumbuhan pinjaman dan sekuriti hutang.

Kumpulan turut mengumumkan yang tahun kewangannya akan ditukar kepada 31 Disember daripada 30 Jun pada masa ini agar ia sebanding dengan syarikat senarai awam yang lain dan selaras dengan unit seberang lautnya.

Dalam pada itu, Maybank Group akan mempunyai wajah yang lebih segar mulai 9 September bagi mencerminkan lagi perkembangan signifikan yang telah dibuat serta penjenamaan semula yang bakal berlaku ke atas entiti yang baru diambilalihnya.

Kumpulan itu percaya sudah tiba masanya untuk berwajah baharu memandangkan identiti dan logo korporat Maybank telah digunakan sejak awal 1990-an.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails