Wednesday, August 10, 2011

Gereja bantu Melayu, respons Pusat Zakat N.Sembilan





Berikut respons dari laman web Pusat Zakat Negeri Sembilan berikutan laporan akhbar Berita Minggu dan Harian Metro 7 Ogos 2011 bertajuk “PUJUKAN GEREJA” dan “NUR TIADA PILIHAN” dimana seorang wanita Melayu iaitu Puan Nur dari Ampangan, Seremban mendakwa sebagai ibu tunggal gagal mendapat bantuan berterusan Baitulmal lalu dibantu oleh pihak gereja.

*********
PENJELASAN ISU LAPORAN AKHBAR ‘PUJUKAN GEREJA'

Adalah dimaklumkan merujuk kepada isu laporan akhbar bertajuk “PUJUKAN GEREJA” di Berita Mingguan bertarikh 7 Ogos 2011, Ahad.

Pihak kami ingin menjelaskan beliau yang dimaksudkan dalam laporan akhbar itu ialah sebagai ‘Pn Nur’, setelah semakan di buat beliau dan keluarga masih disenaraikan sebagai penerima bantuan zakat Baitulmal secara berkala dan turut menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan bermula pada Januari 2011 sehingga kini.

Mengikut rekod, beliau telah menerima bantuan zakat sebanyak 22 kali semenjak 22 November 2006 dan kali terakhir pada 13 hb Julai 2011, dengan pelbagai bentuk bantuan yang diterima seperti bantuan persekolahan anak, bil-bil utiliti dan bantuan makanan.

‘Pn Nur’ juga bukan berstatus ibu tunggal seperti dilaporkan akhbar tersebut tetapi masih bersuami dan suami beliau mempunyai pekerjaan berstatus jawatan tetap di sektor kerajaan.

Sehubungan dengan itu masyarakat di minta mendapatkan maklumat yang sebenar berkenaan isu ini agar tidak berlaku penerimaaan maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan.

Sumber : http://www.zakatns.com.my/v3/arkib/agihan/29-agihan-2011/198-penjelasan-isu-laporan-akhbar-pujukan-gereja


PUJUKAN GEREJA
Berita Minggu – 7 Ogos 2011

NUR mendakwa kerap dihubungi gereja untuk diberikan bantuan.Ibu tunggal tak dapat bantuan Baitulmal dalam dilema

SEREMBAN: Seorang lagi mangsa mendedahkan bagaimana dia dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan yang dihulurkan gereja terbabit di Rahang, dekat sini sejak Disember lalu.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Nur, 40, berkata pada mulanya dia sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja terbabit bagi memastikan empat anak perempuannya berusia lima hingga 12 tahun meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan berterusan daripada Baitulmal. Katanya, pada mulanya dia berat hati tetapi selepas memikirkan nasib anak-anak yang masih bersekolah, dia menerima bantuan dihulurkan dalam bentuk makanan keperluan harian setiap bulan sejak April tahun lalu. “Setiap bulan pihak gereja itu akan telefon dua hingga tiga kali untuk bertanyakan khabar. Mereka juga tidak lupa bertanyakan masalah dihadapi.

“Mereka turut menawarkan supaya saya dan anak-anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan kami anak beranak termasuk keperluan persekolahan tapi saya menolak.

“Bagaimanapun, sejak Januari lalu, saya turut menolak semua bantuan yang diberikan setiap bulan memandangkan jiran sudah memandang serong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampangan, di sini, semalam.

Nur berkata, sejak berhenti kerja sebagai pembantu akaun pada 2008 akibat masalah kesihatan, antaranya asma yang teruk, darah tinggi dan kencing manis, dia masih perlu mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak memandangkan suami lalai memberi nafkah.

Katanya, selain meminta ihsan saudara mara, dia turut menjalankan beberapa pekerjaan seperti membantu rakan menjual makanan kesihatan, makanan segera dan juga buku sekolah tadika.

“Namun sejak pengsan beberapa kali bulan lalu ketika menghantar buku ke sekolah tadika, saya tidak lagi bekerja. Saya cuba mendapatkan bantuan Baitulmal sekali lagi namun mereka memberi pelbagai alasan, antaranya saya pernah mendapat bantuan sebelum ini.

“Saya mengaku memang pernah dapat bantuan sebelum ini tetapi sekali saja. Kini saya sedang memikirkan sama ada mahu menerima sekali lagi tawaran daripada pusat ibadah itu atau tidak memandangkan mereka kerap telefon bertanyakan khabar dan menawarkan apa saja bantuan yang diperlukan,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pujukangereja/Article/

NUR TIADA PILIHAN
Harian Metro Ahad : 7 Ogos 2011

SEREMBAN: “Saya tiada pilihan melainkan menerima bantuan makanan dan wang daripada pihak gereja,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Nur, 40, yang mendakwa sering mendapat cemuhan segelintir pihak kerana mendapat bantuan daripada gereja untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia kini tidak dapat bekerja kerana menghidap pelbagai penyakit, terutama asma, kencing manis, darah tinggi dan buasir.

“Saya sedar tidak sepatutnya menerima bantuan daripada gereja, namun saya terdesak kerana memikirkan hidup anak yang mahu bersekolah dan makan. Oleh itu, saya terpaksa mengambil bantuan itu,” katanya ketika ditemui di rumah di Ampangan, di sini, semalam.

Nur yang pernah bekerja sebagai pembantu akaun mendakwa, dia terpaksa berhenti kerana masalah penyakit itu dan pernah beberapa kali pergi ke jabatan berkaitan, namun dicemuh umpama peminta sedekah.

“Saya sedih kerana pihak berkenaan yang sepatutnya membantu enggan melayan saya, sebaliknya saya ditolak ke sana sini hanya kerana bantuan berjumlah RM70.

“Yang membuatkan saya sedih adalah ketika mengenangkan nasib anak yang kadangkala tidak makan, malah yuran tuisyen dan sekolah mereka juga sudah lama tertunggak,” katanya yang reda dengan keadaan itu.

Menceritakan bagaimana dia berjumpa seorang pendakwah gereja, Nur mendakwa, dia disapa oleh wanita berkenaan April tahun lalu ketika dia kesedihan kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan tidak berjaya.

“Dia (pendakwah gereja) kemudian menyarankan saya mendapatkan bantuan gereja milik mereka iaitu barang makanan berserta wang tunai.

“Saya tiada pilihan, malah hampir setahun saya menerima bantuan itu. Pihak gereja yang lebih inisiatif untuk tampil membantu nasib wanita seperti saya,” katanya.

Dakwanya, setiap bulan pihak gereja membawa keperluan harian ke rumahnya, malah selalu menghubunginya untuk bertanyakan jika mempunyai masalah lain.

“Saya dan anak turut ditawarkan untuk tinggal di asrama mereka, malah mereka berjanji untuk membantu menyelesaikan yuran tuisyen dan sekolah anak.

“Namun, sampai bila saya dan anak harus mengharapkan bantuan pihak gereja, sedangkan saya beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada sinar di penghujung hidupnya dan anaknya untuk mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu.

“Jika mampu bekerja, saya akan cuba menyara hidup ini, namun Allah masih sayangkan kami apabila saya diuji dengan pelbagai ujian hidup,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nurtiadapilihan/Article/index_html


sumber

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails