Tuesday, August 9, 2011

Dia datang peluk dan cium saya - Catriona Ros

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: "Suami saya tanya, 'bila', saya kata 'pagi tadi'...dia tidak kata apa-apa hanya datang peluk dan cium saya," cerita pelakon Catriona Ros dalam rancangan Selami Jiwa yang dihoskan oleh Datuk Fadhilah Kamsah di Astro Oasis.
(Catriona dalam rancangan Selami Jiwa yang dihoskan oleh Datuk Dr Fadhilah Kamsah)

Catriona menceritakan pengalaman beliau yang mula bertudung 16 Julai tahun lepas dalam keadaan beliau adalah seorang pelakon di negara ini.

Catriona mula berhijrah memakai tudung 16 Julai tahun lepas ketika beliau menemani rakan-rakannya untuk membeli tudung di sebuah kedai.

"Oleh kerana lama sangat mereka pilih, saya rasa boring sangat, lalu saya ambil satu tudung dan cuba pakai. Ada satu macam perasaan dalam saya bila saya pakai, rasa berdebar-debar.

"Bila rakan-rakan saya tengok kenapa saya nampak pucat, saya kata saya nak pakai tudung...mereka gelakkan saya..mereka kata kepada saya jadikan ia azam tahun baru ke, puasa tahun depan ke dan sebagai.

"Tetapi bagi saya ketika itu, ia tidak akan lama...saya akan memakainya" cerita Catriona dalam rancangan yang disiarkan jam 1.45 petang tadi.

Catriona berasal dari Kelantan tetapi menetap di Kuala Lumpur.

Beliau bersekolah di sekolah agama Naim Lilbanat di Kota Bharu namun tidak pernah memakai tudung selepas keluar dari sekolah apatah lagi selepas bergelar artis.

"Keluarga saya tidak paksa saya bertudung namun kebanyakan mereka bertudung," cerita Catriona.

Menurut Catriona, ujian terbesar yang beliau hadapi dalam mengekalkan tudungnya adalah ketika suami beliau mengajaknya bercuti selama tujuh hari ke Australia.

"Di sana, tidak ada yang bertudung, ramai yang bermini skirt dan singlet sahaja...namun alhamdulillah saya berjaya untuk mengekalkan tudung saya sepanjang tujuh hari saya di sana," kata Catriona.

Turut menjadi tetamu Dr Fadhilah di rancangan bertajuk "bertudung, fesyen atau tuntutan agama itu adalah seorang remaja Nurul Atikah yang memakai tudung sejak berumur 13 tahun lagi atas didikan keluarga walaupun tidak ada paksaan.

Catriona berkata, respon yang paling beliau tunggu selepas memakai tudung adalah dari suaminya sendiri yang ketika itu berada di luar.

"Apabila dia pulang ke rumah dan membuka pintu, saya sudah memakai tudung...dia nampak sangat terkejut dan bertanya, 'bila', saya kata 'pagi tadi'...dia tidak kata apa-apa hanya datang memeluk dan mencium saya," cerita Catriona.

Suami beliau yang turut hadir ke rancangan Astro Oasis itu berkata, perkara pertama yang terlintas di kepala beliau ketika melihat isterinya bertudung adalah, 'bagaimana dia hendak bekerja' sebagai seorang artis.

"Namun selepas itu saya tahu, bertudung tidak semestinya tidak boleh berlakon," katanya gembira dengan perubahan isterinya.

Menurut Catriona, sambutan dari keluarga beliau juga sangat hebat.

"Selepas mereka tahu saya memakai tudung, mereka terus datang dari Kelantan ke Kuala Lumpur dan membawa tudung yang banyak untuk saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails