Wednesday, August 17, 2011

Tahukah Anda, Apa sebabnya Najib boleh jadi PM?

Tahukah anda pada tahun 1999,dengan 2400 undi POS yang 95% pergi pada BN Najib cuma mampu menang kerusi Parlimen Pekan dengan majoriti 241 undi. Melayakkan beliau digelar sebagai 'Wakil Pos' bukannya 'Wakil Rakyat'.

Bagaimanapun selepas kemenangan tipis beliau, tanpa sebarang sebab secara tiba-tiba Kem Batu 6 Jalan Gambang dipindah dari Parlimen Kuantan kepada Parlimen Pekan.

Hasilnya Najib yang dulunya menang tipis melalui undi pos menang gemilang selepas 1999 dengan majoriti 26464 undi (2004) dan 22922 undi(2008)bagi kerusi Parlimen Pekan (P85).


Kemenangan yang membuktikan bahawa UMNO/BN berjaya memanipulasi sebaik mungkin undi pos untuk menobatkan ahli mereka sebagai 'Wakil Rakyat'

Kata Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa ada 24 lagi kawasan parlimen di seluruh negara yang bergantung tuah kepada pengundi pos termasuk di Jeli dan Ketereh di Kelantan.

“Terdapat 25 kawasan parlimen di semenanjung yang bergantung kepada undi pos termasuk Pekan dan Kepala Batas,” katanya pada satu ceramah di Pasir Mas baru-baru ini.

Malah ramai bekas anggota tentera mendakwa kertas undinya dipangkah orang lain ketika mereka bertugas di perbatasan pada musim pilihan raya.

Contoh mudah dapat dilihat misalnya di Kem Tentera Desa Pahlawan yang terletak di parlimen Ketereh sekarang ada lebih 3,000 undi pos.

Ketika pilihan raya umum lalu hanya sekitar 1,000 orang berada dalam kem dan 2,000 lagi dikatakan bertugas di hutan Gerik, Perak.

Persoalan yang ditimbulkan Bersih 2.0 sekarang siapa pula yang mengundi bagi pihak 2,000 anggota tentera terbabit.

Contoh kedua di Port Dickson terdapat 3,800 pengundi pos. Dan ketika pengundian pada pilihan raya umum lalu hanya ada 1,500 tentera sahaja berada dalam kem, selebihnya bertugas di merata tempat.

Berdasar kepada kajian dibuat hampir kesemua undi pos milik anggota tentera yang tidak berada di kem ketika pengundian tiba-tiba dipangkah lambang dacing. Dan terbaru berlaku di Sibu pada pilihan raya kecil tahun lepas.

Sebelum dikira undi pos calon DAP menang dengan majoriti lebih 3,000 undi. Namun apabila dikira undi pos calon DAP, Wong Ho Leng mengatasi calon BN-SUPP, Robert Lau Hui Yew dan Bebas, Narawi Harun hanya dengan majoriti 398 undi.

Kesimpulan dapat dibuat, jelas ada orang lain mengundi bagi pihak mereka memandangkan tiada kertas undi dibawa masuk ke pos-pos tentera dalam hutan ketika itu untuk membolehkan mereka mengundi.

Malah seorang pegawai kerajaan mengakui tidak ada dalam perlembagaan menjelaskan secara nyata berkaitan peraturan pengundian pos.

Tahukah anda siapa yang memangkah kertas undi tersebut? sila baca pengakuan dari bekas tentera dibawah.. walaupun mengundi di kawasan yang berbeza tapi senarionya adalah sama..


Bekas tentera mengaku "tolong pangkah" undi



KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Empat bekas anggota tentera mengakui pilihanraya di negara ini tidak bersih dan tidak adil, sehingga mereka sendiri mengakui pernah memangkah ribuan kertas undi pos anggota-anggota tentera lain dan kertas-kertas undi isteri anggota tentera, atas arahan pegawai atasannya.

Ketika itu, mereka melakukannya tanpa rasa bersalah setelah diarahkan berbuat demikian, tambahan pula mereka sendiri tidak pernah mengambil berat soal pilihanraya, pembuangan undi dan politik tanah air.

Seorang bekas tentera, Mohamed Nasir Ahmad, 50, mengakui pernah memangkah 400 kertas undi pos bagi pihak anggota tentera lain pada pilihanraya umum tahun 1986 lalu ketika bertugas di Sabah.

Menurut beliau, perbuatan itu dilakukan setelah menerima arahan pegawai atasannya dan arahan itu pula dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab sesuai dengan disiplin tentera.

"Saya bertugas di bahagian perkeranian. Saya bertugas di Sabah selama 4 tahun. Sebelum bertugas di Sabah, saya pernah bertugas di Mindef dan kemudian di beberapa tempat lain lagi.

"Walaupun arahan dan pekerjaan itu hanya sekali sahaja saya terima dan saya lakukan sepanjang saya berkhidmat dalam tentera sehingga saya bersara cukup tempoh pada tahun 1998 lalu, tetapi saya tetap rasa bersalah sehingga sekarang," jelasnya pada sidang media di Pejabat Agong PAS, di sini, hari ini.

Seorang lagi bekas anggota tentera, Kamarulzaman Ibrahim, 53, mengakui telah memangkah ribuan kertas undi pos selama 3 hari sehingga lenguh.

Perbuatan tersebut dilakukan setelah menerima arahan dari pegawai atasannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-7 pada tahun 1986 lalu ketika sedang bertugas di Kem Terendak, Melaka.

Beliau yang bertugas sebagai kerani tadbir menjelaskan, selain memangkah kertas-kertas undi pos tentera sebanyak dua karung dengan angka ribuan itu, beliau turut menandatangan setiap borang yang dikepilkan bersama kertas-kertas undi tersebut.

"Ketika memangkah kertas-kertas undi itu, saya terpaksa menggunakan tiga jenis pen berlainan warna bagi mengelak dikesan. Jumlahnya memang banyak, sebanyak 2 karung, tetapi saya tak tahu jumlahnya, yang nyata ribuan, hingga lenguh tangan.

"Pen tiga batang ada dalam kocek saya dan saya isu borang sampai terpaksa tanggal baju kerana panas sebab dulu mana ada kipas. Saya perlu isi banyak nama dan pangkah banyak borang, jadi pen nak kena banyak,” katanya yang bersara pada tahun 1991 lalu.

Beliau yang tinggal di Johor turut mengakui kertas-kertas undi pos yang dipangkahnya itu melibatkan anggota-anggota tentera di seluruh negara dan melibatkan pengundian untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Saya berbuat demikian kerana "sekadar menurut perintah." Kini saya sedar apa yang saya lakukan itu adalah salah. Jadi saya turut tampil membuat pengakuan pada hari ini supaya semua orang tahu mengenai kepincangan pilihanraya di negara kita," katanya.

Sementara itu, Mejar (B) Risman Mastor, 64, pula mengakui turut diarahkan memangkah puluhan kertas undi pos ketika bertugas di Kem Kampung Sawah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada PRU tahun 1978 lalu.

"Jika kepada rakan-rakan saya yang lain, mereka diarahkan memangkah BN, kepada saya berbeza pula. Saya diarah oleh pegawai atasan saya supaya memangkah pembangkang sebagai tanda protes kepada kerajaan.

“Puncanya, ketika itu kami marah pasal gaji sebab ketika itu gaji kami sangat rendah jika hendak dibandingkan dengan guru. Kami dianaktirikan, kami berjuang demi negara, kawan-kawan kami ada yang kudung kaki, kami berjuang demi mempertahankan negara, tapi apa yang kami dapat?”

"Disebabkan tidak puas hati dengan perkara itu, pegawai atasan kami telah mengarahkan saya memberikan undi kepada pembangkang, walaupun jumlahnya sekitar 20 hingga 30 kertas undi sahaja," katanya yang bersara pada tahun 1996 lalu.

Manakala seorang lagi bekas tentera, Mohd Kamil Omar, 49, dari unit Komandor TUDM menjelaskan, meskipun tidak pernah menerima arahan memangkah kertas-kertas undi pos, tapi beberapa karung kertas undi pos yang telah dipangkah oleh rakan-rakannya bagi pihak rakan-rakan tenteranya yang lain pernah dilihat dengan jelas di hadapan matanya sendiri.

"Namun ketika itu, kami anggota tentera tidak mempedulikan sangat tentang politik, tentang pilihanraya. Kami tak pernah mengambil tahu sama ada pilihan raya di negeri kita besih atau tidak, adil atau tidak.

"Kini menerusi perjuangan Bersih 2.0, barulah banyak anggota tentera yang sedar mengenai perkara itu. Mujur jugalah adanya perjuangan Bersih 2.0. Kalau tidak banyak anggota tentera akan terus tidak mengetahui perkara itu, malah ada yang langsung tak tahu hak mereka sendiri dalam pilihanraya," ujar beliau.

Kunjungan mereka ke Pejabat Agung PAS ditemani Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi, Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat.


Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails