Monday, December 6, 2010

Demo Air : Polis tidak pernah berubah


KUALA LUMPUR, 5 Dis — Perarakan himpunan aman protes isu air Selangor berakhir dengan pertembungan antara para peserta dan polis, tetapi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dengan kawalan pasukan keselamatan.

Khalid menyerahkan memorandum sebagaimana dirancang kepada Istana Negara untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekitar 2.30 petang tadi.

Kumpulan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) juga menyerahkan mereka kepada Istana Negara dengan polis hanya membenarkan dua kereta menuju ke Istana Negara dari kawasan Stadium Merdeka-Dewan Perhimpunan Cina di Jalan Maharajalela.


Terdahulu polis menghalang perarakan sekitar 1,000 penyokong kumpulan protes air Selangor daripada meneruskan hasrat mereka menuju ke Istana Negara.

Kumpulan itu yang meninggalkan kawasan Masjid Negara sekitar 1.50 tengah hari, ditahan selepas bergerak sejauh 200m.

Ekoran tindakan polis itu, kumpulan itu merempuh sekatan polis di kawasan bangunan KTMB dan menyebabkan anggota FRU melepaskan gas pemedih mata.

Tinjauan mendapati pasukan FRU melepaskan gas dan air pemedih mata terus-menerus selama setengah jam apabila peserta terus mahu berarak ke arah Istana Negara.

Pasukan polis mengenakan sekatan lalu lintas sejak pagi tadi di beberapa kawasan di Lembah Klang bagi menghalang kehadiran penyokong kedua-dua kumpulan GAPS dan protes air Selangor.

Anggota FRU terus melepaskan gas pemedih mata ke atas penyokong protes air berhampiran stesen kereta api lama dekat Masjid Negara. Sekurang-kurangnya 10 tembakan dilepaskan sehingga 2.05 petang tadi.

Pihak polis memberi kata dua kepada peserta perarakan agar bersurai secara aman dan jika tidak akan menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka.

Ketika kumpulan itu tidak berganjak dengan pendirian mereka, FRU terus melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Sekitar pukul 2.30 petang, FRU terus melepaskan air pemedih mata, menyebabkan sebahagian besar peserta melarikan diri ke arah Masjid Negara.

Mesej menerusi Twitter oleh seorang pegawai Pejabat Menteri Besar Selangor menyebut Khalid telah menyerahkan memorandum bersama 250,000 tandatangan kepada Istana Negara sekitar 2.30 petang.

Bagaimanapun menurut Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok, polis telah menghalang rombongan delegasi daripada merakamkan sesi penyerahan memorandum.

Selepas Menteri Besar Selangor menyerahkan memorandum polis mula mengambil tindakan terhadap peserta himpunan dan sehingga 3 petang tadi, kira-kira 50 orang ditahan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dilihat mengadakan perbincangan dengan polis agar membebaskan peserta-peserta yang ditahan.

Dalam pada itu, Suaram menggesa polis membebaskan dengan segera kesemua 52 orang yang ditahan termasuk seorang remaja berusia 15 tahun.

Pihak Suaram juga mengecam tindakan kejam pihak polis dalam mengendalikan perarakan dan himpunan aman.

Malah Suaram juga membidas kerana Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengugut Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim akan ditahan jika menyertai semula kumpulan yang hendak berarak selepas menyerahkan memorandum.


The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails