KOTA BHARU – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup dua kes berprofil tinggi membabitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab Rahman membuktikan Kelantan bebas daripada rasuah sejak Pas memerintah pada 1990.
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, kerajaan Pas lebih telus dan sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat sebarang salah laku pegawai dan kakitangan awam.
Menurutnya, Menteri Besar memilih untuk membuka pintu 24 jam kepada SPRM untuk menyiasat kes rasuah membabitkan Kerajaan Negeri.
“Tindakan itu adalah hak SPRM yang kita anggap dibuat selepas siasatan rapi dan terbukti bahawa tiada kes rasuah berlaku.
“Kita tidak takut untuk disiasat malah sentiasa memberikan kerjasama kerana kita juga tidak mahu ada kes rasuah dalam pentadbiran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, SPRM diminta agar tidak terlalu mengikut desakan dibuat Barisan Nasional (BN) atau orang yang terlalu ghairah untuk menjatuhkan Kerajaan Kelantan.
Menurutnya, sebagai sebuah badan profesional, SPRM sepatutnya mempunyai suatu ketegasan tersendiri dalam menangani setiap tekanan atau desakan diterima.
“Terima kasih kepada SPRM atas pengumuman ikhlas yang dibuat itu, cuma saya ingin nyatakan agar SPRM tidak mengikut sangat tekanan luar,” katanya.
Abdul Fatah bagaimanapun, memuji pendekatan yang digunakan badan berkenaan kerana menyiasat setiap aduan diterima.
“Baguslah, mereka menyiasat setiap aduan, cuma bagi orang disiasat, pastinya menimbulkan rasa tidak selesa selain terpaksa berdepan prasangka masyarakat sepanjang melalui tempoh siasatan berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment