Friday, March 4, 2011

Protes Bahrain cetus kebangkitan di Arab Saudi


Haris Zalkapli

Protes melibatkan masyarakat Syiah di timur Arab Saudi yang baru bermula meningkatkan lagi profil komuniti itu di sekitar Teluk Parsi, selepas protes besar-besaran di Bahrain menjadikan mereka semakin mudah diperhatikan.

Tunjuk perasaan di Awwamiya dan Qatif, sebuah bandar utama masyarakat Syiah di Arab Saudi menampakkan satu kaitan komuniti itu di Bahrain dan timur Arab Saudi.

Mereka menuntut pembebasan ahli komuniti mereka yang didakwa ditahan tanpa bicara, terbaharu seorang alim, Tawfiq al-Amir pada 1 Mac lalu di bandar al-Hufuf, selepas memberi ucapan menggesa penubuhan negara raja berpelembagaan dan menghapuskan diskriminasi.

Ekoran penahanan itu, demonstrasi besar-besaran dijadual diadakan selepas solat Jumaat pada 11 Mac nanti, menuntut pembebasan beliau dan dijangka turut akan mengutarakan isu-isu lain melibatkan komuniti Syiah.

Di Arab Saudi, Syiah dianggar berjumlah 10 peratus daripada populasi seramai 18 juta orang. Di Bahrain, Syiah merupakan majoriti melebihi 60 peratus daripada populasi seramai 800,000.

Apa yang dibimbangi pemerintah Saudi, protes di Bahrain mempengaruhi komuniti Syiah di timur Arab Saudi kini sudah berlaku dan bakal meningkat lagi.

Syiah di Bahrain dan wilayah timur Arab Saudi mempunyai hubungan dalam satu sejarah yang panjang, begitu juga keluarga al-Saud dan al-Khalifah.

Kedua-duanya terlibat dalam satu persaingan naratif sejarah kawasan terbabit, yang sering dikemukakan dalam bentuk persaingan Arab dengan Parsi, Syiah dengan Sunni dan sebagainya.

Masyarakat Syiah Bahrain menegaskan identiti Arab mereka dan sejarah panjang mereka di kawasan Teluk Parsi.

Di seberang yang lain, keluarga al-Saud dan al-Khalifah sehingga kini masih membawa naratif hubungan Syiah terbabit sebagai orang asing dan alat kepada Parsi dan Syiah.

Nama Bahrain, yang kini dikhaskan untuk sebuah negara, pada zaman awal sejarah Islam meliputi kawasan timur Arab Saudi, bandar Hasa dan Qatif, dan pulau yang menjadi negara Bahrain kini.

Satu hujah yang dikemukakan oleh masyarakat Syiah timur Arab Saudi dan Bahrain untuk menegaskan kedudukan sejarah mereka ialah sokongan puak Abdul Qais yang mendiami kawasan Bahrain, Hasa dan Qatif di timur Arab Saudi sebagai penyokong Ali bin Abi Talib untuk menjawat jawatan khalifah selepas kewafatan Nabi Muhammad saw.

Menurut mereka, keturunan ini masih merupakan satu bahagian besar masyarakat di kawasan terbabit.

Kedudukan Bahrain sebagai wilayah di bawah penguasaan Parsi sebelum era penubuhan negara bangsa mengukuhkan kedudukan Syiah di pulau itu.

Keluarga al-Saud dan al-Khalifah yang masing-masing kini menguasai Arab Saudi dan Bahrain juga mempunyai sejarah yang panjang.

Kedua-dua keluarga berasal dari Najd di semenangjung Arab, daripada konfederasi puak yang sama. Sebelum sampai dan terus menetap dan menguasai Bahrain, keluarga al-Khalifah pernah singgah di Kuwait dan Qatar.

Hubungan sejarah ini, yang melibatkan kesetiaan puak, aliran politik dan pelbagai kepentingan lain menjelaskan sokongan kuat Riyadh kepada keluarga al-Khalifah di Bahrain.

Kedua-dua keluarga al-Saud dan al-Khalifah menggunakan bahasa pertentangan antara Arab dengan Parsi dan Sunni dengan Syiah untuk menjelaskan penaklukan mereka ke atas Hasa dan Qatif dan Bahrain.

Keluarga al-Khalifah menakluk Bahrain selepas menewaskan kekuasaan Parsi di pulau itu.

Hasa dan Qatif di timur Arab Saudi pula akhirnya menjadi sebahagian negara dikuasai dinasti itu selepas ditakluk keluarga al-Saud daripada penguasaan Turki Uthmaniyyah.

Kedua-dua keluarga melaksanakan langkah-langkah untuk mengawal populasi Syiah di negara masing-masing, dengan Saudi melaksanakan langkah yang lebih keras di Hasa dan Qatif.

Sepanjang sejarah negara Saudi, pemerintah telah mengambil langkah menghalang aktiviti komuniti Syiah, disebabkan oleh faktor penting Wahabisme sebagai ideologi negara.

Menurut catatan sejarah, langkah itu termasuk menutup pusat pembelajaran, perpustakaan, mengharamkan ibadat di tempat awam dan pelantikan hakim dan imam Sunni dari wilayah lain untuk menguatkuasakan Islam Sunni di Hasa dan Qatif.

Tindakan turut dilakukan untuk menghapuskan kedudukan keluarga Syiah berpengaruh dan dipindahkan ke tempat lain sehingga akhirnya ramai yang melarikan diri ke negara lain, termasuk Iraq dan Iran.

Sehingga kini, tidak banyak yang berubah melibatkan layanan keluarga al-Saud dan al-Khalifah terhadap warga Syiah di Arab Saudi dan Bahrain.

Di Arab Saudi, terbaharu berlaku peningkatan tuntutan oleh komuniti Syiah di Arab Saudi pada awal 1990-an ketika Perang Teluk tercetus, menuntut penglibatan lebih besar masyarakat Syiah di negara itu.

Kerajaan Saudi kemudian mula memulakan hubungan dengan pemimpin-pemimpin Syiah.

Kemudian, kerajaan Saudi di bawah Raja Abdullah yang mula memerintah sejak 2005 turut melaksanakan beberapa perubahan yang mengurangkan peminggiran terhadap komuniti Syiah.

Bahrain memperlihatkan lebih kebebasan melalui dewan rendah parlimen yang menyaksikan 18 daripada 40 kerusi dipegang oleh wakil Syiah, walaupun dewan itu secara praktiknya tidak mempunyai kuasa sebenar.

Dewan tinggi dikenali Majlis Syura memiliki kuasa sebenar, dan wakil-wakilnya dilantik oleh raja.

Protes komuniti Syiah di kedua-dua negara mempunyai satu akar sejarah yang jelas, sesuatu yang menjadikan protes di Arab Saudi kini menimbulkan pelbagai tanggapan dan jangkaan.

Hak komuniti tersebut di kedua-dua Bahrain dan Arab Saudi telah lama dinafikan, mendorong kemunculan manifestasi penentangan secara terbuka yang lebih besar.

Walau bagaimanapun, tanpa menafikan peranan oleh komuniti Syiah di kedua-dua negara, tuntutan untuk kebebasan dan partisipasi lebih luas bukan hanya melibatkan masyarakat Syiah, terutama di Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails