Friday, August 26, 2011

Status nama 'jarang didengar' berubah


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Dewan Pemuda PAS hari ini membongkar lagi keraguan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terbaru, Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi, Mohd Adram Musa terdapat perubahan status terhadap nama 'jarang didengar' yang ada dalam senarai SPR tetapi tiada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didedahkan mereka sebelum ini.

Individu tersebut adalah Jumaayah Binti Alus yang kini namanya sudah ada dalam rekod JPN.

Pada 22 Ogos lalu, pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi, Suhaizan Kaiat mendedahkan lima nama unik yang jarang didengar dan mempunyai dua nombor kad pengenalan berbeza.

Nama-nama tersebut seperti berikut:

1. Jumaayah Bin Alus. Identiti ini mempunyai dua kad pengenalan iaitu 511122105834 dan 511122105754. Kedua-duanya dibezakan pada digit ke-10 dan ke-11.

2. Sainam Binti Tukisan: Identiti ini mempunyai dua kad pengenalan iaitu 500307105490 dan 500307105474. Kedua-duanya di bezakan pada digit ke 11 dan 12 sahaja.

3. Katimah Binti Kadni: Identiti ini mempunyai dua kad pengenalan iaitu 500808015282 dan 500808015290. Kedua-duanya dibezakan oleh digit ke-11 dan ke-12

4. Nesam Banu Bt Mohammad Fahmi: Identiti ini adalah pengundi pos. Nombor tenteranya adalah T373594 dan T375594. Kedua-dua nombor tentera ini dibezakan pada digit ke-4 sahaja.

5. Lanuddin Bin Ngah Mat Nasir: Identiti ini adalah undi pos dan memiliki dua nombor keanggotaan polis iaitu RF107781 dan RF107881. Kedua-dua nombor keanggotaan ini dibezakan pada digit ke-6.

Selain itu, ada di antara mereka termasuk nama Jumaayah Binti Alus hanya ada dalam senarai SPR dan tiada dalam rekod JPN.

Bagaimanapun statusnya hari ini telah bertukar dan kini MyKadnya wujud dalam rekod JPN apabila disemak menggunakan salah satu nombor kad pengenalannya iaitu 511122105834.

"SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didesak membersihkan Daftar pemilih terlebih dahulu sebelum menunding jari kepada pihak lain.

"Apa yang jelas SPR hanya cuba melepaskan diri dengan menyalahkan JPN ,dari siri pendedahan yang telah dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Malaysia," ujar Adram.

Selain itu, beliau juga turut mendedahkan enam lagi nombor kad pengenalan yang didakwa ada dalam senarai SPR tetapi tiada dalam rekod JPN.

Nombor kad pengenalan tersebut adalah seperti berikut:

1. 790924145621

2. 750612105026

3. 620826086291

4. 850709146543

5. 850706145967

6. 651105105087

Sehubungan itu, beliau mendesak SPR membersihkan senarai daftar mereka terdahulu sebelum menyalahkan pihak lain yang mendedahkan perkara tersebut.

"Saya tidak tahu berapa lama data ini boleh bertahan sebelum ditukar statusnya. Tidak salah jika rakyat membuat pelbagai tafsiran dengan keadaan seperti ini," katanya.

Thursday, August 25, 2011

Felcra akan disaman besar-besaran


25 Ramadhan 1432H.

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) akan memfailkan saman secara besar-besaran terhadap institusi tanah tersebut kerana mendakwa berlaku penyelewengan wang peneroka melalui koperasinya.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, kebanyakan peserta tidak berpuas hati apabila pendapatan mereka dibayar dalam bentuk dividen melalui koperasi Felcra.

Menyifatkan penyelewengan di Felcra sebagai lebih buruk berbanding Felda, Mazlan berkata, beliau menerima aduan bayaran dividen yang dibayar empat kali setahun iaitu setiap tiga bulan terlalu rendah.

"Pendapatan peserta Felcra dibayar secara individu dalam bentuk dividen selepas ditolak kos perladangan. Ada peneroka yang hanya dapat RM200 sahaja untuk masa tiga bulan. Ini sangat rendah," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Apa yang lebih mengejutkan katanya, koperasi Felcra tidak berdaftar dan pengurusan kewangannya tidak pernah diaudit.

"Koperasi Felcra tidak berdaftar jadi bila tak berdaftar, tak pernah diaudit. Ini menyebabkan ia lebih terdedah kepada penyelewengan," katanya.

Menurutnya, koperasi menggunakan duit peneroka untuk membayar kos lawatan kakitangan Felcra ke beberapa tempat, jamuan untuk orang-orang penting (VIP) dan sambutan keraian yang lain.

Beliau berkata, pihak Bapa yang merupakan salah satu NGO di bawah lajnah tersebut bersama panel peguam akan mengkaji samaada pembayaran dalam bentuk dividen perlu dikekalkan atau tidak.

"Panel peguam akan menggerakkan kempen untuk mendesak kerajaan membari pendapatan secara individu, bukan dividen seperti sekarang," katanya.

Menurut Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), aduan yang banyak diterima adalah daripada peserta Felcra di Perak selain Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

Namun katanya, Felcra mana yang akan memfailkan saman tersebut akan didedahkan pada majlis sambutan hari raya warga Felcra peringkat kebangsaan, 16 September ini di Felcra Changkat Lada, Perak.

"Kita tak akan dedahkan awal sebab takut mereka akan menerima ugutan daripada pihak Felcra," katanya.

Katanya juga, kemenangan Mohamad Ramly Sanji, waris kepada peserta Felcra di Tapah dalam samannya terhadap Felcra Berhad baru-baru ini memberi semangat kepada peserta yang lain untuk memfailkan saman yang berikutnya.

Mohamad Ramly Sanji menang dalam samannya terhadap Felcra Berhad yang didakwa menceroboh tanah milik ibunya.

Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Hassan Abd Rahman yang memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif sebelum ini tidak sah.

Sehubungan itu pihak Felcra diarah membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Selain itu Hakim juga mengeluarkan perintah injuksi yang menetapkan bahawa pihak Felcra perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung pihak Felcra.

Plaintif menfailkan saman berkenaan pada 2008 selepas mendapati pihak defenden iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar dijalan Kacu Tapah, yang dibangunkan atas tujuan tanaman kelapa sawit.

harakahdaily/-

Tuesday, August 23, 2011

Berlaku Adillah sekalipun pada Non Muslim.


Berlaku Adillah sekalipun pada Non Muslim.

1. Islam adalah agama wahyu yang diutus oleh Allah swt. Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Mencipta sekelian alam. Antara sifat penting yang menjadi prinsip Islam ialah berlaku adil. Bukan sahaja adil semasa aman bahkan adil sewaktu perang. Bukan sahaja adil sesama penganut ajaran Islam tetapi adil juga kepada non muslim.

يَا أَيُّهَآ ٱلَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ للَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىۤ أَلاَّ تَعْدِلُواْ ٱعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya :

Wahai orang – orang yang beriman, Jadilah kamu orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali – kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kau kerjakan.

Surah al Maaidah : 8

2. Adil ertinya berpaksi kepada kebenaran. Menegakkan keadilan ertinya menegakkan kebenaran. Sementara musuh kebenaran ialah pendustaan dan ia adalah satu kezaliman yang ditentang oleh syara’.

3. Sungguhpun Islam tidak pernah mengiktiraf tuhan – tuhan yang disembah selain Allah swt. oleh non muslim, namun Islam mempunyai sikap yang tegas dan jelas agar ummatnya tidak menghina dan mencerca tuhan yang mereka sembah.

Firman Alllah swt :

و لا تَسُبُّوا الذينَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ فَيَسُبُّوا اللهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Dan janganlah kamu cerca apa yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

Asy Syaukani rhm berkata di dalam tafsirnya “ Fathul Qadir jilid 2 muka surat 149” bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa penyeru [pendakwah] kepada kebenaran dan pencegah kebathilan, apabila bimbangkan perbuatan menghina agama lain menyebabkan tindakan yang melampau sebagai balasannya maka hendaklah dia meninggalkan penghinaan itu bahkan wajib.

Prof. Wahbah az Zuhaili menjelas di dalam tafsirnya “al Munir jilid 7 muka surat 327” bahawa hukum ayat ini kekal iaitu larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib, sembahan mereka, tempat ibadat mereka dan jangan terdedah melakukan perbuatan tersebut kerana ianya seolah – olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada Allah dan RasulNya saw.

4. Jika mencerca tuhan yang mereka sembah selain Allah swt pun dilarang oleh Islam sedang ia adalah perbuatan syirik dan kufur, kerana Islam mengambil maslahah agar Allah Tuhan yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan tidak dicerca balas oleh mereka, maka demikianlah juga dalam perkara – perkara lain seperti mengatakan ugama mereka adalah ugama yang jahat, melakukan keganasan, melakukan perbuatan yang meruntuhkan moral dan sebagainya.

5. Saya dan kita semua yakin bahawa agama mereka salah menurut pandangan Islam. Tetapi kita tidak boleh memaksa mereka mengikut agama kita justeru Islam hanya boleh diterima dan dianut dengan penuh kesedaran dan keinsafan tanpa sebarang paksaan. Sebab itulah, apabila seseorang menganut ajaran Islam, tiada lagi jalan keluar untuk mereka melainkan mereka terpaksa berdepan dengan undang – undang murtad kerana ia adalah satu penghinaan kepada ajaran Islam.

6. Membuat tuduhan apa jua bentuknya dan kepada siapa pun tuduhan tersebut, Islam mengajar kita mengemukakan bukti yang jelas. Inilah keindahan dan keadilan Islam. Ketika mengemukakan sokongan terbuka kepada JAIS dalam isu pemeriksaan yang dibuat oleh JAIS ke atas gereja baru – baru ini, saya telah gariskan 3 sikap yang jelas.

a ] saya dan rakan – rakan pemuda PAS tegas akan terus berjuang mempertahankan Aqidah ummah. Justeru itu, kami setuju dan sokong tindakan JAIS atas sifat ia adalah pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab langsung menjaga aqidah ummat Islam. Sebaik menerima maklumat yang diyakini, JAIS mesti bertindak memeriksa atau menyiasat [bukan menyerbu], malah jika benar maklumat yang diterima, maka JAIS berkewajipan :

i. membuat dakwaan kepada pihak yang melakukan kesalahan memurtadkan ummat Islam dan

ii. menahan ummat Islam yang dimurtadkan atau yang cuba dimurtadkan untuk proses istitab [meminta mereka bertaubat dan kembali semula kepada Islam]

b ] ummat Islam amnya dan pihak berkuasa agama khasnya, mesti memelihara hak non muslim sebagaimana yang diajar oleh syariat Islam dan tidak sekali – kali kita dibenarkan mencabulnya, seperti menceroboh dan meruntuhkan rumah ibadat mereka. Lebih – lebih lagi mencabul dan meruntuhkan rumah ibadat ummat Islam [masjid \ surau] itu sendiri.

c ] sebagai seorang muslim pula memimpin sayap pergerakan Pemuda Islam seperti PAS di Malaysia, saya tegas mengingatkan semua pihak [samaada non muslim atau muslim] agar sekali – kali tidak melakukan perkara yang merosakkan aqidah, pemikiran dan akhlak ummat Islam kerana ia merosak dan meruntuhkan peradaban ummat Islam.

7. Ertinya kita mempunyai sikap yang jelas dan tegas bahawa kita wajib mempertahankan aqidah ummah dalam apa jua keadaan, sekalipun darah dan nyawa ini menjadi taruhan. Namun dalam masa yang sama kita mesti berlaku adil terhadap pihak lain termasuk non muslim. Kita hanya memerangi mereka yang memerangi Islam seperti golongan yang cuba untuk merosakkan aqidah ummat Islam dan memalingkan mereka dari agama Islam.

8. Sungguhpun begitu, sebelum kita membuat sebarang tuduhan atau dakwaan kepada mana – mana pihak di atas apa jua bentuk tuduhan, bukti atau baiyyinah adalah diperlukan. Inilah kebenaran yang diperjuangkan oleh Islam. Malah disinilah terletaknya keadilan Islam.

9. Kita juga tidak boleh menghukum tindakan individu atau satu – satu golongan ke atas umum. Sebagaimana kita tidak boleh menghukum bahawa Islam agama yang ganas semata – mata segelintir ummat Islam merancang dan melakukannya. Kita tidak boleh menghukum Islam agama yang menggalakkan penzinaan sekalipun statistik menunjukkan ramai ummat Islam di dalam negara kita terjebak dalam seks bebas dan buang bayi. Jika kita tidak boleh mengambil kaedah sedemikian ke atas agama kita, maka kaedah itu juga tidak boleh kita gunakan secara rawak atau rambang ke atas agama lain.

10. Isunya di sini ialah kita mesti berlaku adil dalam tindakan. Jika ada tuduhan atau dakwaan, mestilah ada bukti yang jelas, bukan tuduhan yang hanya berasaskan rasa marah, benci dan emosi. Apabila jelas bukti maka hendaklah pihak berkenaan membuat dakwaan rasmi agar kemungkaran dan kemaksiatan dapat dibasmi.

Ustaz Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM) mohon menjadi ahli PAS seumur hidup


Rosli menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS seumur hidup kepada Mohd Nizar disaksikan Razman (kiri sekali) dan Nasir ( kanan sekali). Penyerahan borang dibuat pada malam ceramah perdana sempena pelancaran penubuhan KERABAT peringkat Negeri Perak di Markaz PAS Kampung Gelok baru-baru ini.

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Bekas Naib Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Kapten (B) Mohd Rosli Yahaya mengejutkan banyak pihak apabila tampil di atas pentas ceramah PAS dengan menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS seumur hidup.

Beliau yang juga bekas Yang DiPertua persatuan berkenaan bagi peringkat negeri Perak selama berbelas tahun, telah dilantik menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Kelab Veteran Angkatan Tentera (KERABAT) peringkat Parlimen Lenggong.

Borang keahliannya diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perak, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin pada program ceramah perdana sempena pelancaran KERABAT Perak di Markaz PAS Kampung Gelok dekat sini baru-baru ini.

Penyerahan borang keahliannya disaksikan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perak yang juga Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria dan Presiden KERABAT Malaysia, Kol (B) Nazri Mokhtar.

Lebih 2000 hadirin pada malam program itu turut menyaksikan penyerahan borang oleh Rosli yang selama di dalam PBTM, tidak henti-henti menyuarakan pembelaannya terhadap bekas-bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), balu-balu bekas tentera, anak-anak yatim bekas tentera dan semua peringkat bekas tentera.

Beliau juga lantang menuntut hak bekas-bekas tentera yang dijanjikan kerajaan, sepertimana telah termaktub dalam perlembagaan negara ini, seperti pemberian tanah serta lot tapak rumah dan sebagainya.

Untung Maybank melonjak kepada RM6.27b


23 Ramadhan 1432H.

Maybank hari ini mengumumkan satu lagi tahun yang memberangsangkan dengan catatan keuntungan kumpulan sebelum cukai untuk tahun berakhir 30 Jun, 2011 melonjak 16.8 peratus kepada RM6.27 bilion daripada RM5.37 bilion tahun lepas.

Ini dicapai dengan pertumbuhan pinjaman kukuh luar biasa di pasaran-pasaran Malaysia, Singapura dan Indonesia serta prestasi yang lebih baik di keseluruhan segmen perniagaannya, kata pengerusi Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Beliau berkata penurunan yang berterusan dalam elaun untuk kerugian terhadap pinjaman yang susut lebih daripada separuh meyumbang kepada pendapatan yang lebih kukuh itu, katanya dalam taklimat media di ibunegara hari ini.

Pendapatannya meningkat kepada RM21.04 bilion daripada RM18.56 bilion tahun lepas.

Bank komersil terbesar negara ini turut mencatatkan keuntungan faedah selepas cukai dan minoriti RM4.45 bilion, naik 16.6 peratus daripada RM3.82 bilion tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, lembaga telah mencadangkan dividen akhir di bawah pelan pelaburan semula dividen 32 sen sesaham kurang pendapatan cukai sebanyak 25 peratus.

“Kami juga boleh membayar lebih sedikit (berbanding dasar pembayaran dividen kumpulan) dan kami mahu mengekalkannya sebegitu," kata presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Saham sebanyak empat sen itu akan dibayar secara tunai dan baki 28 sen sesaham dalam bahagian boleh pilih di mana pemegang saham sama ada akan memilih untuk menerimanya secara tunai sepenuhnya atau melabur semula dalam saham-saham Maybank.

Ini membawa jumlah dividen untuk tahun kewangan kepada 60 sen sesaham, mewakili jumlah nisbah pembayaran 74.9 peratus tahun ini, melepasi dasar pembayaran dividen kumpulan 40 peratus hingga 60 peratus.

Dividen itu dijangka diagihkan pada bulan Oktober.

Ditanya sama ada rekod keputusan sedemikian boleh dikekalkan, Wahid berkata aktiviti-aktiviti projek daripada program transformasi ekonomi (ETP) akan membantu memampankan prestasi kukuh kumpulan.

“Dengan penilaian semasa kami, kami percaya terdapatnya rangsangan yang cukup daripada pelbagai projek ETP untuk memacu pertumbuhan domestik di Malaysia. Terdapatnya juga momentum yang cukup dalam bergerak ke hadapan di Singapura dan Indonesia untuk menggerakkan pertumbuhan kami."

Bagaimanapun, mengambilkira persekitaran luaran, "kami kekal yakin tetapi berhati-hati mengenai masa depan," kata beliau.

Ditanya mengenai lebih banyak langkah pengambilalihan dalam tahun kewangan, Wahid berkata fokus akan lebih menerusi pertumbuhan organik.

“Sasaran yang kami tetapkan ialah berdasarkan kepada aktiviti organik untuk tahun kewangan akan datang tetapi kami tidak menolak jika terdapatnya peluang yang berbaloi untuk kami."

Maybank Group telah menyelesaikan pengambilalihan wajibnya dan menyahsenaraikan syarikat broker Singapura, Kim Eng Holdings, bulan ini.

Mengenai pinjaman kumpulan, ia berkembang pada rentak yang paling pantas, mencecah 21.7 peratus kepada 262.0 bilion.

Ini adalah berikutan pertumbuhan pinjaman seberang laut yang menggalakkan iaitu kenaikan 29.4 peratus dan 16.8 peratus daripada operasi Malaysia, mengatasi purata industri 13.5 peratus.

Operasi Indonesia dan Singapura menyaksikan peningkatan pinjaman, masing-masing 25.8 peratus sementara operasi antarabangsa yang lain naik 38.6 peratus.

Dalam lingkungan operasi Malaysia, perbankan borong global mendahului pertumbuhan dengan 25.6 peratus diikuti dengan perkhidmatan kewangan komuniti dengan 12.9 peratus.

Portfolio pembiayaan Islam di Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 35.1 peratus.

Sementara itu, deposit kumpulan berkembang 19.0 peratus kepada RM282.0 bilion, paling tinggi sejak tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2007.

Deposit menyaksikan pertumbuhan dua digit di Malaysia sebanyak 20.8 peratus dan Indonesia 31.3 peratus sementara deposit Singapura mengembang 6.4 peratus.

Untuk tahun kewangan ke hadapan, kumpulan telah menetapkan dua petunjuk prestasi utama (KPI) yang menggalakkan iaitu pertumbuhan 16 peratus pulangan ke atas ekuiti (ROE) dan 12 peratus pertumbuhan pinjaman dan sekuriti hutang.

Kumpulan turut mengumumkan yang tahun kewangannya akan ditukar kepada 31 Disember daripada 30 Jun pada masa ini agar ia sebanding dengan syarikat senarai awam yang lain dan selaras dengan unit seberang lautnya.

Dalam pada itu, Maybank Group akan mempunyai wajah yang lebih segar mulai 9 September bagi mencerminkan lagi perkembangan signifikan yang telah dibuat serta penjenamaan semula yang bakal berlaku ke atas entiti yang baru diambilalihnya.

Kumpulan itu percaya sudah tiba masanya untuk berwajah baharu memandangkan identiti dan logo korporat Maybank telah digunakan sejak awal 1990-an.

- Bernama

Ekonomi Islam tak berkembang di bawah BN


23 Ramadhan 1432H.

KUALA LUMPUR,: Sistem perekonomian Islam di tanah air tidak akan berkembang dengan baik selagi negara ini berada di bawah pemerintahan Umno BN.

Realiti itu boleh dilihat dengan jelas apabila sesetengah bank di negara ini masih lagi dibenarkan menjalankan operasi dengan dua sistem untuk dipilih oleh para pelanggan iaitu sistem Islam dan sistem konvensional.

Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nazri Chik berkata, tindakan kerajaan yang membenarkan sesebuah bank menjalankan dua sistem seperti itu merupakan satu langkah yang silap kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

Menurut beliau, dengan adanya dua sistem seperti itu yang dibenarkan untuk dilaksanakan oleh sesebuah bank, ia masih memberikan peluang kepada orang ramai untuk memilih sistem konvensional walaupun sistem Islam ternyata jauh lebih baik berbanding sistem konvensional.

Katanya, kesilapan membuat pemilihan seperti itu pasti berlaku terutama jika orang ramai masih tidak memahami perbezaan antara sistem Islam dan konvensional dan ia sepatutnya dielakkan oleh kerajaan.

"Di negara kita hanya bank Islam yang betul-betul melaksanakan sistem Islam sepenuhnya, tetapi bank-bank lain masih terdapat dua sistem yang dilaksanakan untuk dipilih oleh orang ramai iaitu sistem Islam dan konvensional.

"Keadaan itu berbeza dengan tindakan Kerajaan Qatar yang tidak sekali-kali membenarkan sesebuah bank menjalankan dua sistem dalam operasinya.

"Sebaliknya, jika sesebuah bank itu hendak melaksanakan sistem Islam, hanya sistem Islam sahaja yang dibenarkan di Qatar, manakala jika sesebuah bank itu memilih sistem konvensional, hanya sistem konvensional sahaja yang dibenarkan dilaksanakan oleh bank itu tanpa diberikan pilihan untuk dilaksanakan sistem Islam oleh bank yang sama," katanya.

Ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini, beliau berkata, Kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil langkah yang sama dengan Kerajaan Qatar kerana dengan itu barulah wang orang ramai akan menjadi bersih dari unsur riba dan unsur-unsur haram.

Menurutnya, namun selagi Umno BN memerintah, tindakan seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Qatar itu tidak akan dilaksanakan di negara ini.

Tindakan Umno BN itu, katanya, sememangnya memberikan kesan buruk bagi perkembangan sistem perekonomian Islam di tanah air dan ia sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh Kerajaan BN.

"Tetapi Umno BN sebenarnya tidak boleh diharapkan untuk melakukan perubahan itu. Sebaliknya, jika PAS dan Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini nanti, barulah rakyat akan dapat melihat perubahan itu yang akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat," ujarnya.

Di negara kita, katanya, perlaksanaan sistem perekonomian Islam yang dipelopori oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebenarnya adalah cetusan idea pemimpin PAS iaitu almarhum Zulkifli Mohamad.

"Perkara itu diketengahkan oleh Zulkifli Mohamad bagi kepentingan perekonomian umat Islam di negara kita pada persidangan Dewan Rakyat dan kemudiannya telah diteliti serta diberikan pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak-pihak terbabit.

"Lanjutan cetusan idea Zulkifli Mohamad itulah kemudiannya lahirnya Bank Islam yang melaksanakan sistem ekonomi Islam sepenuhnya di negara kita.

"Perkara itu amat perlu diketahui oleh orang ramai bagi membolehkan setiap rakyat negara ini memahami pemikiran dan perjuangan para pemimpin PAS yang sentiasa berjuang untuk Islam, untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air, bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam pelbagai aspek termasuk dalam sistem kewangan atau perekonomian," ujar beliau.

harakahdaily/-

Monday, August 22, 2011

KENAPA UMNO LENYAPKAN CERITA INI DARI PENGETAHUAN KITA


Sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan tidak diketahui oleh rakyat umum kerana samada ianya telah dilenyapkan atau dipadam dari buku-buku sejarah. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia mengetahui sejarah sebenar negara sendiri dan janganlah kita menjadi rakyat Malaysia buta sejarah. Sebahagian pejuang-pejuang telah gugur dan sebahagiannya masih hidup dan bernafas di depan mata kita.

Perjuangan awal menentang penjajahan dan menuntut kemerdekaan secara moden bermula pada tahun 1906 oleh golongan pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah (antaranya termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd. Taha).



Selepas itu, perjuangan menentang penjajahan British dan Jepun turut digerakkan dan dirancakkan dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM)KMM ditubuhkan pada Mei 1937 di Kampung Bahru Kuala Lumpur. Antara pemimpinnya adalah; Ibrahim Haji Yaakob, Mustapha Hussein, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Al Helmy. Semasa perang dunia ke-2, (1942 – 1945) Jepun telah menakluk Tanah Melayu pada Disember 1941 dan KMM telah bekerjasama dengan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) atau Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Penjajah dan tentera British lari ke England meninggalkan rakyat tempatan menentang Jepun. Pada 1942 Jepun telah mengharamkan KMM kerana perjuangan kemerdekaan Malaya.

Selepas tamat peperangan dunia pertama dan berundurnya Jepun dari tanah Melayu satu gabungan Melayu Islam telah membentuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) PKMM Ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh Perak. Dan meluluskan slogan MERDEKA serta benderanya ialah MERAH-PUTIH. Semboyan MERDEKA dilantangkan dan berjaya mengembleng seluruh tenaga dari pelbagai aliran agama, nasionalis dan sosialis namun ditentang oleh elit Melayu dan kakitangan atau penjawat jawatan yang pro pemerintah.


Antara yang memimpin PKMM adalah; Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Abdullah CD (Cik Dat Abdullah), Ahmad Boestamam, Musa Ahmad, Khatijah Ali, dan Ustaz Abu Bakar Al Baqir. PKMM telah berkembang pesat dan digabungkan dengan pelbagai pertubuhan yang menjadi tulang belakang dan penggerak di seluruh Malaya, antaranya


1.API (Angkatan Pemuda Insaf). Dibawah pimpinan Ahmad Boestamam. Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno Dato Onn Jaafar.


2.AWAS (Angkata Wanita Sedar). Diketuai oleh Samsiah Fakeh. Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar.


3.BTM -Barisan Tani Malaya (BATAS). Ditubuhkan pada 7 Julai 1947 di Kajang. Ketuanya ialah Musa Ahmad. Setiausaha disandang oleh Abas manakala Mokhtar sebagai bendahari dan Kadir menjadi ketua bahagian propaganda. Pimpinan Negeri ialah Mokhtar - Kedah, Selangor - Musa Ahmad, Pahang - Abas,Johar - Kadir dan Negeri Sembila - Ibrahim Baba.


4. Jabatan Kerja Melayu (JKM). Didirikan pada awal tahun 1946. Diketuai oleh Alimin, Setiausaha oleh Abdullah CD dan merangkap ketua bahagian selatan. Bahagian utara oleh Rashid Maidin dan bahagian timur oleh Kamaruzaman Teh.



5.Hizbul Muslimin.Ditubuhkan pada 17 Mac 1948. Tokoh yang terlibat ialah Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ustaz Abdul Rab, Dr Burhanuddin Al Helmy dan Kiayai Masyur Azahari. Pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar mengharamkan Hizbul Muslimin yang dianggap 'Parti Islam Merah' dan merupakan 'bahaya dari gunung' kepada mereka.

6.GERAM -Gerakan Angkatan Muda. Pimpinan Abd Aziz Ishak dan A Samad Ismail.








7. Kesatuan Buruh Melayu SeMalaya. Ditubuh pada tahun 1946 di bawah pimpinan Abdullah CD. Dipanjangkan

penubuhan ke negeri-negeri pada 1947.


8.Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU). Gerakan buruh berbagai kaum. Pada 1947, kongres telah memilih Ganapathy sebagai Pesiden, Abdullah CD sebagai Naib Presiden dan Chen Lu sebagai Setiausaha.

8.Kesatuan Opera Melayu.

9.Persatuan Pemandu Teksi.

10.PETA -Pembela Tanah Air. Ditubuhkan apabila KMM diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar.

11.Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA). Pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Pada tahun 1947, sepuluh tahun sebelum merdeka, PKMM memperkuatkan perjuangan menuntut kemerdekaan dengan bergabung dengan beberapa pertubuhan bukan Islam dan bukan Melayu dalam Malaya Democratic Union, membentuk Barisan Bersatu Putera-AMCJA. Barisan Bersatu Putera-AMCJA ditubuh pada 1947 dan menggubal 10 fasal Perlembagaan Rakyat untuk kemerdekaan.

Antara gerakan yang dilakukan oleh Barisan Bersatu Putera-AMCJA yang sangat berjaya dan menggugat kedudukan British adalah mogok seluruh Malaya yang dikenali sebagai HARTAL. HARTAL telah berlangsung pada 16 September, 1947 yang telah mencatatkan sejarah satu mogok umum, di mana pada hari tersebut, satu aktiviti pun tidak dilakukan oleh seluruh rakyat Malaya.

Pada masa yang sama, British telah berpakat dengan Elit Melayu yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Perkembar – yang kini dikenali sebagai Umno), menggubal satu lagi perlembagaan yang dipanggil Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. British tidak menerima desakan Barisan Bersatu Putera AMCJA, telah menolak perlembagaan rakyat dan menggantikan Malayan Union dengan membentuk Persekutuan Tanah Melayu serta melantik Dato’ Onn menerajuinya.

Barisan Bersatu Putera AMCJA dan seluruh anggota gabungannya, diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan Yang Dipertua (YDP) Umno, Dato' Onn Jaafar. British telah mengisytiharkan Darurat pada tahun 1948, dengan alasan menentang gerakan komunis di Malaya dengan menggunakan 'preventive detention' iaitu tahanan tanpa perbicaraan yang kemudian dikuatkuasakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengambil tindakan menangkap sesiapa sahaja yang menentang.

Antara bukti bahawa Darurat 1948 diisytiharkan adalah semata-mata satu tindakan ’pecah perintah’ British adalah lebih 2,800 orang ahli-ahli gabungan Barisan Bersatu Putera ACMJA ditangkap dibawah ISA, termasuk Ustaz Abu Bakar Al-Baqir pemimpin MATA dan Hizbul Muslimin yang kemudiannya didaftarkan secara rasminya sebagai Parti Islam SeMalaysia (PAS). Mereka bukan komunis, namun tindakan British itu melumpuhkan perjuangan rakyat dan telah menghidupkan satu parti yang berkuasa sehingga kini iaitu UMNO.

Wasiat Pejuang

Takziah buat Keluarga Allahyarham Azizi Abdullah



Kembalinya Novelis terkemuka tanahair, Allahyarham Tuan Haji Azizi Abdullah ke rahmatillah sangat dirasai oleh dunia penulisan negara. Beliau bukan sahaja seorang novelis yang hebat tetapi juga seorang yang peka dan tajam pandangan penanya terhadap isu semasa yang melanda masyarakat.

Penulisan al marhum hidup dalam realiti semasa yang sedang dihadapi oleh masyarakat selain al marhum juga telah meninggalkan jasa besar dalam seni kesusasteraan negara. Novel Seorang Tua di Kaki Gunung pastinya hasil karya besar al marhum yang melonjak naik namanya dipersada sastera negara.

Seorang yang tinggi disiplin dan berdedikasi dalam penulisan malah kritis dalam mengutarakan idea mengolah realiti meletakkan beliau sebaris dengan sasterawan negara yang lain.

Kini negara telah hilang sebuah permata bernilai dan berkualiti tinggi. Semoga al marhum menjadi contoh kepada generasi muda hari ini dalam menekuni bidang penulisan dan kesusasteraan.

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga al marhum di atas pemergiannya. Sabarlah di atas ujian ini dan semoga ruhnya dicucuri rahmat dan digolongkan dari kalangan hambaNya yang soleh.

Al Faatihah.

Ustaz Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Ribuan Sembahyangkan Jenazah Pemuda Yang Mati Ketika Rusuhan di England.






Selatanonline>>

Berikut ialah gambar ribuan umat Islam Birmingham yang hadir untuk pengkebumian dan menyembahyangkan jenazah 3 orang pemuda Islam yang terbunuh ketika rusuhan yang belaku di England 10 Ogos lalu.


Di Birmingham Haroon Jahan (21) serta dua orang adik beradik Shazad Ali (30) dan Abdul Musavir (31) meninggal dunia setelah dirempuh kereta perusuh yang cuba melakukan kekacauan. Ketiga-tiga orang mangsa pada ketika itu sedang melakukan kawalan keselamatan berhampiran kawasan perumahan mereka. Semalam jenazah mereka akhirnya dikebumikan di Birmingham. Majlis pengkebumian dan solat jenazah mereka dihadiri ribuan penduduk Birmingham dan dilakukan di Summerfield Park. Just look at the humber of people there. Sobering isn't it. Di kalangan komuniti Islam Birmingham ketiga-tiga dikatakan mati syahid kerana mempertahankan ahli keluarga dan harta benda milik mereka dari dimusnahkan perusuh.

Kenapa Perlu Solat?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; Selawat dan Salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Apakah erti solat?
Pada segi bahasa ia bererti doa atau hubungan.
Maka apabila seseorang bersolat bererti dia sedang berdoa dan menghubungkan dirinya kepada Penciptanya yakni Allah swt. seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja bererti dia telah menjauhkan diri daripada rahmat Allah swt, dia akan dibala di dunia, di dalam kubur dan di akhirat.

5 seksaan di dunia:
1. Dicabut keberkatan umurnya.
2. Dihapuskan tanda-tanda orang soleh pada wajahnya.
3. Dicabut berkat pada rezekinya.
4. Doanya tidak diterima.
5. Tidak mendapat bahagian dalam doa orang soleh.

3 seksaan ketika mati:
1. Mati dalam keadaan hina.
2. Mati dalam keadaan lapar.
3. Mati dalam keadaan dahaga. Jika diberi minum tujuh lautan, tidak akan hilang hausnya.

3 seksaan di dalam kubur:
1. Kubur akan menghimpitnya sehingga bertemu tulang rusuk.
2. Digelapkan kuburnya.
3. Seekor ular besar bernama Syujaul-Akro’ mematuknya.
3 seksaan ketika bertemu Allah:
1. Datang malaikat membawa rantai yang panjangnya 70 hasta. Kemudian diikat tengkuknya dan dimasukkan kemulutnya dan dikeluarkan melalui ponggongnya.
2. Allah tidak memandangnya dengan pandangan rahmat.
3. Tidak mendapat keampunan Allah.

Erti solat pada syarak:

Ialah perbuatan dan perkataan yang dimulai dengan takbiratulihram dan disudahi dengan salam dengan beberapa syarat-syarat yang tertentu.

Seseorang yang hendak mendirikan sembahyang mestilah mengetahui terlebih dahulu rukun, syarat sah dan perkara yang membatalkan sembahyang serta sunat-sunatnya.

Jikalau tidak sembahyang yang didirikan ibarat seperti menghadiahkan dayang yang cacat anggota kepada seorang raja.

Tentulah sang raja akan murka dan menyiksa orang tersebut.

Sunday, August 21, 2011

Pelanggan Tahap Mana Yang Lebih Utama ?



Tanpa pelanggan, maka tiada jualan, tanpa jualan, tiada wang masuk dalam perniagaan, tanpa wang masuk dalam perniagaan bermaksud perniagaan ini tidak akan bertahan lama.

Jadi mencari pelanggan baru serta mengekalkan pelangan sedia-ada adalah sangat penting. Namun ada ketika kita akan menghadapi dilemma samada mementingkan pelanggan sedia ada atau mengutamakan pelanggan baru.

Pelanggan Baru

Bagi perniagaan yang baru, pelanggan baru adalah sangat penting. Atas sebab ini banyak perniagaan baru terkandas jika tidak mempunyai produk atau servis yang unik. Mengubah seseorang yang telah menggunakan produk jenama lain kepada menggunakan produk kita adalah sukar. Namun ia mampu dilakukan, antara kaedahnya :

- pemasaran yang konsisten
- tawaran menarik
- mengajak pelanggan mencuba sample produk secara percuma
- memberi latihan serta informasi percuma tentang produk
- mendapatkan testimoni positif dari seramai mungkin pelanggan.

Kita perlu meletakkan diri kita di tempat pelanggan dan bertanya "kenapa aku perlu membeli daripada syarikat ini berbanding syarikat yang aku pernah beli sebelum ini ?"

Manusia secara umumnya takut kepada sesuatu yang dia tidak tahu (fear towards the unknown) atau secara ringkasnya takut mencuba. Mereka tidak kisah samada perkara ini bagus atau tidak, tetapi mereka berani mencuba.

Oleh yang demikian, kita sebagai usahawan perlu memulakan langkah pengerak untuk mendekati pelanggan dan meyakinkan mereka dengan perniagaan kita.

Pelanggan Sedia-ada

Bagi perniagaan yang sudah mula bertapak beberapa tahun, dilema yang sering dihadapi adalah samada mengutamakan untuk mencari pelanggan baru atau menjaga sebaik mungkin pelanggan lama.

Pada bila-bila masa, jawapannya adalah menjaga pelanggan sedia ada. Menjaga pelanggan sedia ada adalah 10 kali ganda lebih utama daripada mencari pelanggan baru.

Ini adalah kerana pelanggan sedia-ada bermaksud pelanggan yang pasti dan pernah percaya pada anda. Mereka ini perlu diutamakan dalam semua keadaan. Mereka ini adalah sumber kewangan bagi anda untuk tempoh mungkin 20-30 tahun akan datang.

Mereka yang pernah membeli dari kita akan merasa lebih yakin untuk membeli untuk kali yang kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Mereka ini juga takut dengan sesuatu yang kurang pasti. Jadi di sini adalah kelebihan kita kerana mereka mengenali kita.

Pelanggan baru belum tentu menjadi pelanggan anda.

Pelanggan yang berpaling tadah

Tahap yang seterusnya adalah pelanggan anda yang sedia ada dan kemudian dia beralih kepada syarikat lain untuk membeli produk yang sama.

Terhadap pelanggan seperti ini, anda tidak seharusnya berdendam dengan mereka. Sebaliknya anda seharusnya bersangka baik dan cuba mendekati mereka semula. Hantar sms dan call mereka sekiranya perlu.

Jika mereka tidak reply atau tidak balas call anda, ini adalah lebih baik. Anda hantar sms dan call secara konsisten setiap bulan. Selepas beberapa bulan, mereka akan merasa bersalah terhadap diri mereka dan lambat laun mereka akan kembali kepada anda.

Jika mereka kembali buat kali kedua, kebarangkalian untuk mereka berpisah semula adalah sangat tipis. Jadi usaha anda ini tidak sia-sia.

Sebagai usahawan, kita perlu memandang gambaran yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu bagi satu masa tertentu.

sekian, terima kasih

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Shahabudeen Jalil adalah seorang usahawan dalam bidang import dan eksport, selain itu beliau juga seorang konsultan yang melatih usahawan lain untuk memborong terus dari sumber terutamanya dari China. Beliau juga telah mengasaskan sebuah portal untuk usahawan membuka dan berniaga secara online di internet. Layari shahabudeenjalil.com

Saturday, August 20, 2011

MALAM LAILATUL-QADAR



Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.
Maksudnya:
" Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya:
" Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta

mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada

dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:
Maksudnya:
" Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh

akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
" Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan

dalam malam ganjil. "

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah:

Maksudnya:
" Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar

iaitu malam ke-27. "
Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.
Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya:
" Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam

yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "
Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati
malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:
Maksudnya:
" Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah

keampunan-Mu untukku. "



Petikan dari :
FIQH & Perundangan Islam Jilid II
Wahbah al-Zuhaili
Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

David Villa Hina Islam - Mesut Ozil

Sebelum solat jumaat tadi, aku buka facebook sekejap. Then aku ternampak ada friend aku like page '1,000,000 football fans hate David Villa because he insulted Islam'. Aku terkejut. Isu barukah ini? Then, aku pun google untuk mendapatkan kepastian.

Segala-galanya bermula setelah pertahanan Real melakukan terjahan keras terhadap pemain baru Barca, Fabregas pada minit terakhir perlawanan 2nd leg Piala Super Sepanyol antara Barcelona vs Real Madrid. Keadaan menjadi tegang apabila pemain lain mula campur tangan. Marcelo dikenakan kad merah.


Kemudian, dalam video kelihatan Mesut Ozil ditampar oleh David Villa. Ozil juga nampak sangat marah terhadap David Villa ketika itu. Akibatnya, Ozil dan Villa juga dibuang padang. Jadi, apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang menyebabkan Ozil sangat berang terhadap David Villa?

Di bawah adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ozil bagi menjelaskan punca tercetusnya pergaduhan antara beliau dan Villa.

sumber : allvoices



sumber : allvoices

Perkara ini masih dalam siasatan. Jika benar David Villa hina Islam seperti didakwa Ozil, dia patut dikecam dan mesti meminta maaf. Aku tersangatlah kecewa dengan sikap tidak profesional Villa tu. Villa adalah salah seorang feveret player aku. Sepanyol pula adalah team yang aku sokong masa World Cup 2010 yang lepas. Aku beli jersi Spain dan hampir-hampir nak letak nama Villa kat belakang jersi tu. Mujur habis. Kalau tak, memang aku dah bakar dah baju Spain aku sekarang ni. Euro 2012 tahun depan, aku nak sokong Jerman pulak. Nak pakai jersi nama Ozil!

mesut ozil berdoa sebelum perlawanan

SZ : Nasib baik David Villa bukan player MU.. :D

sumber

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails