Tuesday, July 5, 2011

Bersih 2.0 : Tindakan Zalim Kerajaaan Tak Mampu Kekang Kemaraan Rakyat

Tindakan zalim Umno-Barisan Nasional yang bersekongkol dengan polis untuk membatalkan Bersih 2.0 adalah didorong kesedaran jangka hayat politik parti itu akan berakhir sekiranya perhimpunan aman pada 9 Julai itu berjaya menjamin proses pilihan raya yang adil dan telus.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, segala kezaliman itu bagaimanapun tidak akan mengekang gelombang kemaraan rakyat menuntut pilihan raya yang bersih supaya kerajaan yang terbaik dipilih.

"Berdasarkan ucapan, tingkah laku dan riak wajah mereka(kerajaan), satu mesej jelas terpampang, iaitu ‘Bersih’ akan mengakibatkan Umno/BN tersungkur dalam pilihan raya ke-13.

"Maka mesej inilah yang ingin mereka sampaikan kepada para penyokong atau golongan CARMA (Cari Makan) supaya Bersih dihalang dengan sedaya upaya,"tulis Khalid dalam blog beliau.

Malah ujar Khalid, BN hakikatnya memahami niat dan usaha sebenar Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), namun mereka terus-terusan memfitnah dan mencaci usaha murni ini kerana mereka sedar kejayaan Bersih hanya akan menumbangkan mereka pada pilihan raya umum akan datang.

"BN sedar bahawa pada hakikatnya rakyat sudah tidak bersama mereka dan pilihan-raya yang bersih, tanpa penipuan undi pos, kad pengenalan palsu, monopoli media dan sebagainya, akan menghasilkan kekalahan bagi BN!

"Maka itulah sebabnya perhimpunan Bersih telah difitnah dengan dakwaan kononnya Bersih ingin menjatuhkan kerajaan melalui huru-hara dan keganasan. Oleh itu ianya diharamkan. Sedangkan himpunan Bersih adalah himpunan aman yang bertujuan untuk menzahirkan sokongan rakyat terhadap tuntutan supaya pilihan-raya bersih dari penipuan. Ianya bertujuan untuk menganjurkan perarakan aman dari SOGO ke Istana Negara demi menyerahkan memorandum Bersih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agung," tulis Khalid lagi.

Tuanku Mizan semalam bertitah, betapa pentingnya kerajaan menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat dengan adil dan bijaksana dan dalam konteks ini ialah melaksanakan sebuah pilihan raya yang adil.

Malah Tuanku juga mengingatkan bahawa Baginda tidak mahu wujud sebarang persengketaan sesama rakyat dan timbul permusuhan dengan kerajaan pemerintah.

Baginda juga mengingatkan supaya satu rundingan diadakan di antara kerajaan dan Bersih.

Oleh itu, terpulang kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk membuat keputusan dalam hal ini.

Pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam satu kenyataan berkata, keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima lapan tuntutan Bersih yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dalam memastikan pilihan raya yang adil, hanya akan menyebabkan kegagalan Umno-BN pada pilihan raya akan datang.

Terdahulu, kerajaan telah menggunakan pelbagai cara untuk menghalang perhimpunan aman Bersih termasuk menahan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat.

Lebih 150 aktivis dan pemimpin pembangkang turut ditahan dalam usaha mengekang sebarang kempen Bersih diadakan di serata Malaysia bermula minggu lalu.

Tidak cukup dengan itu, institusi masjid turut digunakan untuk menyampaikan mesej kononnya Bersih ini dipelopori oleh kumpulan pelampau dan akan bertindak ganas termasuk mencederakan pasukan keselamatan.

Pada hari sama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula mengisytiharkan Bersih sebuah pergerakan haram dan polis dikerah untuk mengenakan tindakan tegas kepada sesiapa yang menyertai himpunan tersebut. -tvsnews

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails