Saturday, July 9, 2011

Pesanan Akhir Untuk Peserta BERSIH 2.0 - Perutusan Dari Dewan Ulamak PAS


Bersih 2.0: Jaga akhlak, usah layan provokasi

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh ahli PAS dan penyokong Bersih agar menjaga akhlak sesuai dengan tuntutan Islam semasa menyertai himpunan aman Bersih 2.0 esok.

"Saya selaku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat mewakili golongan para ulama PAS menyeru kepada seluruh ahli PAS dan mereka yang menyokong Bersih agar menjaga akhlak dan keperibadian mereka sesuai dengan tuntutan Islam yang sentiasa menganjurkan keperibadian yang mulia tanpa mengira sama ada mereka adalah kawan ataupun lawan.

"Perlu diingati bahawa sesiapa pun yang mengelilingi kita, mereka adalah sebenarnya mad’u kita," ujar ketuanya, Datuk Harun Taib dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengingatkan para ahli dan penyokong PAS jangan sekali-kali mengganggu ketenteraman awam apatah lagi merosakkan harta benda awam kerana ia ditegah di dalam Islam, sekalipun di dalam peperangan.

Namun begitu, beliau tetap percaya bahawa ahli PAS tidak akan bertindak sedemikian rupa sama sekali.

"Sekiranya perkara sebaliknya berlaku, maka kita percaya ianya bukan daripada amalan ahli kita yang telah sekian lama dididik dan ditarbiah agar berakhlak mulia oleh pemimpin-pemimpin dan murabbi kita sejak penubuhannya lagi," ujarnya yang juga Adun Manir.

Beliau berkata, apa sahaja bentuk provokosi oleh pihak lawan usah dilayani, anggaplah mereka golongan yang masih belum menerima mesej perjuangan PAS.

Justeru, Ustan Harun meminta ahli PAS supaya bersabar kerana ganjarannya adalah sangat besar di sisi Allah SWT kerana itulah lumrah perjuangan para anbia, sahabat-sahabat dan ulama-ulama serta pejuang-pejuang sebelum daripada kita.

Dewan Ulamak PAS Pusat juga, ujarnya turut mengharapkan agar pihak kerajaan khususnya pihak keselamatan memberikan kerjasama yang sewajarnya lagi adil untuk menjayakan hasrat yang mulia itu.

"Kepada kakitangan keselamatan, sekiranya anda berniat ikhlas untuk melancarkan lagi tuntutan dan hasrat mulia ini maka ketahuilah, insya Allah anda akan berkongsi pahala bersama-sama dengan kami dalam menjayakan tuntutan ini," ujarnya.

Menurutnya lagi, ganjaran pahala pasti akan menunggu mereka di hari akhirat nanti. -HD


Panduan ringkas perhimpunan Bersih 2.0


1. Apa yang perlu anda buat apabila DIBERHENTIKAN polis?
o Minta beliau tunjukkan Kad Kuasa Polis
o Catit nama dan nombor anggota yang tercatat dalam Kad Kuasa Polis
o Jika beliau berpakaian seragam, catit nombor anggota pada pakaian seragam
o Jika beliau berkenderaan, catit nombor pendaftaran kenderaan

2. Apa perlu anda buat jika diminta pengenalan diri?
o Berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat sahaja
o Jangan sekali-kali menyerahkan kad pengenalan anda kepada polis; hanya tunjuk sahaja
o Jika polis paksa anda serahkan kad pengenalan, minta dikeluarkan Borang Pemeriksaan sebagai bukti kad pengenalan dirampas

3. Bilakah anda ditahan?
o Apabila anda dihalang beredar dari tempat tersebut
o Apabila anda digari

4. Apa harus anda buat apabila ditahan?
o Jangan melawan dan jangan beri alasan kepada polis untuk gunakan kekerasan
o Tanya apakah alasan anda ditahan
o Tanya ke balai mana anda akan dibawa

5. Apakah hak anda setelah ditahan?
o Anda berhak membuat panggilan telefon kepada keluarga dan/atau peguam dan maklumkan balai tempat anda dibawa, sebab tangkapan dan nama polis yang membuat tangkapan

6. Berapa lama polis boleh menahan anda?
o Polis boleh menahan anda tidak melebihi 24 jam di balai atau lokap polis
o Anda boleh ditahan melebihi 24 jam jika anda diberikan Perintah Reman oleh Mahkamah Majistret tertakluk kepada tempoh maksimum 7 (4+3) hari bagi kesalahan menghadiri perhimpunan ‘Bersih 2.0’

7. Apakah yang perlu dibuat apabila anda dibawa ke hadapan Majistret untuk mendapatkan Perintah Reman?
o Beritahu polis/Majistret bahawa anda ingin diwakili peguam
o Jika anda diwakili peguam, anda tidak perlu bercakap kerana peguam yang akan bercakap bagi pihak anda di hadapan Majistret
o Anda hanya perlu beritahu peguam yang mewakili anda sekiranya anda sakit, didera, diugut atau tidak diberikan makanan/air/pakaian secukupnya semasa dalam tahanan. Buat laporan polis dengan segera jika berlaku keadaan sedemikian
o Beritahu juga kepada peguam sama ada polis telah menjalankan penyiasatan semasa anda dalam tahanan

8. Apakah yang perlu dibuat apabila polis ingin merakam Kenyataan Bertulis semasa dalam tahanan?
o Kenalpasti nama dan pangkat pegawai yang menyoal siasat anda
o Berikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan (butir-butir peribadi) jika diminta
o Selain memberikan butir-butir peribadi, anda dinasihatkan untuk berdiam diri dari menjawab soalan dari pegawai polis
o Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan “saya akan jawab di mahkamah” terhadap sebarang soalan yang dikemukakan kepada anda dan polis tidak boleh memaksa, mengugut atau memukul anda jika anda enggan menjawab soalan

9. Bilakah anda didakwa di mahkamah ?

o Anda boleh didakwa di mahkamah pada atau sebelum tempoh reman yang diberikan terhadap anda tamat
o Anda didakwa jika pertuduhan dibacakan terhadap anda di hadapan seorang Majistret/Hakim dan anda ditanya sama ada mengaku bersalah atau minta dibicarakan
o Pastikan anda MENGAKU TIDAK BERSALAH dan peguam ‘Bersih 2.0’ akan mewakili anda sehingga perbicaraan selesai

Disediakan oleh: Unit Tindakan Undang-Undang Jenayah, Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama Lajnah Undang-Undang PAS Pusat

Jika Anda Ditahan Hubungi No. Telefon Hotline Bilik Gerakan PEGUAM, Dewan Pemuda PAS Malaysia :

1. 0 1 6 – 3 1 2 6 4 6 3
2. 0 1 6 – 3 1 2 6 4 7 3
3. 0 1 4 – 6 4 5 1 7 5 3
4. 0 1 2 – 3 9 2 8 3 7 9

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails