Monday, July 18, 2011

Bila Umno BN nak ikut Kedah

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Dalam keseronokan Umno mengambil kesempatan untuk mengkritik kerajaan Kedah dalam isu Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, PAS hari ini menyeru Umno Barisan Nasional untuk melaksanakan perkara yang sama di negeri-negeri pimpinan mereka.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kelantangan parti MCA dan Gerakan yang selalu mengikut telunjuk Umno dalam menentang rancangan kerajaan Kedah untuk menguatkuasakan Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang telah diluluskan 14 tahun yang lalu oleh kerajaan pimpinan Umno sendiri telah menonjolkan kepada rakyat sikap hipokrit mereka yang ketara.

“Kerana golongan inilah yang juga menyokong enekmen tersebut sewaktu dibentang dulu, kini tetiba cuba menjadi hero kononnya atas alasan untuk membela hak bukan Muslim,” selar beliau.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang wujud sejak zaman pemerintahan Umno dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

Isu ini telah diambil kesempatan oleh MCA, kawan sejati Umno selama 54 tahun dan Gerakan yang bertalu-talu menyerang kerajaan Kedah sambil menghasut masyarakat bukan Islam dengan dakwaan bahawa kerajaan sedang menghalang hak asasi masyarakat bukan Islam.

Langkah kerajaan negeri turut dilihat oleh sesetengah pihak berfikiran sempit sebagai memberi nadi hidup kepada MCA untuk menekan DAP dalam pertarungan mendapatkan sokongan bukan Islam, tanpa melihat secara menyeluruh bahawa jika PAS tidak dapat melaksanakan larangan ini dengan baik, perkara ini juga akan memberi advantage percuma kepada Umno dalam memenangi hati pengundi Melayu.

Terjerat dengan permainan, tindakan kerajaan Kedah akhirnya mendapat bantahan dari beberapa pihak termasuk MCA, Gerakan dan rakan Pakatan Rakyat, DAP walaupun mendapat pengiktirafan mufti dan pelbagai NGO, termasuk beberapa NGO wanita yang bukan Islam sebagaimana dilaporkan oleh akhbar-akhbar.

Namun, kontroversi tersebut selesai selepas Azizan bertemu wakil pusat hiburan kelmarin dan bersetuju membenarkan mereka beroperasi tetapi tidak boleh membenarkan umat Islam memasuki premis mereka.

“Tindakan tersebut adalah satu pendekatan yang bijak bilamana para pengusaha pusat hiburan bersetuju untuk membantu kerajaan negeri dalam memastikan umat Islam tidak memasuki premis mereka dan juga menyatakan kesediaan mereka untuk dikenakan tindakan seandainya berlaku perlanggaran terhadap enakmen ini.

"Ini adalah satu lembaran baru kerana kerajaan Kedah di bawah PAS telah dapat melaksanakan enakmen yang membawa kebaikan kepada umat Islam negeri tersebut yang selama ini tidak dapat dilakukan oleh Umno yang memerintah negeri itu sekian lama,” ulas Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Dalam satu sidang akhbar semalam juga, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS telah mengambil jalan terbaik dalam isu larangan ini yang tidak boleh diselesai oleh Umno sekian lama dengan tidak menghalang hak orang bukan Islam, dan dalam masa yang sama orang Islam tidak boleh mengerjakan maksiat dalam bulan Ramadhan yang suci.

"Orang Umno buat peraturan orang Islam boleh masuk tempat maksiat, tempat judi. Kita buat pembetulan supaya pengendali pusat hiburan di kalangan orang bukan Islam buat peraturan agar orang Islam tidak boleh masuk,” terang beliau selepas mendapat penjelasan dari wakil kerajaan negeri Kedah iaitu Setiausaha Politik kepada menteri besar, Mohd Sanusi Md Noor.

Namun begitu, keputusan kerajaan Kedah tersebut telah diserang bertubi-tubi oleh Umno atas alasan PAS mengikut telunjuk DAP, walhal perkara ini langsung tidak dapat dilaksanakan oleh Umno sepanjang 14 tahun yang lepas.

“Jangan pula dalam keseronokan mereka menyerang PAS dalam isu ini, mereka terlupa bahawa umat Islam tahu bahawa mereka langsung tidak pernah berbuat apa-apa untuk membentuk environment Ramadhan yang sesuai untuk umat Islam negeri tersebut.

"Kini umat Islam sedang menanti bilakah Umno, yang selalu berheboh bahawa merekalah pejuang Islam yang sebenar akan menguatkuasakan larangan in di negeri-negeri mereka pula,” bidas Tuan Ibrahim.


harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails