Friday, April 29, 2011

Penduduk Palestin Gembira Dengan Perdamaian Hamas-Fatah


Penduduk Palestin gembira dengan perdamaian bersejarah yang terjalin antara Hamas dan Fatah di Kaherah pada Rabu. Mereka menaruh harapan agar perselisihan antara kedua-dua kumpulan itu berakhir untuk selama-lamanya.

Di kem pelarian Jabalya, yang paling padat di Semenanjung Gaza, penduduk mengikuti perkembangan berita yang disiarkan secara langsung mengenai pemeteraian perjanjian awal itu.

Abu Ahmed Daher, 68, berkata sejak sekian lama beliau mengharapkan Hamas-Fatah untuk bekerjasama. "Saya berasa amat gembira kerana perkara itu menjadi kenyataan, tetapi saya masih berasa bimbang bahawa Israel akan memusnahkan perjanjian itu," katanya.

"Semoga Tuhan menyatukan mereka sekali lagi, mereka adalah bersaudara dan mereka berdepan dengan musuh yang sama," kata rakannya Abu Hassan, 65, sambil mengikuti siaran berita itu di televisyen bersama-sama Abu Ahmed.

Semasa berlakunya gangguan bekalan elektrik, beberapa pelarian itu berkumpul di rumah seorang rakan yang mempunyai set generator untuk televisyennya. Bersama-sama mereka menonton siaran sidang akhbar yang diadakan di Kaherah oleh
wakil Hamas dan Fatah.

Menurut wakil berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju untuk membentuk kerajaan sementara yang terdiri daripada tokoh-tokoh bebas untuk memulakan persediaan bagi pilihan raya presiden dan parlimen. Perjanjian rasmi dijadual dimeterai minggu depan dengan kehadiran pemimpin kedua-dua kumpulan dan Presiden Pihak Berkuasa Palestin Mahmoud Abbas, dan ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshal.

Wakil kumpulan Palestin yang lain juga dijangka hadir. Perjanjian itu akan membawa kepada penamatan perselisihan yang telah menjejaskan penduduk Palestin sejak 2007. Akibat daripada perselisihan itu, Hamas menguasai Semenanjung Gaza manakala Fatah menguasai kawasan-kawasan lain yang diduduki -- Tebing Barat.

Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, yang rumah mereka dimusnahkan semasa perang Israel di kawasan sempit itu, amat memerlukan perjanjian itu supaya mereka dapat membina semula rumah mereka. Akibat daripada sekatan dan pembahagian itu, pembinaan semula di Gaza oleh negara Arab dan asing ditangguhkan sehingga penduduk Palestin bersatu semula.

Israel menghalang bahan pembinaan seperti simen, besi dan batu kerikil daripada dibawa masuk ke Semenanjung Gaza. Sepertimana kebanyakan penduduk lain, Abu Khaleel Khadeer, yang rumahnya dirobohkan oleh tentera Israel pada 2009, kini tinggal di pondok sementara bersama-sama keluarganya.

Beliau benar-benar berharap perselisihan itu ditamatkan dan semua penduduk Palestin bersatu. "Kami menggesa mereka berdamai; penduduk tidak tahan lagi hidup dalam keadaan sekarang. Terdapat beratus-ratus keluarga yang tidak mempunyai tempat tinggal sekarang," kata bapa enam anak itu. "Mari kita bersama-sama membina rumah-rumah...penduduk berharap anda akan melenyapkan penderitaan mereka," kata Abu Khaled kepada kedua-dua kumpulan itu.

- Gaza, 28 April 2011

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails