Wednesday, April 20, 2011

Kepimpinan: Antara Kuasa dan Pengaruh – Update

Ceramah Berkenaan Tajuk Ini Yang Disampaikan di Jab. Perubatan Kecemasan UKMMC [muat turun mp3]

CHIN PENG , TUN MAHATHIR, SITI NURHALIZA, ASHAARI MUHAMMAD, HIDEO NOMO, MAWI, HASAN AL-BANNA, TIGER WOODS, BILL GATES, SAID HAWWA, SIMON COWELL, ABU HAMID AL-GHAZZALI, IBN TAIMIYAH, STEPHEN COVEY, TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ, CALVIN COOLIDGE

Jika saya tanya, apakah yang menjadi asas saya mengumpulkan nama-nama di atas di dalam satu himpunan, tentu ada yang berubah wajah. Mungkin ada yang merah padam wajahnya apabila nama seorang alim, saya kumpulkan sekali dengan nama seorang artis.

leadership.jpg

Mungkin ada di antara mereka ini yang anda tidak pernah mendengar namanya. Ada juga yang diketahui semua. Tetapi kembali kepada soalan saya tadi, apakah yang anda nampak di sebalik semua nama ini?

Mereka adalah manusia yang BERPENGARUH.

Setiap manusia ada pengaruh. Pengaruh itu bermaksud, dirinya berhubung dengan seseorang dan hubungan itu memberi bekas. Ada yang memberi pengaruh positif, ada yang memberi pengaruh negatif. Tetapi jika kita mahu perlakuan dan perkataan kita memberi impak kepada orang lain, ia mesti datang dengan pengaruh.

Soal PENGARUH inilah yang sukar untuk dilihat kepentingannya oleh kita, dalam konteks kehidupan yang luas ini.

KEPIMPINAN DAN PENGARUH

Saya pinjam huraian yang dibuat oleh John C. Maxwell di dalam bukunya Becoming A Person of Influence. Apa yang dipaparkan ini adalah berkaitan dengan soal kepimpinan. Kepimpinan adalah salah satu cara mengaplikasikan pengaruh.

leadership2.JPG

Kepimpinan yang paling lemah, adalah kepimpinan yang bergantung kepada kuasa dan jawatan.

Ada kedudukan, ada jawatan baru boleh memimpin. Ini adalah pemimpin yang paling lemah. Seorang pemimpin yang seperti ini sentiasa berada di dalam keadaan tidak tenteram dan tidak selamat. Beliau akan menggunakan sepenuh keupayaan yang ada untuk mempertahankan kedudukannya, lebih daripada usaha membangunkan dirinya sebagai seorang pemimpin.

Kepimpinan yang bergantung kepada jawatan dan kedudukan ini, boleh melanda kepimpinan semuda kepimpinan di sekolah, sampailah kepada kepimpinan di sebuah kerajaan dan negara.

KEPIMPINAN DI SEKOLAH

Kalau di sekolah, andaikata pelajar dilatih memimpin hanya dengan jawatan, mereka akan hanya mampu mempimpin andaikata diberikan kuasa, jawatan dan kedudukan. Apabila mereka ini dilepaskan ke tempat yang memerlukan mereka untuk bangun sendiri, memimpin persekitaran dan membentuk pergerakan, mereka gagal.

Ini adalah di antara punca mengapa ada pelajar yang cemerlang dalam kepimpinan di sekolahnya, apabila masuk ke universiti, gagal berperanan. Pelajar sekolah agama yang disegani (sebenarnya mungkin digeruni kerana kuasanya), mungkin gagal berbuat apa-apa, jika dia menyambung pengajian ke sebuah universiti yang tiada persatuan Islam, tiada platform, dan tiada siapa yang membekalkan kuasa.

Jika ke Mesir yang ada persatuan seperti PMRAM, mungkin kelangsungan kepimpinan boleh diteruskan. Bagaimana pula jika pelajar ini dihantar ke bandar-bandar terpencil di Kiev Ukraine, Moscow, Wellington, atau Durham dan Swansea?

leadership3.jpg

Ini antara analisa saya terhadap kegagalan sesetengah pelajar sekolah agama berperanan di kampus-kampus negara Barat. Apabila latar belakang mereka diselidik, mereka datang dari sekolah-sekolah agama yang bagus, malah mereka adalah di antara pemimpin pelajar yang terkenal semasa di sekolah.

Tetapi kenapa gagal berperanan semasa di kampus? Bukan sahaja gagal memimpin, malah ramai juga yang ‘pencen awal’ dari identiti agama.

Antara faktor yang saya kenal pasti, adalah pendekatan Tarbiyah mereka semasa di sekolah. Badan-badan agama yang diberikan otoriti oleh pihak sekolah, atau diwarisi turun temurun, berperanan sebagai ‘cemeti’ melaksanakan dakwah di sekolah. Tetapi jika kepimpinan terlalu bergantung kepada kuasa dan kedudukan, mereka gagal memimpin di dalam dunia sebenar, yang melihat aspek yang lebih penting iaitu PENGARUH!

Malah, di kampus juga, kekalahan kumpulan dakwah akan melenyapkan figura-figuranya daripada terus berfungsi di dalam masyarakat, kerana kebergantungan mereka kepada kuasa untuk melaksanakan dakwah. Mereka terlupa kaedah membangunkan Islam, berbekalkan pengaruh dan kualiti diri, yang wujud pada diri Muhammad SAW tatkala baginda belum menjadi Rasul di Mekah.

Hal yang sama teraplikasi di dalam sebuah organisasi perniagaan. Amat rumit jika ketua sebuah jabatan, adalah seorang yang hanya ada jawatan dan kedudukan tetapi tiada pengaruh. Beliau akan memaksa jawatan dan kedudukannya di’sedari’ oleh pekerja, dari semasa ke semasa, demi memastikan arahannya berjaya dipatuhi. Tetapi di dalam mesyuarat, kata-katanya bukanlah yang membentuk keputusan. Mungkin dengan kuasanya keputusan boleh dipaksakan ke atas mesyuarat, namun ia tidak menyerap ke hati dan persetujuan ahli. Tiada kesungguhan anak buah untuk melaksanakan arahan, kerana arahan itu datang dengan paksaan, tanpa penerimaan.

Itulah impak kuasa tanpa pengaruh!

PERINGKAT KEPIMPINAN

leadership2.JPG

Kepimpinan lazim bermula dengan kedudukan dan jawatan (POSITION). Jawatan dan kuasa, adalah lesen yang memudahkan laluan seseorang berperanan. Akan tetapi, lesen itu hanya pengiktirafan kepada kualiti asasnya sebagai ketua dan pemimpin. Justeru ia mestilah ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Apabila seorang ketua berjaya memperlihatkan bibit-bibit kewibawaan pada dirinya, maka pengikut akan mula membenarkan diri mereka dipimpin dan diterajui oleh ketua tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan tahap PERMISSION.

Di sini, mungkin pengikut akan membenarkan seorang ketua melaksanakan lebih dari skop kerjanya semata-mata. Pengikutnya akan bertanya lebih dari soal kerja, meminta pandangan tentang satu dua masalah peribadi, dan membolehkan kumpulan atau organisasi tersebut maju setahap lagi ke peringkat PRODUCTION.

Kerjasama yang meningkat di antara seorang pemimpin dengan mereka yang dipimpin, akan membolehkan mereka bersinergi. Dengan cara ini, hasil kerja mereka akan jadi lebih PRODUKTIF.

Dalam suasana yang seperti ini, seorang pemimpin itu mungkin selesa bekerja dengan pengikutnya. Tetapi kehilangannya mungkin tidaklah begitu dirasakan. Mengeluh sehari, dan cepat mencari pengganti. Mungkin ramai ADUN yang menerima nasib begini. Kubur masih merah, orang dah berpesta mencari pengganti.

Tetapi jika seorang pemimpin yang sudah elok bergaul dengan pengikutnya, berjaya memberikan impak dan mengubah kehidupan pengikutnya kepada yang lebih baik, maka kepimpinannya sudah naik ke tahap yang keempat iaitu PEOPLE DEVELOPMENT. Pemimpin di tahap ini akan membantu pengikutnya membangunkan potensi diri.

Akan tetapi, seorang pemimpin yang benar-benar cemerlang adalah pemimpin yang berjaya sampai ke peringkat kelima. Kepimpinannya bukan hanya memberikan kesan kepada soal taraf kehidupan pengikut, atau kejayaan karier mereka, malah berjaya membentuk pengikutnya menjadi insan yang cemerlang, hasil pengaruh dirinya sendiri ke atas mereka yang dipimpin (PERSONHOOD). Ia sukar untuk dicapai, kecuali selepas seseorang itu menghabiskan seluruh umurnya untuk membangunkan manusia mencapai potensi terbaik mereka.

leadership4.jpg

Inilah ukuran yang mendorong Michael H. Hart meletakkan Nabi Muhammad S.A.W di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri. Bukunya The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History, memperkatakan soal PENGARUH, dan faktor inilah yang menjadikan kehidupan seseorang itu sangat signifikan kepada manusia yang lain.

Baginda S.A.W. adalah insan yang berpengaruh, sebelum baginda diberi Kenabian, sebelum beroleh kuasa dan kerajaan. Pengaruh baginda S.A.W. adalah pada kualiti dirinya. Kualiti Al-Amin, kualiti integriti dan kualiti kompetensi.

SIRAH PENGARUH DAN KUASA

Lihat sahaja sirah Baginda SAW semasa di Mekah. Ketika kabilah-kabilah Arab berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajar al-Aswad ke Kaabah, mereka akhirnya mencari seorang anak muda yang tidak berjawatan KETUA PEMUDA, tetapi PEMUDA yang berkualiti KETUA, iaitu Muhammad SAW. Biar pun tanpa jawatan dan kedudukan, pengaruh Baginda sudah sedia terserlah, dek kualiti yang ada pada dirinya.

Malah Muhammad SAW yang tidak berjawatan itu, menggelisahkan seluruh pembesar Mekah yang ada jawatan dan kuasa. Kepimpinan dengan pengaruh hasil kualiti, mengancam seluruh jawatan dan kuasa yang cuba dipertahankan tanpa kualiti kepimpinan.

Kerana itu, Madinah terus memacu kejayaan, apabila kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan pengaruh itu, dilengkapkan dengan kuasa dan kedudukan!

Untuk memimpin dengan pengaruh, seseorang itu akan menumpukan perhatian kepada membangunkan kualiti dirinya sebagai aset terbesar dalam kepimpinannya. Dia akan terus menjadi pusat, sama ada dengan jawatan, atau tanpa jawatan. Jatuh naiknya kepimpinan beliau tidak bergantung pada kemenangan pertandingan dan kekuatan lobi orang lain untuk dirinya. Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Apabila kualiti diri dibangunkan, pengaruh datang sendiri.

“PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI. APABILA KUALITI DIRI DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI”

Ciri-ciri inilah yang mesti dibangunkan oleh setiap kita sebagai seorang individu Muslim yang cemerlang.

PENGARUH IBU BAPA

Tentu sahaja malang bagi seorang ibu atau bapa, jika beliau memimpin keluarga tanpa pengaruh. Saingan terbesar bagi pengaruh seorang ibu dan bapa terhadap anak-anak adalah kawan-kawan mereka. Kawan-kawan anak yang memberikan lebih banyak masa berbanding ibu bapa kepada si anak. Kawan-kawan lebih banyak berhubung dengan anak-anak berbanding ibu bapa.


Ketam mengajar anak berjalan lurus!

Ibu bapa mesti berfikir bagaimanakah caranya untuk diri mereka terus berpengaruh dalam kehidupan anak-anak, khususnya remaja? Dalam suasana kehidupan hari ini, herdik dan takut menakutkan, bukan lagi senjata yang berkesan untuk ibu bapa mengawal anak-anak. Apatah lagi jika sikit-sikit mengugut “anak durhaka”!

“Aku ni ayah kamu. Kamu kena dengar cakap aku!”, kata-kata ini adalah biasa. Namun jika sering diulang, ia petanda bagi kepimpinan yang lemah oleh seorang ayah. Beliau memerlukan ‘jawatan’ dan ‘kuasa’nya sebagai seorang bapa, disebut-sebut agar si anak boleh mematuhi arahan. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika kuasa itu didesak-desak dalam keadaan si ayah tiada kualiti yang boleh menyerlahkan pengaruh kepada anak, justeru tiada rasa hormat yang dapat diterbitkan.

Anda boleh memilih… mahu menjadi ayah yang berkuasa, atau ayah yang berpengaruh.

Jika mahu menjadi ayah yang berkuasa, teruskanlah mempromosikan kuasa anda itu. Tetapi jika anda mahu menjadi ayah yang berpengaruh, teruskanlah berusaha membangunkan potensi diri, kerana pengaruh itu terbit dari kualiti dan kelayakan!

PENGARUH DAN PENDAKWAH

Tetapi soal pengaruh di sini, paling penting untuk difikirkan oleh para pendakwah. Apakah anda bergantung kepada status, gelaran dan jawatan, institusi dan aliran untuk mengawal masyarakat? Jika anda malas membina pengaruh, meningkatkan kualiti diri, dan berhubung dengan manusia pada akal dan hati mereka, maka adalah pemimpin yang paling lemah.

.leadership5.jpg
Calvin Coolidge (1872 -1933)

Saya tertarik dengan kisah bagaimana seorang tetamu telah bermalam di White House di zaman Presiden Calvin Coolidge (1872 – 1933). Semasa bersarapan pagi, tetamu tersebut tidak menjamah makanan sehinggalah ia dimulakan oleh Presiden. Beliau memerhatikan terlebih dahulu bagaimanakah Coolidge bersarapan supaya dapat menonjolkan imej yang baik sesuai dengan gaya Presiden.

Mula-mula cawan Presiden diisi dengan kopi. Beliau kemudiannya menuangkan sedikit daripada kopi itu ke dalam piring. Kopi di dalam piring itu dicampur dengan sedikit gula dan krim.

Oleh kerana tetamu tadi tidak mahu melanggar apa-apa etika, beliau melakukan perkara yang sama. Selepas selesai membancuh kopi di dalam piring beliau menanti apakah tindakan Presiden berikutnya.

Alangkah terkejut dan tergamamnya beliau apabila Presiden Calvin Coolidge telah meletakkan piring itu di atas lantai untuk dijamah oleh si kucing! Tiada keterangan yang menjelaskan apakah yang dilakukan seterusnya oleh tetamu tersebut.


Presiden yang pendiam. Memerintah dengan aksi!

Itu kisah di Amerika.

ASHAARI MUHAMMAD

Saya teringat kepada perbualan saya bersama-sama dengan bekas pengikut al-Arqam tentang ciri-ciri kepimpinan Ashaari Muhammad mereka.

Antara kisah yang ingat ialah, apabila Ashaari Muhammad berceramah, ia akan dirakam dengan video. Selepas ceramah, Ashaari Muhammad dan rakan-rakannya akan menonton video tersebut yang banyak memfokuskan kepada penonton. Mata-mata yang terbeliak, mulut yang terlopong, adalah tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu berpotensi untuk diajak menjadi pengikut. Individu yang sedemikian rupa akan disiasat latar belakangnya, dan dicari alamatnya.

Lalu Ashaari Muhammad dan pengikutnya akan ke rumah lelaki tersebut. Bayangkan sahaja betapa berbesar hatinya seorang yang sedang sarat dengan kekaguman diziarah oleh tokoh yang dikaguminya. Ashaari Muhammad akan bertanya khabar, dan kemudian meminta izin untuk berehat seketika dengan tidur di atas lantai beralaskan bantal sofa lelaki tersebut.

Allah, cair hati tuan rumah. Lepas tu, minta apa pun diberi Insya Allah.

Saya tidak bermaksud mahu menganalisa Ashaari Muhammad dan gerakannya di sini, namun sikap beliau sangat mempengaruhi pengikut. Jika nyamuk gigit pun, Ashaari Muhammad hanya meniup dan tidak menamparnya. Ketika makan bertalam, Ashaari Muhammad akan mengambil tulang lebihan mereka yang makan setalam dengannya, dan akan dijamahnya sisa-sisa daging yang masih terlekat sehingga habis licin.

Gaya kepimpinan begini, sangat mempengaruhi. Apa yang beliau lakukan? Beliau berhubung dengan pengikutnya. Bukan hanya hubungan logik akal, tetapi hubungan hati, hubungan emosi.

Kepimpinan yang begitu berpengaruhi, akan mengenepikan soal keputusan akal terhadap benar atau batilnya agenda yang dibawa. Jika perjuangan yang batil boleh begitu berkesan hasil pengaruh, malang sekali perjuangan yang benar hanya kalah kerana sentiasa bergantung kepada kuasa, iaitu selemah-lemah kepimpinan.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

nik_aziz.jpg

Inilah watak yang juga saya kesan pada peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa saya pergi menziarahinya seawal tahun 1992. Ketika tiba di kediaman beliau, Tuan Guru baru sahaja turun dari bumbung rumah, membetulkan atap yang rosak. Ketika ditanya, bagaimanakah ayah beliau mendidiknya, Tuan Guru memberitahu bahawa mancis api sebatang pun, dibelah dua untuk mengajar anak berjimat cermat.

Sungguh mengujakan saya.

Tidak hairan, beliau disegani oleh kawan dan lawan. Anda boleh berbalas hujah dengan pendebat dan pemidato, tetapi tiada siapa yang mampu menewaskan akhlaq dan pengaruh.

Tanpa perlu temu janji, seorang pelajar lepasan SPM seperti saya dapat bertemu dengan seorang tokoh sepertinya. Tokoh yang berpengaruh, menjadikan setiap manusia yang berhubung dengannya, terasa istimewa. Beliau melakukan MODELLING, MOTIVATING, MENTORING dan mudah-mudahan pengaruh Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya menghasilkan MULTIPLYING.

Ramai yang sedang menanti.

leadership6.jpg

Mereka yang berpengaruh, mereka itulah yang menguasai. Mereka yang berkuasa, belum tentu berjaya mempengaruhi.

Jangan marah, jika artis lebih popular. Manusia dan kepimpinan …. adalah soal PENGARUH.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails