Tuesday, April 26, 2011

Menilai tahap kecekapan pengurusan UUM


Universiti Utara Malaysia (UUM) dikenali (bukan terkenal) sebagai universiti yang banyak memfokuskan bidang pengajian kepada falsafah dan pengaplikasian pengurusan. Kami sebagai graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) merasa terpanggil untuk mengemukakan komentar tentang isu-isu yang menyentuh kepada aspek tata-kelola universiti pengurusan ini.

Isu terbaru yang melanda UUM ialah mengenai isu air dan isu cukai tanah yang mana telah mengheret kerajaan PAS Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Jentera media diperkakaskan sepenuhnya oleh rejim Umno BN, apa yang menjadikan isu ini bertambah panas ialah apabila kesalahan tersebut dibebankan sepenuhnya ke atas bahu kerajaan PAS Kedah walaupun pada hakikatnya masalah ini berpunca daripada kelemahan yang ketara oleh pentadbiran dan pengurusan UUM untuk menangani masalah ini dari akar umbinya.

Apabila memperkatakan mengenai isu air, hal ini sebenarnya melibatkan dua persoalan yang utama iaitu, kegagalan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri untuk membekalkan air secukupnya kepada UUM atau masalah infrastruktur yang tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan pusat justeru infrastruktur universiti terletak sepenuhnya dalam tanggungjawab kerajaan pusat iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Utusan Malaysia melaporkan bahawa masalah ini berpunca daripada persoalan yang pertama walaupun pada hakikatnya pengurusan UUMlah yang patut disalahkan kerana gagal menangani masalah ini. Dilaporkan juga bahawa UUM menghabiskan purata sebanyak RM80,000 untuk bekalan air dengan menyewa lori untuk mengangkut air setiap bulan. Bayangkan jika duit yang dibazirkan ini digunakan untuk menyelenggarakan infrastruktur yang sedia ada, saya percaya bahawa pembaziran ini dapat dielakkan.

Persoalan lain yang turut terkait dengan isu air ini ialah tidak semua Dewan Penginapan Pelajar (DPP) mengalami masalah ini bahkan hanya segelintir sahaja. Namun media membesar-besarkan isu ini untuk menunjukkan bahawa seluruh universiti ‘kelam kabut’ kerana isu ketiadaan air ini. Saya difahamkan bahawa DPP yang berada di luar kampus utama iaitu DPP Bank Rakyat dan DPP SME Bank tidak pula mengalami masalah ini.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah melalui portal kerajaan negeri, dipetik sebagai berkata bahawa kelemahan ini berpunca daripada kelemahan pengurusan universiti yang gagal untuk menaiktaraf infrastruktur ada sesuai dengan pertambahan mahasiswa yang semakin meningkat. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menegaskan bahawa pihaknya telah membawa isu ini kepada kerajaan pusat (merujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi) namun tidak berhasil.

Isu air ini sebenarnya telah berlaku sejak pemerintahan rejim Umno BN memerintah Kedah sebelum diambil alih oleh Pakatan Rakyat. Hal ini bermakna kerajaan Umno BN sememangnya gagal membantu menyelesaikan masalah ini dan pemimpin sebelum ini yang patut dipersalahkan.

Isu yang seiring dengan isu air adalah mengenai isu cukai tanah. Dilaporkan bahawa kerajaan negeri menaikkan cukai tanah sehingga sepuluh kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri. UUM juga dilaporkan bahawa perlu membayar sebanyak RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Fitnah yang berterusan terus dihamburkan kepada kerajaan PAS Kedah dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri mengaut keuntungan daripada institut pengajian tinggi (IPT) itu. Kerajaan Pusat juga mendakwa bahawa mereka ingin untuk bersahabat dan menjalin lebih banyak kerja dengan kerajaan negeri. Jika ini disebutkan dengan hati yang tulus, selesaikanlah masalah air yang telah sekian lama berlaku dan jangan hanya tau menyalahkan kerajaan negeri.

Dalam Harakahdaily.net, Menteri Besar Kedah mengeluarkan kenyataan bahawa, tempoh pemberian rebat kepada universiti itu telah berakhir, dan oleh kerana itulah UUM perlu membayar penuh. Namun, jika UUM tidak mampu untuk membayar cukai tersebut, UUM boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula. Kenyataan yang dikeluarkan ini tidak ‘sampai’ kepada masyarakat kerana semua media massa adalah pro kerajaan dan sememangnya kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat adalah ‘haram’ dikeluarkan di media massa ini. Hal ini akan menampakkan bahawa PR sememangnya lemah dan tidak mampu untuk mentadbir negeri yang dimenanginya ketika pilihan raya yang lalu.

Saya sangat berharap agar mahasiswa UUM bijak untuk menilai situasi ini dan jangan hanya menuduh membabi buta tanpa mendapatkan berita daripada sumber yang benar. Mahasiswa perlu bersuara jika hak anda dicabuli. Jangan hanya menjadi mahasiswa yang bisu dan pekak, hanya mengikut telunjuk universiti yang nyata telah memanipulasi anda untuk menampakkan bahawa kesalahan perlu ditanggung oleh kerajaan yang sedang memerintah!


Siti Salasiah Salamun

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails