Wednesday, April 13, 2011

Dun menang jadi anak angkat PAS Pusat


(Ustaz Abdul Hadi bersama pemimpin PAS Sarawak di samping calon PAS Beting Maro, Abang Mat [kanan sekali] di Pusa Hulu, Beting Maro)

BETING MARO, 13 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi jaminan bahawa mana-mana Dun yang dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya negeri (PRN) Sarawak akan dijadikan Dun angkat PAS pusat.

Jaminan itu dinyatakan beliau dalam satu ceramah di sini malam tadi.

"Yang mana, Dun tersebut akan dijadikan sebagai model yang akan memangkinkan kemasukan PAS ke Sarawak dan Sabah dengan lebih meluas lagi,"katanya.

(Gambar: Bukan guna helikopter tetapi hanya dengan sampan untuk bertemu pengundi)

Sementara itu, semalam beliau juga telah menghubungi menerusi telefon kesemua calon PAS yang bertanding di lima Dun di sini iaitu di Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu.

Selain bertanyakan khabar kepada calon, beliau turut memberikan kata nasihat dan motivasi.

Antara lain, beliau menasihatkan agar calon meneruskan usaha mendekati rakyat dan tetap dalam perjuangan biarpun wujud usaha pihak tertentu menawarkan ganjaran agar calon menarik diri.

Sebelum ini, Wakil Calon PAS Tanjong Datu, Syed Abdul Rahman telah membuat laporan polis ekoran tindakan pihak-pihak tertentu memujuk calon PAS di itu, Hani Sahari menarik diri.

Yang amat dikesali adalah panggilan itu antaranya dari dari nombor telefon yang kemudiannya dikenalpasti dari Bukit Aman sendiri.

(Gambar: Ustaz hadi di sambut orang ramai setibanya di Pusa Hulu)

Kepada jentera pula, Ustaz Hadi menyeru agar mereka membantu calon dalam usaha bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan Dun masing-masing.

Hari ini masuk hari ke lapan kempen pilihan raya di sini yang masih berbaki dua hari sebelum hari pembuangan undi 16 April ini.

Di fasa terakhir ini, parti-parti yang bertanding dilihat makin agresif menjalankan kempen mereka.

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sendiri dijanga akan turun berkempen di Dun Sebuyau di mana PAS meletakkan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj Adam Ahid sebagai calon mereka menetang calon BN Julaihi Narawi.

Sementara itu, Abdul Hadi membuat rayuan khas kepada rakyat Sarawak menjelang hari mengundi 16 April ini. Berikut adalah rayuan beliau.

Rayuan Presiden PAS kepada rakyat Sarawak

Saya percaya bahawa sudah tiba masanya untuk seluruh pengundi di Sarawak, yang mengandungi berbagai resam budaya dan etnik, agama, untuk bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat bagi melakukan satu perubahan yang jelas dalam pilihan raya kali ini dengan satu mesej yang paling jelas, iaitu : Marilah Kita Berubah Dengan Menolak Barisan Nasional (BN) Dalam Pilihan Raya Kali Ini.

Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekalian lama.

Janji dan rasuah politik oleh BN sepanjang tempoh pilihan raya ini akan terus diulang-ulang oleh pemimpin BN untuk mereka mengekalkan kuasa dan seterusnya mengumpulkan kekayaan untuk diri mereka sendiri.

Akhirnya nasib rakyat masih tidak berubah sejak puluhan tahun ini. PAS akan memastikan konsep Federalisma terus dipelihara, dan perpaduan kaum akan menjadi keutamaan di negeri Sarawak ini.

PAS merayu kepada pengundi di Sarawak untuk memilih calon dari PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini. PAS akan memastikan wakil rakyat dari PAS nanti akan berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat, membawa aduan dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk melakukan sau perubahan bersama rakyat Sarawak.

Sekiranya menang di DUN Beting Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau dalam pilihanraya kali ini, PAS akan memastikan kawasan ini dibela dengan menjadikan DUN ini sebagai kawasan contoh di Malaysia, di mana seluruh petugas PAS akan menyumbang tenaga secara langsung di sini nanti.

Di sinilah nanti PAS akan menunjukkan contoh Keadilan Islam Untuk Semua Golongan di negeri Sarawak tanpa mengira anutan agama dan keturunan. Itulah sebenarnya wajah Islam yang ingin kami bawa.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails