Friday, April 8, 2011

Pergimu Akan Tetap Dibela

Rakan sekerja Sarbani syak berlaku unsur khianat

Beberapa orang rakan Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui hari ini mengesyaki berlakunya unsur khianat dalam kes kematian pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu.

Salah seorang rakannya sekerja Allahyarham, yang enggan dinamakan, berkata Ahmad Sarbani berdepan dengan tuduhan menerima rasuah.

Namun, beliau menjelaskan bahawa Allahyarham merupakan pegawai yang "paling bersih" dan paling disukai di kalangan kakitangan beliau di pejabat JKDM Selangor itu.

Katanya, kakitangan berkenaan mengetahui siapakah yang sebenarnya menerima rasuah dan Allahyarham setentunya tidak berbuat demikian.

Sumber berkenaan turut mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaksa Allahyarham supaya mengakui dakwaan berkenaan.

SPRM turut mengugut untuk memenjarakan pegawai kastam berkenaan sekiranya tidak mengakui dakwaan tersebut, dakwa sumber itu lagi. -mk


Ibu pengsan bila lihat jenazah Ahmad Sarbani


Ketibaan jenazah Ahmad Sarbani Mohamed petang ini disambut dengan perasaan sayu dan hiba oleh kira-kira 400 orang yang memenuhi Surau Ar-Rahman, Kelana Jaya untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.


Ada di kalangan mereka yang mengalirkan air mata, malah wanita yang dikenalpasti sebagai ibu kepada Allahyarham turut pengsan untuk beberapa ketika apabila melihat wajah Ahmad Sarbani.


Jenazah yang telah dikafankan itu dibawa daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan tiba dengan kenderaan jenazah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada kira-kira jam 5.10 petang ini.


Sebaik tiba, jenazah Allahyarham diletakkan di hadapan mimbar surau berkenaan dan wajahnya dibuka untuk ditatap buat kali terakhir.


Jenazah itu kemudiannya disembahyangkan oleh jemaah yang turut mengadakan majis tahlil dan bacaan surah Yassin serta solat hajat sebelum itu.


Jenazah berkenaan kini dibawa ke tanah perkuburan Islam di Kota Damansara dan semalam disemadikan pada kira-kira jam 6.30 petang.


Difahamkan, satu bedah siasat juga telah dijalankan ke atas jenazah Allahyarham di HUKM dan satu analisis juga dibuat ke atas keputusan bedah siasat berkenaan.


Jenazah Allahyarham telah dimandi, dikafan dan turut disembahyangkan di HUKM.


Ahmad Sarbani ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi semalam.


Ahmad Sarbani yang merupakan pembantu pengarah di pejabat JKDM Selangor berada di pejabat SPRM itu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.


Terdahulu, imam bagi solat hajat yang dijalankan sebelum itu mengumumkan bahawa solat sunat berkenaan bertujuan untuk mendapatkan petunjuk Allah bagi menyerlahkan kebenaran dan menyelesaikan kes berkenaan.


Malaysiakini turut menemui beberapa orang rakan Allahyarham ketika kunjungan di kediaman Allahyarham di Kelana Jaya.


Ada di antara mereka yang datang dari Kampung Lambor Kanan, Parit, Perak, untuk menziarahi keluarga Allahyarham.


Ada juga di kalangan mereka yang menyatakan rasa terkejut dan tidak percaya bahawa kawan sekampung mereka itu telah meninggal dunia.


Salah seorang daripada mereka berkata Ahmad Sarbani adalah seorang rakan yang baik dan tidak pernah meninggalkan solat.


"Kami boleh cakap mengenai peribadinya sahaja. Mengenai kes ini, kami tak tahu," sampuk seorang rakannya yang lain.


Sementara itu, seorang guru agama kepada anak bongsu Allahyarham turut menyatakan rasa sedihnya atas pemergian Ahmad Sarbani.


Said Mahmud berkata beliau juga seperti tidak percaya bahawa pegawai kastam itu telah meninggal dunia.




Suaram: Kematian Sarbani desak Putrajaya segera tubuh IPCC


KUALA LUMPUR, 7 April – Kematian kedua individu disiasat SPRM semalam mendesak keperluan rakyat agar menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC), kata Suaram hari ini.


Pagi semalam, Ahmad Sarbani Mohamed iaitu penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.


“Kematian terbaru di SPRM adalah titik tolak terakhir. Rakyat Malaysia mesti menuntut dengan segera penubuhan IPCC,” kata penyelaras Suaram Dr Kua Kia Soong dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Kua, beberapa pertubuhan bukan kerajaan meminta agar pihak berkuasa menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan, tetapi tidak harus dilupakan bahawa syor agar diadakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) sebenarnya datang daripada Suruhanjaya Diraja Polis pada 2004.


“Ia sepatutnya telah ditubuhkan pada 2006,” kata Kua lagi.


Bagaimanapun katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini tiada iltizam politik untuk melaksanakan syor Suruhanjaya Diraja Polis itu.


Tambah beliau, kerajaan telah mengetepikan kehendak rakyat dan juga telah membazirkan wang pembayar cukai bagi perjalanan suruhanjaya tersebut.


“IPCC proaktif dalam menyiasat aduan-aduan terhadap polis dan juga agensi-agensi penguat kuasa selain (kes-kes) kematian yang wujud.


“Mereka juga menyiasat apa jua elemen rasuah yang disyaki dalam pasukan polis dan agensi-agensi penguat kuasa meskipun mereka tidak menerima sebarang aduan,” kata Kua yang turut menggariskan kes-kes kematian tahanan yang disoal siasat polis.


“Biar saya memperingatkan rakyat, selain dua kematian di SPRM, kematian semasa dalam tahanan polis, ditembak polis, kematian di kem tahanan juga telah dipantau oleh Suaram sejak beberapa tahun lalu,” katanya lagi.


Pada 2000, menurut maklumat, tujuh orang mati dalam tahanan polis manakala 33 ditembak mati, 2001 (16 dan 14), 2002 (15 dan 54), 2003 (23 dan 27); 2004 (19 dan 23), 2005 (14 dan 12), 2006 (14 dan 27), 2007 (11 dan 9), 2008 (13 dan 44) dan 2009 (tujuh dan 88).


Selain itu katanya, pada Mac 2007 kerajaan mengumumkan bahawa ada 95 kematian di pusat tahanan Simpang Rengam dari 2000 hingga 2007.


“Pada April 1999, kerajaan mendedahkan ada sebanyak 635 kematian kerana ditembak polis dalam tempoh 10 tahun kebelakangan,” katanya.


“Selain SPRM, juga ada insiden-insiden tidak diingini dan menyeksa termasuk angkatan tentera (dalam kes enjin jet hilang), tindakan Suruhanjaya Sekuriti ke atas wartawan dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.


Justeru kata beliau, hanya IPCC yang boleh menyelesaikan isu salah guna kuasa oleh polis dan mana-mana agensi penguat kuasa.


“Di bawah sistem semasa, mahkamah koroner mempunyai keberkesanan terhad disebabkan kualiti hasil siasatan dan bukti yang diketengahkan,” katanya lagi.


Kata Kua, sekiranya kerajaan tiada kekuatan politik untuk menangani masalah semasa ini bagaimana pihak berkenaan boleh bercakap mengenai transformasi.


Kua melahirkan pandangan ini ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan di Sarawak bahawa pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut.


Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini.


Menurut SPRM, Ahmad Sarbani datang ke pejabat SPRM WIlayah Persekutuan pagi semalam tanpa diarah untuk datang membantu siasatan susulan.


Bagaimanapun rakan-rakannya dan Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung sangsi Ahmad Sarbani pergi ke pejabat SPRM tanpa dipanggil.


Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai Kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B dijalankan SPRM sejak awal minggu lalu.


Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.


Dalam satu kenyataan awal petang ini, SPRM berkata ia telah menahan kerja dua pegawainya ekoran insiden kematian pegawai Kastam di premis pejabat agensi itu pagi semalam.


Kedua-dua mereka ditahan kerja untuk tujuan siasatan kerana dikatakan melanggar perintah berhubung pengendalian saksi atau pelanggan di premis SPRM di mana pegawai-pegawai tersebut dikatakan gagal berada bersama saksi atau pelanggan sepanjang masa mereka berada dalam premis agensi antirasuah itu.


Kenyataan itu menambah, hasil siasatan dalaman iitu setelah selesai kelak akan dibentangkan di Jawatankuasa Aduan SPRM -TMI

Imej negara di peringkat antarabangsa terjejas teruk akibat daripada tidak profesyenalnya pihak PDRM dan SPRM khususnya di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Sekian lama rakyat telah menuntut agar perhatian serius diberikan terhada kedua-dua agensi ini, tetapi pemerintah dari BN seperti memekakkan telinganya malah memperlecehkan seruan rakyat berkenaan.

Di bawah rejim Najib, terlalu banyak kes misteri sebermula kenaikannya sebagai PM. Bermula dari targedi Altantuya, kemudian rampasan Perak, diikuti dengan siri kematian tahanan polis dan kematian rakyat di pejabat SPRM.

Kes terbaru ini, kematian Allahyarham Ahmad Sabrani tidak akan lagi dibiarkan oleh rakyat.

Rakyat tidak selamanya boleh berdiam diri di atas kezaliman demi kezaliman, kekejaman demi kekejaman.

Kita akan merayu kepada Allah s.w.t. agar diakhirkan pemerintahan UMNO BN ini sesegera mungkin supaya kebenaran dan keadilan itu diletakkan di tempatnya yang wajar. Supaya rakyat di dalam negara ini dapat hidup dengan aman sentosa di bawah rahmat dan keampunan Allah di bawah payung pemerintahan yang baru, Pakatan Rakyat namanya.

Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Ahmad Sarbani. Semuga pemergianmu membuka lembaran baru di dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi Malaysia ini. -GB

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails