Friday, September 23, 2011

Batalkan bacaan kali kedua Akta Kampung Baru

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa kesal kerana Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkeras mahu membawa Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru untuk bacaan kali kedua di Parlimen bermula bulan depan sedangkan majoriti penduduk menolaknya.
Bagi DPPWP, Menteri Wilayah Persekutuan dan kerajaan bersikap sombong dari mendengar keluhan dan rayuan pemilik asal Kampung Baru. Rata-rata penduduk Kampung baru menolak bacaan kali kedua Rang Undang-Undang ini.
Sepatutnya jika kerajaan prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan perlu menghormati kehendak penduduk Kampung Baru sebelum membuat keputusan.
Hasil tinjauan DPPWP ke Kampung Baru sendiri, banyak sepanduk yang dipasang oleh penduduk tempatan yang menolak cadangan kerajaan untuk melaksanakan rang Undang-Undang ini. Apakah ertinya Rang Undang-undang ini jika ia diluluskan kelak di parlimen, sedangkan rakyat di bawah terutama di Kampung Baru sendiri menolaknya?
Kampung Baru adalah antara kampung tradisi milik Orang Melayu di Kuala Lumpur. Selain Kampung Baru, banyak kampung yang telah dirobohkan manakala penduduknya terpaksa berhijrah dan menjadi mangsa hasil pembangunan pesat Ibukota. Yang menjadi mangsa ini pula majoritinya adalah Orang Melayu. Mengapa pemimpin negara yang sebangsa dengan penduduk Kampung Baru tidak boleh mengalah dan berlembut dengan rakyatnya serta di tanah tumpah mereka sendiri?
Jika mercu tanda bagi Kampung Melayu di Kuala Lumpur ini juga hendak di ‘mangsa’kan, apakah hasil peninggalan Orang Melayu di Kuala Lumpur yang boleh dibanggakan lagi.
Penduduk Kampung Baru bukan tidak mahukan pembangunan, tetapi biarlah mereka sendiri yang menentukan bentuk pembangunan tersebut. Banyak lagi tanah di Kuala Lumpur yang boleh di majukan selain dari Kampung Baru.
Bahkan, DPPWP percaya dengan mengekalkan imej Kampung Baru, ia sendiri akan menjadi suatu tarikan kepada pelancong yang mahu melihat tradisi Kampung warisan Melayu ini.
Jika kerajaan benar-benar berhasrat mahu memajukan Kampung Baru, maka insentif berbentuk kewangan kepada penduduk asal boleh diberikan untuk menaiktaraf kediaman mereka sendiri.
Kerajaan juga boleh meningkatkan infrastruktur asas seperti pelebaran jalan raya, dewan orang ramai, surau dan masjid, serta tempat parkir yang mencukupi bagi pengunjung, dan ruang yang selesa buat peniaga-peniaga kecil di kawasan itu.
Akhirnya, DPPWP dan juga rakyat khususnya penduduk Kampung Baru mendesak agar kerajaan membatalkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Kampung Baru di Parlimen Oktober nanti.
Kampung Baru menjadi tanda aras kepada kebangkitan rakyat di seluruh negara, dan jangan menyesal jika rakyat bangkit menolak UMNO-BN dalam PRU ke 13 diseluruh negara jika kerajaan tetap menolak tuntutan penduduk Kampung Baru.
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
H/daily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails