Saturday, September 10, 2011

Isu Caj 6% Kad Prabayar: CAP & FOMCA Turut Bantah

Pendapatan syarikat telekomunikasi merosot tidak benar

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menangguhkan terlebih dahulu langkah oleh syarikat telekomunikasi yang akan mengenakan cukai perkhidmatan 6% terhadap pengguna telefon prabayar.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris (gambar) berkata, syarikat telekomunikasi mendakwa mereka telah menyerap cukai itu sejak ia dikenakan pada 1998 dan disebabkan oleh kemerosotan hasil pendapatan, mereka kini mahu melepaskannya kepada pengguna.

"Untuk mengatakan bahawa pendapatan mereka telah merosot adalah jauh daripada benar," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, pengguna telefon prabayar telah menghadapi pelbagai syarat dan terma yang tidak adil yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi terutama sekali apabila syarikat menelan/merampas baki dalam akaun mereka apabila mereka tidak menambah nilai akaun mereka dalam tempoh yang sah.

Untuk mengekalkan nombor prabayar, ujarnya pelanggan perlu menambah nilai dengan jumlah minimum RM5.00.

Bagaimanapun, kata beliau menambah nilai dengan jumlah RM30 akan memberikan tempoh sah selama 30 hari.

Menurutnya, selepas tamat tempoh 30 hari, pelanggan akan disekat daripada membuat panggilan tetapi panggilan masuk sah untuk 90 hari.

Pelanggan, ujarnya boleh mengaktifkan talian dengan menambah nilai bila-bila masa dalam tempoh 90 hari.

Beliau berkata, jika talian tidak ditambah nilai dalam tempoh 90 hari talian akan dibatalkan dan baki kredit yang masih ada akan dirampas dan tiada bayaran semula diberikan.

Contohnya, kata beliau jika pengguna prabayar mempunyai talian yang bakinya RM100 tetapi tempoh sahnya telah tamat, syarikat telekomunikasi akan merampas baki yang ada.

“Adakah ini sah di sisi undang-undang?

“Jika ianya sah, di bawah undang-undang dan peraturan apakah syarikat ini dibenarkan untuk merampas baki yang ada,
” ujarnya.

Menurutnya, negara seperti England telah menghentikan pengendali telekomunikasi daripada menggunakan amalan ini.

Seharusnya, tambah beliau terdapat sistem di mana nombor perlu mempunyai kesahan sepanjang masa dan bila-bila masa pelanggan yang mahu mengaktifkan talian (malah selepas tempoh tamat) hanya perlu menambah nilai talian dan perlu diaktifkan.

Contohnya, ujar beliau ahli perniagaan asing yang datang ke Malaysia, katakan tiga atau empat kali setahun dan memerlukan nombor telefon tempatan tetapi tidak mahukan talian pascabayar yang dikenakan caj bulanan kira-kira RM30 perlu untuk mendapatkan talian prabayar yang mempunyai kesahan sepanjang masa tetapi dengan tempoh tamat selaras dengan jumlah tambah nilai pelanggan.

Ujarnya, apabila mereka kembali semula ke Malaysia dan kesahannya telah tamat, apa yang perlu dilakukan hanyalah dengan menambah nilai talian dan perkhidmatannya boleh disambung semula daripada talian menjadi tidak sah dan terpaksa mendapatkan talian baru serta memulakannya semula.

Pengguna, katanya mungkin tidak menyedari bahawa pengguna prabayar dan pascabayar dikenakan bayaran bagi panggilan yang tidak dijawab atau bagi panggilan yang dialihkan ke kotak mel suara.

Caj yang dikenakan pada masa ini ialah 10 sen.

Pengguna sebenarnya, kata beliau boleh mendapatkan semula bayaran daripada pengendali telekomunikasi bagi caj yang dikenakan sekiranya mereka boleh menyerahkan penyata sebagai bukti.


Bagaimanapun dalam kes pengguna prabayar, penyata tidak disediakan melainkan pengguna meminta untuk mendapatkan penyata itu.

“Memandangkan kepada hakikat bahawa terdapat beberapa juta pengguna dan beberapa juta panggilan yang dibuat, pengendali telekomunikasi boleh mengaut sejumlah besar setiap bulan daripada caj yang dikenakan ini.

“Ini jelas satu pencatutan dan tindakan perlu diambil terhadap syarikat ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya CAP menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menangguhkan terlebih dahulu setiap usaha yang dibuat oleh pengendali telekomunikasi daripada pengenakan cukai perkhidmatan ini dan sebagai ganti menangani semua kekurangan dan terma yang tidak adil yang dikenakan terhadap pengguna telefon bimbit. -Hrkh


Teliti Semula Caj Perkhidmatan 'Call Block' Bukan Naikan Caj Kad Prabayar


Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa semua syarikat telekomunikasi (Telco) di Malaysia untuk mengemaskini caj perkhidmatan yang dikenakan kepada pengguna agar lebih relevan sebelum mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.


Justeru, Setiausaha Agungnya, Muhammad Sha'ani Abdullah menyifatkan cukai perkhidmatan itu tidak wajar ketika syarikat-syarikat komunikasi mengaut keuntungan berbilion ringgit setahun.


Sebaliknya, beliau mahu Telco meneliti semula caj perkhidmatan 'call block' yang dikenakan selama ini kerana ia didakwa membebankan pengguna prabayar.


"Sebelum cukai (enam peratus) ini dikenakan kepada pengguna kad prabayar bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM, Telco seharusnya menukar kadar caj perkhidmatan yang dikenakan kepada perkhidmatan 'call block' iaitu tempoh caj penggunaan yang dikenakan kepada pengguna walaupun hanya beberapa saat ia digunakan," katanya memberitahu Tv Selangor.


Mengulas lanjut perkara tersebut, Shani berkata ia adalah situasi dimana pengguna berdepan dengan caj membebankan menerusi 'call block' apabila terpaksa membayar caj perhidmatan untuk 60 saat walaupun pengguna membuat panggilan kurang daripada tempoh itu.


"Ini bermakna sekirannya kadar caj 30 sen untuk seminit, 15 sen akan dikenakan untuk 30 saat. Jadi dalam situasi ini pengguna terpaksa membayar 15 sen untuk setiap perkhidmatan syarikat itu walaupun dalam tempoh kurang daripada 30 saat," jelasnya.


"Jadi caj ini perlu dikaji semula, dengan menggurangkannya kepada 1 hingga 2 saat pengguna tidak akan terbeban dan sekirannya cukai enam peratus itu dikenakan ia tidak akan dirasai oleh pengguna," katanya lagi.


Semalam, Syarikat telekomunikasi yang mengaut keuntungan berbilion ringgit setahun, mengumumkan akan mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.


Ia bermaksud, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan.


Pada masa yang sama, peneraju penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, MAXIS Berhad (Maxis) merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.498 bilion untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2011.


Ia meningkat berbanding RM1.485 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.


Menurut laporan Bernama, pelanggan prabayar dimaklumkan melalui SMS bermula tengah hari semalam mengenai cukai perkhidmatan itu, berdasar kenyataan bersama yang dikeluarkan syarikat telekomunikasi Malaysia.


Syarikat telekomunikasi itu juga dilapor berkata, cukai perkhidmatan merupakan cukai penggunaan dan boleh dikenakan kepada pelanggan sebagaimana yang disediakan dalam perundangan cukai perkhidmatan.


Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memerlukan syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.


Ia sama seperti cukai perkhidmatan yang dilevi terhadap pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel. -tvsnews


No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails