Thursday, September 8, 2011

Tauliah : Jabatan Agama Islam Negeri perlu Mekanisme Baru

Tauliah : Jabatan Agama Islam Negeri perlu Mekanisme Baru

1. Pengalaman saya di Pahang sudah 2 kali menyertai peperiksaan untuk pengambilan atau penganugerahan tauliah mengajar di negeri Pahang beberapa tahun yang lalu. Malangnya, sehingga hari ini saya tidak mengetahui apakah keputusannya. Semasa peperiksaan tersebut, saya telah menyertai peperiksaan bertulis dan juga lisan. Sehingga sekarang saya tidak mengetahui apakah saya lulus atau gagal peperiksaan tersebut.

2. Jika lulus kenapa saya belum diberikan sebarang tauliah sedang saya hampir setiap malam terpaksa memenuhi undangan kuliah, forum, diskusi, khutbah dan ceramah agama di masjid dan surau di seluruh negara termasuk negeri Pahang. Kalau gagal pula, kenapa tidak diberitahu agar saya boleh memperbaiki dan mendalami ilmu saya agar saya boleh menduduki peperiksaan berikutnya sehingga saya berjaya.

3. Kedua - dua peperiksaan tersebut berlalu tanpa sebarang keputusan dan tindakan susulan. Saya tidak boleh duduk bersahaja di rumah menanti dan menunggu tauliah di berikan kepada saya sedang dalam tempoh sehari secara puratanya, saya menerima 3 panggilan telefon untuk mohon tarikh ceramah, kuliah, khutbah, forum, diskusi, wacana dan lain - lain di seluruh masjid dan surau. Cuma belum ada orang jemput saya untuk bernasyid sahaja lagi.

4. Macam mana saya mahu menepis atau menolak jemputan itu sementara masyarakat awam sangat dahagakan ilmu serta bimbingan agama, sedang saya walaupun tidak memiliki ilmu yang banyak, tetapi rasa insaf dan sedar betapa saya berkewajipan untuk mencurahkan sedikit ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.

5. Menunggu para asatizah [para agamawan] yang bertauliah, entah bila mereka akan mampu dan berkeupayaan menampung keperluan yang mendesak ini. Sebagai contoh statistik yang saya perolehi :

a] Selangor mempunyai 3,162,579 orang Islam (statistik 2010) iaitu kira-kira 57.9% dari seluruh penduduk selangor.

b] Hanya 84 org diberi tauliah berceramah oleh JAIS [ lesen setakat 31.12.2013 ] lesen dulu sudah mati dan sah laku dari 16/10/2008 hingga 30/06/2011 sahaja. Tauliah pula ada kategori, iaitu D1+D2+D3. Tetapi angka 84 itu adalah tauliah ceramah (D1) , tidak termasuk orang yang diberikan tauliah mengajar fardu ain sahaja atau mengajar alquran sahaja. Butiran lanjut mengenai jenis tauliah ini boleh didapati dalam laman web JAIS

c] Ertinya seorang ustaz bertauliah di Selangor kena mengajar kira-kira 37,649 orang dan seorang ustaz di Selangor kena cover sekurang-kurangnya 20 masjid atau surau. Selangor mempunyai 1,728 masjid atau surau.

d] Pahang mempunyai sebuah Masjid Negeri, 25 buah Masjid Daerah, 544 Masjid Qariah dan 1320 buah surau di seluruh negeri Pahang. Pemegang tauliah bagi negeri Pahang belum dapat saya perolehi datanya yang terkini sebab sudah agak lama tauliah di negeri Pahang tidak dikeluarkan walaupun orang jahil boleh dikatakan bertambah saban hari dengan jumlah yang sangat besar.

6. Saya kira, negeri - negeri di seluruh negara mempunyai statistik atau nisbah yang lebih kurang sama dan kalaupun berbeza, maka tidaklah jauh bezanya. Persoalan besar yang ingin saya timbulkan di sini ialah ternyata keperluan mengatasi keupayaan yang sedia ada, tetapi kenapa pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam negeri atau Majlis Agama Islam negeri terlalu sukar untuk meluluskan tauliah kepada para ilmuan Islam yang masih terlalu ramai belum di tauliahkan.

7. Tidak memadaikah mereka yang telah diiktiraf ilmunya oleh universiti Islam di mana tempat mereka menghabiskan bertahun masa untuk menimba ilmu. Apakah kriteria yang diperlukan oleh pihak berkuasa agama di negara kita sehingga sijil pengiktirafan universiti seperti ijazah pertama, sarjana dan phd belum memadai untuk mereka dianugerahkan tauliah.

8. Saya dan seluruh rakyat yang dahagakan ilmu sangat mengharapkan agar mekanisme penganugerahan tauliah dapat diperbaiki dengan segera dan atasi segala kelemahan agar Jabatan Agama Islam negeri dilihat sebagai badan yang berkaliber dan berwibawa untuk menangani isu - isu ummat Islam sekaligus menjadi benteng ummat Islam dari sebarang anasir yang merosakkan nilai agama mereka terutamanya kejahilan. Jika tidak, Jabatan Agama Islam negeri akan dipandang serong dan tidak lagi dihormati.

9. Jabatan Agama Islam negeri mesti mengkaji keperluan ummah masa kini. Bukan sahaja dalam perkara yang melibatkan tauliah mengajar, termasuklah juga tauliah atau kuasa pencegahan maksiat dan mungkar. Saya bimbang benar masa depan Ummat Islam di dalam negara kita, tatkala melihat prestasi pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam negeri atau Majlis Agama Islam negeri yang sangat tidak seimbang berbanding keperluan dan tuntutan ummah masa kini.

10. Ini tidak termasuk soal pengurusan masjid dan surau, kaunseling agama, nikah dan cerai yang banyak tertangguh malah ada yang bertahun kes tergantung tanpa penyelesaian yang berkesan. Kes harta pusaka dan pelbagai kes yang melibat peraturan dan syariat Islam. Perkara ini juga perlu diberi perhatian oleh Kerajaan yang memerintah samada di peringkat Kebangsaan atau di peringkat Negeri termasuklah kerajaan BN atau kerajaan Pakatan Rakyat. Selesaikan perkara ini sedaya mungkin.

Usatz Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails