Monday, September 5, 2011

Saya Fikir Di Kedah Dan Kelantan Saja Ada Orang Miskin.....

Muhammad Sanusi

Monday, August 29. Ada banyak berita mengejutkan sehari dua menjelang Hari Raya dan sambutan kemerdekaan... juga diambang pilihanraya umum ke 13. Paling mengejutkan saya ialah ramainya orang kurang berkemampuan yang termasuk dalam asnaf zakat di Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, dan negeri yang diperintah oleh UMNO/Barisan Nasional. Kelmarin di laporkan (dalam Utusan Malaysia Hari ini), DS Najib sebagai Perdana Menteri dan isterinya menyampaikan zakat kepada 5000 Asnaf dalam kategori kurang berkemampuan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan Pahang.


Berita ini walaupun kecil tetapi lebih mengejutkan dari liputan besar 5 muka surat Utusan terhadap ucapan Timbalan Presiden PAS Bang Mat Sabu. Saya tidak mendengar ucapan Bang Mat Sabu yang dipetik dan dilanyak oleh Utusan Malaysia, tetapi sumpah saya membaca sendiri dan menatap gambar DS Najib dan Isteri menyampaikan bantuan itu.

Berita ini penting kerana ia membawa banyak mesej dan menjawab banyak tuduhan. Persoalan besar yang terjawab ialah, bukan sahaja di Kelantan dan Kedah sahaja ada orang miskin selepas 53 tahun di perintah BN, di Pekan tempat yang diwakili oleh PM pun ramai orang miskin. DS Najib menjadi wakil rakyat sejak berusia 21 tahun dan dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berusia 29 tahun. Selepas itu beliau di bawa bertanding di Parlimen dan tidak pernah kalah sejak itu. Sudah lebih 35 tahun DS Najib jadi wakil rakyat, sudah sekian lama dia menjadi menteri dan berada dalam kabinet, sudah menjadi Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.... sekarang dia sudah menjadi Perdana Menteri...orang paling berkuasa di Malaysia.

Zakat yang disampaikan itu pula dari beberapa agensi GLC seperti Tabung Haji, UDA, Bank Rakyat, PNB dan Affin Islamic Bank. Kalau dia bukan Perdana Menteri, saya percaya, asnaf yang ramai itu tidak akan menjadi penerimanya semalam. Untunglah penerima, untunglah Ahli Parlimen Pekan... untung dan berkatlah perniagaan para penyumbang.

Saya tidak tahu tahun lepas berapa orang yang menerima zakat di Pekan, tetapi selepas DS Najib melancarkan Slogan dan Program Satu Malaysia, "Rakyat di dahulukan, Pencapaian Diutamakan", ada 5000 orang miskin dan kurang upaya di Pekan sahaja. Saya tidak percaya kalau 5000 itu dia bawa dari seluruh Pahang. Berapa orang kurang berkemampuan di seluruh Pahang, negeri yang diperintah BN sejak Merdeka lagi? Tak tahu lah saya...

Ya, kita semua tahu, miskin dan kaya akan wujud sehingga kiamat, sebab itu di Kelantan, TG Nik Aziz melancarkan program mengurangkan kemiskinan, bukan membasmi kemiskinan yang dilaungkan oleh BN... tetapi usaha mengurangkan kemiskinan yang dianjurkan oleh Tg Nik Aziz diperlecehkan oleh sekelian pemimpin BN, kerana bagi mereka kemiskinan patut di basmi, bukan dikurangkan. Nah! Kalau dibasmi, mengapa masih ada kumpulan itu 20 tahun selepas mereka mentertawakan Kelantan?

Kalau dalam kamus pemerintahan BN, kemiskinan rakyat adalah lambang kegagalan kerajaan seperti yang sering dituduh kepada Kelantan, Kedah dan Terengganu satu ketika dulu, apa pula makna bila di Negeri BN, malah di kawasan Perdana Menteri wujud orang miskin dalam kuantiti yang ramai?

Membasmi kemiskinan adalah kerja mustahil dalam masyarakat manapun.... Allah swt membahagikan kelompok manusia hambaNya dalam banyak kategori. Dalam Surah Al-Maa'un, Allah swt menempelak manusia yang mengherdik/mengabaikan anak yatim dan golongan yang tidak memberi makan orang miskin sebagai orang yang mendustakan agamaNya.

Sementara membangunkan masyarakat untuk membawa mereka keluar dari putaran ganas kemiskinan adalah satu kewajipan bagi sebuah kerajaan, kewujudan mereka di negeri Kedah dan Kelantan pula tidak patut dituduh sebagai episod kegagalan kerajaan negeri kerana rakyat tidak mahu memilih BN menjadi kerajaan.

Semua orang berhak membuat tafsiran sendiri tentang berita ini... namun bagi saya sebagai orang yang dekat dengan politik.... Maksud lain daripada berita sensasi ini ialah kalau BN menuduh Kedah dan Kelantan gagal kerana diperintah oleh PAS/PR, kerana ramai rakyat tidak mampu keluar dari kemiskinan, mereka juga mengalami simtom yang sama.... apa lagi di kawasan PM dan negeri paling besar di Semenanjung....alahai!!! Oh! Ada Asnaf Juga Di Sana...

-tko-

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails