Tuesday, September 6, 2011

Bagaimana MAS boleh rugi berulang kali?


Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
Kerugian berulang kali yang dialami Syarikat penerbangan negara dan kali ini pada suku kedua Jun 2011 berjumlah RM527 juta didakwa memperlihatkan kelemahan pengurusan syarikat itu.

Demikian kata ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengulas isu itu 24 Ogos lalu.Walaupun mengakui alasan kos bahan api yang tinggi dikatakan sebagai penyumbang utama kerugian itu, namun beliau meletakkan kegagalan pada asasnya ialah kelemahan MAS mencari seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang terbaik.


MAS memerlukan seorang CEO yang sangat agresif, pandai mencari peluang perniagaan, sepertimana CEO AirAsia, Tony Fernandes yang cukup agresif mencari pasaran, katanya. Sebelum ini MAS dikatakan pulih ketika Dato’ Seri Idris Jala menerajuinya, namun Dr Dzulkefly menafikannya dengan mempersoalkan bagaimana Idris boleh menyatakan MAS sudah pulih sedangkan kini mengalami kerugian.

MAS selepas ditinggalkan oleh Idris Jala sentiasa mencatatkan kerugian, katanya lagi.

Apa yang dilakukan oleh Idris Jala ketika bersama MAS dahulu ialah hanya menstrukturkan semula aset-aset membabitkan MAS termasuk di bawah MAHB, katanya.

Namun, Idris sebenarnya gagal mencari peluang untuk MAS menerajui penerbangan yang boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat yang dikuasai Khazanah Holding Berhad, katanya.

Sebenarnya Idris Jala hanya menjalankan ‘kreatif accounting’ sahaja, dan bukannya membuka peluang kepada syarikat itu untuk berdaya saing, katanya.

Lebih dari itu, tindakan pembelian saham secara bersilang antara MAS dengan AirAsia dimana MAS menjual 20 peratus saham kepada syarikat milik Tony Fernandes hanya akan menyebabkan kedudukan MAS semakin parah, katanya.

Ini kerana MAS hanya membeli saham sejumlah 10 peratus pada harga yang tinggi daripada AirAsia, sementara AirAsia membeli saham MAS pada harga yang rendah, katanya.

Dalam konsep pelaburan, seharusnya formula ‘beli saham semasa murah, dan jual pada harga mahal’ diadaptasi, namun MAS bertindak sebaliknya, katanya lagi.

Sedangkan sebelum ini MAS dan AirAsia saling bersaing dalam menyediakan penerbangan terutamanya bagi penerbangan domestik dan tambang murah, katanya.

MAS melalui anak syarikatnya FireFly bersaing dengan AirAsia bagi penerbangan tambang murah, namun setelah berlakunya ‘swapping’ ini, Dr Dzulkefly mempersoalkan bagaimana persaingan ini boleh berlaku.

Malah, pastinya nanti rakyat bakal terbeban dengan sistem monopoli dan oligopili yang kini diamalkan dalam keputusan terkini antara MAS dan AirAsia (swapping), katanya.

Selain dari itu, Dr Dzulkefly mempertikai kelemahan MAS menerokai penerbangan berpotensi dan yang mempunyai nilai yang tinggi bagi mendapatkan keuntungan dengan muatan penumpang yang tinggi.

MAS tidak seperti AirAsia yang agresif dalam mencari peluang penerbangan yang boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat mereka, dakwanya.

Lebih dari itu, beliau menyimpulkan kegagalan sebenar MAS ini adalah kerana kegagalan kerajaan dalam melihat MAS sebagai suatu aset kerajaan yang seharusnya dijana dengan baik dan diberi nafas baru dengan pengurusan dan CEO yang lebih baik.

Baru-baru ini, MAS mencatatkan kerugian pada suku kedua sebelum 30 Jun 2011 pada jumlah RM527 juta.

Kerugian itu bagaimanapun lebih rendah berbanding kerugian bersih sebanyak RM535 juta pada suku yang sama pada 2010, kata syarikat itu menerusi satu kenyataan di sini.

Menurut laporan Bernama Online, syarikat penerbangan itu berkata kos bahan api terus memberi impak terbesar kepada operasi kumpulan berkenaan, meningkat 41 peratus berbanding RM1.102 bilion kepada RM1.55 bilion pada suku kedua 2011, mengimbangi hasil dan perolehan bagi tempat duduk mengikut kilometer (RASK).

Dalam maklumat berasingannya kepada Bursa Malaysia di sini, MAS melaporkan kerugian sebelum cukai juga berkurangan kepada RM509.411 juta pada suku terbabit berbanding kerugian sebelum cukai RM532.591 juta pada suku yang sama pada 2010.

Perolehan pada suku kedua meningkat kepada RM3.485 bilion, lapan peratus melebihi RM3.213 bilion pada 2010 manakala perolehan penumpang mencatatkan pertumbuhan sembilan peratus kepada RM2.086 bilion, berbanding RM1.912 bilion sebelumnya.

Lembaga Pengarah juga sudah mengenal pasti keutamaan dan memberi tumpuan terhadap langkah jangka pendek.

“Pertama, kami akan memberi tumpuan untuk menyediakan kepimpinan yang mantap bagi memacu MAS, dan proaktif mengisi jawatan pengarah urusan/ketua pegawai eksekutif dan pengurusan kanan utama yang lain,” katanya.

Bekerja bersama-sama dengan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang baru dua minggu lepas, syarikat penerbangan nasional itu berkata inisiatif pemulihan akan dilaksanakan untuk mengembalikan keuntungan dan mula mengumpul rizab tunai.

Inisiatif serta-merta termasuk pengurusan kapasiti yang lebih baik, pelaksanaan harga dinamik bagi meningkatkan pulangan dan perolehan dan mengkaji semula produk dan keduduan jenama.

Kajian semula peniagaan Firefly ialah memberi tumpuan terhadap operasi dari Subang dan menjajarkan perniagaan Firefly supaya menumpukan kepada perkhidmatan premium serantau, turut dalam senarai itu. Dalam jangka panjang, Exco akan mengkaji menjayakan pelan strategik untuk mengembalikan keuntungan. mengembalikan keuntungan.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails