Tuesday, September 6, 2011

Pelajar Malaysia selamat dalam kejadian gempa di Aceh

8 Syawal 1432H.

JAKARTA - Semua pelajar Malaysia di Aceh dan Medan selamat daripada bencana gempa bumi berkekuatan 6.7 pada skala Richter yang melanda wilayah Pantai Barat, Selatan Aceh awal hari ini.

Sehingga pukul 1.30 tengah hari ini, pihak berkuasa melaporkan bahawa 10 orang meninggal dunia dalam kejadian gempa pada pukul 12.55 pagi waktu tempatan itu.

Atase Pendidikan, Education Malaysia (dulunya Jabatan Penuntut Malaysia) di Indonesia, Ludinata Misnun berkata gempa itu tidak dirasakan oleh pelajar Malaysia di Aceh kerana kawasan penempatan mereka berada jauh di bahagian Utara Aceh.

Bagaimanapun pelajar Malaysia di Medan, Sumatera Utara dapat merasakan gegaran kuat kerana kedudukan pusat gempa yang lebih hampir dengan kawasan Kota Medan.

"Semua pelajar Malaysia seramai 176 orang di Aceh dan 612 orang pelajar Malaysia di Medan berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan di sini.

Ludinata berkata pihaknya telah mengingatkan para pelajar terbabit supaya sentiasa menyiapkan diri dengan kemungkinan terpaksa dipindahkan jika berlaku gempa susulan yang lebih besar kemudian.

Mereka juga diminta sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa tempatan dan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dan segera keluar rumah ke kawasan lapang jika berlaku lagi gempa bumi kerana kejadian itu boleh mengakibatkan bangunan runtuh.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia berkata gempa bumi awal hari ini itu berpusat di darat di kedudukan 59 kilometer Timur Laut Singkil Baru, Aceh, di kedalaman 78 kilometer.

Ia tidak berpotensi tsunami, namun gegarannya dapat dirasakan hingga ke Kota Medan dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails