Friday, September 23, 2011

PAS Terengganu janji tawaran terbaik untuk rakyat

KUALA TERENGGANU, 23 Sept: PAS menjanjikan kerangka manifesto terbaik sebagai tawaran kepada rakyat Terengganu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata manifesto pilihan raya PAS Terengganu telah siap 90 peratus.

Justeru itu, katanya dalam masa terdekat ini akan diketengahkan beberapa ‘tawaran’ kepada rakyat dan masyarakat umum.

Menurutnya, PAS menjanjikan tawaran terbaik kepada rakyat sebagai alternatif dan pilihan menggantikan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kita sudah siap 90 peratus manifesto untuk pilihan raya. Dalam masa terdekat ini, mungkin kita akan ambil satu dua perkara untuk diketengahkan kepada masyarakat umum.

“Kita tidak umum semua sekali, kita bimbang juga Umno ini. Kita buat ‘Buku Jingga’ pun dia (Umno) sebut macam-macam tapi dia tiru. Dia tiru apa yang kita kata dalam Buku Jingga.

“Kita akan muktamadkan manifesto kita dan kita janji tawaran yang terbaik untuk rakyat Terengganu sebagai pilihan, alternatif kepada Umno dan Barisan Nasional,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Raya dan Rumah Terbuka Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menegaskan bagi PAS tidak menjadi masalah bila tarikh pilihan raya kerana telah bersiap sedia menghadapinya.

“Cuma dia (Umno) agak ‘terkejar-kejar’ kerana dalam keadaan orang hendak ke Mekah, sekolah-sekolah hendak digunakan untuk peperiksaan, Umno juga hendak adakan persidangan dia.

“Jadi masa itu agak suntuk sikit jika hendak diadakan tahun ini dan ramai menjangkakan pilihan raya tahun depan,” ujarnya.

Sempena sambutan rumah terbuka tersebut PAS Terengganu merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan dengan sambutan meriah di kalangan rakyat dari pelbagai pihak.

“Ini program tahunan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), sambutan alhamdulillah cukup meriah dan baik.

“Kita terima kunjungan pelbagai pihak dari rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti Parti Keadilan Rakyat, DAP dan termasuk MCA dengan kehadiran Exco Kerajaan Negeri, Datuk Toh Chin Yaw.

“Saya mewakili PAS Terengganu ucap terima kasihlah di atas sambutan dan kehadiran semua pihak di kalangan rakyat. Kita harap pada meraikan perayaan ini, sentimen politik kita letak ketepi kerana meraikan Idulfitri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails