Tuesday, September 27, 2011

Hudud: Najib Jangan Putar Belit Berkenaan Hudud dan Maqasid



Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Yb. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib (gambar) meminta supaya Perdana Menteri Malaysia yang memimpin Umno supaya memperbetulkan kefahaman berkenaan Hudud memandangkan beliau merupakan seorang Islam dan memimpin sebuah parti yang majoriti ahlinya adalah terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian Najib pada hari semalam sepertimana yang dilaporkan oleh Bernama yang melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana meraikan maqasid Syariah.

Menurut beliau lagi, Maqasid Syariah adalah merupakan satu kefahaman yang penting di dalam Ilmu Islam. Ianya tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu apatah lagi untuk menyelamatkan sebuah parti yang bakal karam.

“Matlamat maqasid ialah memastikan keadilan tercapai, maqasid bukan digunakan untuk meghalalkan ‘pemandulan’ hukum hudud”, tegas beliau ketika dihubungi semalam.

Kenyataan ini merujuk kepada kenyataan Najib semalam sepertimana yang dilaporkan Bernama dipetik berkata: “Lagipun, matlamat sesuatu pentadbiran mengikut Islam ialah prinsip Maqasid Syariah yang antara prinsipnya ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip Maqasid Syariah boleh dan mampu kita pertahankan”, kata Najib.

Yb. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib berkata lagi: “Kenyataan Najib melambangkan beliau tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan maqasid, matlamat maqasid ialah mencapai keadilan, jadi semua yang datang daripada Allah s.w.t adalah adil termasuklah hukum hudud, kalau Islam hanya dengan maqasid sahaja maka tidak gunalah syariat Islam”.

“Adil bukan boleh ditafsir oleh akal manusia sahaja tanpa panduan wahyu”, tambah beliau.

“Inilah sebab sebenar mengapa kita lawan Umno, prinsip kita amat berbeza sekali dengan Umno, saya juga ambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh agamawan dan mereka yang masih cintakan Islam dalam Umno supaya meninggalkan segera parti itu kerana Umno tidak membela undang-undang Islam secara sepatutnya”, ujar beliau lagi yang juga merupakan Adun Manir Terengganu.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails