Saturday, April 30, 2011

MAKSUD MUBAHALAH & PERLUKAH MUBAHALAH?


Soalan; Assalamu alaikum, ustaz. Boleh ustaz terangkan tentang Mubahalah. Pada pandangan ustaz, perlukah DS Anwar melakukannya? Terima kasih atas penjelasan ustaz.

Jawapan;

Huraian tentang maksud Mubahalah telah saya buat dalam jawapan sebelum ini. Sila baca "MUBAHALAH" dalam blog ini.

Mengenai perlu atau tidak DS Anwar melakukan Mubahalah, maka sebagaimana yang dijelaskan dalam jawapan tersebut; Mubahalah datang setelah kedua pihak berhujjah dan masalah yang timbul ialah persoalan besar yang membabitkan agama dan ummah. Jika setelah berhujjah masing-masing bertegas dengan pendirian masing-masing, pihak yang yakin dirinya benar boleh mencabar pihak satu lagi untuk bermubahalah, namun pihak yang diajak bermubahalah tidaklah wajib menyahutnya kerana hukum Mubahalah harus sahaja, tidak wajib. Dalam kes DS Anwar, tidak ada pertikaian dan perdebatan antara kedua belah pihak, akan tetapi tuduhan yang dilemparkan oleh satu pihak kepada pihak lain dan tuduhan itu bukan bersifat anutan atau fikrah (untuk diperdebatkan bagi menentukan siapa benar dan siapa sesat atau siapa betul dan siapa salah), sebaliknya ia bersifat perlakuan (yakni tuduhan melakukan suatu maksiat atau munkar). Pendirian Syariat tentangnya cukup jelas iaitu pihak yang menuduh wajib mendatangkan keterangan/bukti dan yang tertuduh akan diminta bersumpah jika keterangan/bukti yang dikemukakan terhadapnya tidak kuat untuk mensabitkan kesalahannya.[1] Jika ia enggan bersumpah, barulah sumpah dikembalikan kepada orang yang menuduh. Jadi, sumpah orang yang menuduh hanya datang setelah keengganan tertuduh untuk bersumpah. Apa yang berlaku hari ini menyimpang dari Syariat apabila orang yang menuduh bersumpah sebelum lagi keterangan/bukti disahkan dan tertuduh pula belum diminta bersumpah oleh Qadhi atau Hakim.

Tidak harus pendakwaan bagi kes yang begitu besar hukumannya di sisi Islam (yakni kes zina dan liwat) dibuat di khalayak awam atau dalam media massa. Ia mesti di buat di hadapan Qadhi atau Hakim dengan syarat-syarat yang ditetapkan Syariat. Bagi kesalahan zina, diwajibkan si penuduh mengemukakan 4 orang saksi. Memang sukar, tetapi itulah yang ditetapkan Allah di dalam al-Quran. Tidak semestinya apabila kita mengetahui suatu maksiat yang dilakukan oleh seseorang secara pribadi (di tempat tertutup, tanpa membabitkan hak orang lain), kita akan berdosa kerana tidak mendedahkannya. Malah kita mendapat pahala apabila kita menyembunyikan kerana tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Syariat untuk didedahkan (yakni pahala mematuhi kehendak Syariat walaupun kehendak hati kita sebaliknnya). Diceritakan; Khalifah Umar bin al-Khattab pernah melihat dengan mata kepalanya sendiri satu pasangan (lelaki dan wanita) melakukan zina, namun hanya dia seorang sahaja melihatnya (tidak ada orang lain). Maka ia menghimpunkan sahabat-sahabat yang ada pada ketika itu dan bertanya; Apa pandangan kamu semua jika Khalifah sendiri melihat satu pasangan melakukan zina? Saidina Ali yang hadir ketika itu lantas berkata; "Hendaklah Khalifah membawa 4 saksi atau Khalifah akan disebat 80 rotan (hukuman Qazaf)". Mendengar ucapan Saidina Ali itu Umar membisu dan tidak mendedahkan orang yang dilihatnya. (Tatbiq al-Hudud Fi at-Tasyri'aat al-Janaiyyah al-Hadithah, Dr Ahmad Fathi al-Bahansi, hlm. 216).

Melihat kecelaruan masyarakat hari ini amat terasa dalam hati kita betapa rendahnya nilai hukum manusia dan betapa tingginya nilai hukum Allah. Dengan hukum manusia, cukup mudah bagi seorang untuk menganiayai seorang yang lain. Namun perkara itu tidak akan berlaku dengan hukum Allah. Semoga apa yang berlaku akan menyedarkan masyarakat untuk segera mengembalikan hukum Allah.

Wallahu a'lam.

Nota hujung

[1] Merujuk kepada sabda Nabi (bermaksud); "Jika dilayan orang ramai dengan semata-mata dakwaan mereka, nescaya akan ada orang yang mendakwa (untuk merampas) harta orang lain dan (untuk menghalalkan) darah orang lain, akan tetapi (kaedah yang perlu dilaksanakan ialah); 'Keterangan/pembuktian dibebankan ke atas orang yang mendakwa dan sumpah ke atas orang yang mengingkarinya (yakni orang yang menolak dakwaan yang dikenakan ke atasnya)" (HR Imam al-Baihaqi dari Ibnu 'Abbas dengan sanad yang hasan. Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 6/136).

Friday, April 29, 2011

Gerbang Perkahwinan : Kurniaan, Ibadah & Dakwah


Allah Taala telah menjadikan perkahwinan di antara tanda-tanda kekuasaanNya.

Menurut Syeikh Prof. Muhammad Ali al-Sabouni di dalam kitabnya az-Zawaaj al-Islami al-Mubakkir, Allah Taala menganugerahkan tiga kurniaan kepada hamba-hambaNya yang telah hidup berkeluarga (berkahwin) iaitu:

01.Pertama:
Isteri merupakan seorang manusia mulia yang Allah Taala ciptakan dari jenis yang sama dengan lelaki (suami). Oleh itu, kemuliaan suami itu menjadi sejajar dengan kemulian dan kemanusiaan isterinya juga.

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. (Surah ar-Rumm: Ayat 21).

Allah Taala juga menciptakan isteri dari jenis yang sama agar mereka saling kenal-mengenali dan berkasih-sayang sepertimana kata orang: Setiap jenis akan berkasih sayang dengan sesamanya juga.

Begitu juga dengan sebuah syair Arab yang indah ini:

Dalam asmara aku telah dikenakan baju indah bersulam cinta
Oleh seorang gadis yang amat jelita
Hingga purnama pun malu di hadapannya
Bila mata ini berbuat salah kerananya
Maka dengan airmata ia basuh semua dosa.

02.Kedua:
Ketenteraman dan ketenangan jiwa yang dirasakan oleh suami ketika berdampingan dengan isteri yang solehah. Ini akan membawa kepada ketenteraman dan ketenangan dalam kehidupan berumahtangga.

Firman Allah Taala bermaksud:
Isteri-isteri supaya kamu merasa tenteram kepadanya. (Surah ar-Rumm: Ayat 21).

Isteri yang menjadikan suami merasa tenteram dan suami juga menjadikan isteri merasa tenang menepati firman Allah Taala bermaksud:

Dialah yang menciptakan kalian dari diri yang satu dan darinya Dia menciptakan isterinya agar dia merasa senang kepadanya.
(Surah al-Araaf: Ayat 189).

03.Ketiga:
Dengan ikatan kasih sayang dan cinta maka Allah Taala mengikat hati suami dan isteri itu.

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Surah ar-Ruum: Ayat 21).

Tanpa adanya nikmat ini nescaya seseorang suami tidak akan merasa senang kepada isterinya.

Dengan kekuasaan-Nya maka tertanamlah perasaan cinta ini sehingga apa yang menyakiti akan disakiti bersama dan apa yang disenangi akan disenangi bersama.

Perkahwinan Itu Satu Ibadah

Secara umumnya kita telah mengetahui bahawa perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW. Perkahwinan juga adalah suatu ibadah serta salah satu cara mendekatkan diri kepada-Nya.

Dengan perkahwinan, seseorang Islam itu akan mendapat ganjaran dan pahala daripada Allah Taala bilamana perkahwinan itu dilakukan dengan ikhlas dan bukan kerana nafsu semata-mata.

Bahkan hubungan kelamin di antara suami isteri juga mendapat ganjarannya.

Sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud:

"Dan pada kemaluan seseorang dari kalian terdapat sedekah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang yang menyalurkan nafsu syahwat (kepada isterinya) memperolehi pahala? Rasulullah SAW bertanya: Apakah seseorang yang menyalurkan nafsu syahwatnya dengan cara yang haram (berzina) ia berdosa? Mereka menjawab: Betul. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Demikian juga jika ia menyalurkan pada tempat yang halal maka ia akan memperolehi pahala."
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad).

Halangan Dalam Melaksanakan Dakwah

Mungkin ada yang bertanya sendirian, mengapa saya memilih tajuk ini? Bukankah tajuk 'hebat' yang lain lebih banyak untuk dibicarakan?

Saya memilih tajuk ini kerana saya teringat satu tulisan ulama yang pernah saya baca suatu ketika dahulu mengenai halangan-halangan utama untuk berdakwah.

Di antara halangan tersebut ialah suami/isteri serta keluarga.

Asas dakwah sudah tentulah bermula dari institusi keluarga dengan suami dan isteri menjadi ketuanya.

Jika mereka sendiri tidak sehaluan dan rapuh pegangannya, mana mungkin dakwah ini dapat dijalankan dengan jayanya di rumah, apatah lagi untuk masyarakat Islam yang lain.

Oleh itu, suami atau isteri (serta bakal) perlu memahami perkara ini dengan sebaiknya agar usaha dakwah kita tidak terbantut di tengah jalan.

Kesimpulan ringkas dari tazkirah kali ini ialah:
1. Perkahwinan itu satu ibadah dan anugerah dariNya.
2. Percepatkan perkahwinan jika sudah bersedia.
3. Selain memilih pasangan hidup yang beragama, pasangan hidup yang memahami perjuangan kita juga perlu diutamakan.
4. Suami dan isteri perlu melayari bahtera rumahtangga dengan perasaan kasih sayang dan cinta.
5. Mendidik anak dengan agama adalah tanggungjawab ibubapa.


Biodata Penulis

Ustaz Muhammad Rashidi Wahab merupakan salah seorang panel agama iLuvislam.com. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Hons) Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran al-Karim) dari Universiti al-Azhar, Mesir. Kini sedang menyambung pengajian Sarjana (MA) di Universiti Darul Imam Malaysia di dalam bidang Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam).

Penduduk Palestin Gembira Dengan Perdamaian Hamas-Fatah


Penduduk Palestin gembira dengan perdamaian bersejarah yang terjalin antara Hamas dan Fatah di Kaherah pada Rabu. Mereka menaruh harapan agar perselisihan antara kedua-dua kumpulan itu berakhir untuk selama-lamanya.

Di kem pelarian Jabalya, yang paling padat di Semenanjung Gaza, penduduk mengikuti perkembangan berita yang disiarkan secara langsung mengenai pemeteraian perjanjian awal itu.

Abu Ahmed Daher, 68, berkata sejak sekian lama beliau mengharapkan Hamas-Fatah untuk bekerjasama. "Saya berasa amat gembira kerana perkara itu menjadi kenyataan, tetapi saya masih berasa bimbang bahawa Israel akan memusnahkan perjanjian itu," katanya.

"Semoga Tuhan menyatukan mereka sekali lagi, mereka adalah bersaudara dan mereka berdepan dengan musuh yang sama," kata rakannya Abu Hassan, 65, sambil mengikuti siaran berita itu di televisyen bersama-sama Abu Ahmed.

Semasa berlakunya gangguan bekalan elektrik, beberapa pelarian itu berkumpul di rumah seorang rakan yang mempunyai set generator untuk televisyennya. Bersama-sama mereka menonton siaran sidang akhbar yang diadakan di Kaherah oleh
wakil Hamas dan Fatah.

Menurut wakil berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju untuk membentuk kerajaan sementara yang terdiri daripada tokoh-tokoh bebas untuk memulakan persediaan bagi pilihan raya presiden dan parlimen. Perjanjian rasmi dijadual dimeterai minggu depan dengan kehadiran pemimpin kedua-dua kumpulan dan Presiden Pihak Berkuasa Palestin Mahmoud Abbas, dan ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshal.

Wakil kumpulan Palestin yang lain juga dijangka hadir. Perjanjian itu akan membawa kepada penamatan perselisihan yang telah menjejaskan penduduk Palestin sejak 2007. Akibat daripada perselisihan itu, Hamas menguasai Semenanjung Gaza manakala Fatah menguasai kawasan-kawasan lain yang diduduki -- Tebing Barat.

Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, yang rumah mereka dimusnahkan semasa perang Israel di kawasan sempit itu, amat memerlukan perjanjian itu supaya mereka dapat membina semula rumah mereka. Akibat daripada sekatan dan pembahagian itu, pembinaan semula di Gaza oleh negara Arab dan asing ditangguhkan sehingga penduduk Palestin bersatu semula.

Israel menghalang bahan pembinaan seperti simen, besi dan batu kerikil daripada dibawa masuk ke Semenanjung Gaza. Sepertimana kebanyakan penduduk lain, Abu Khaleel Khadeer, yang rumahnya dirobohkan oleh tentera Israel pada 2009, kini tinggal di pondok sementara bersama-sama keluarganya.

Beliau benar-benar berharap perselisihan itu ditamatkan dan semua penduduk Palestin bersatu. "Kami menggesa mereka berdamai; penduduk tidak tahan lagi hidup dalam keadaan sekarang. Terdapat beratus-ratus keluarga yang tidak mempunyai tempat tinggal sekarang," kata bapa enam anak itu. "Mari kita bersama-sama membina rumah-rumah...penduduk berharap anda akan melenyapkan penderitaan mereka," kata Abu Khaled kepada kedua-dua kumpulan itu.

- Gaza, 28 April 2011

NUKILAN BUAT DSAI - FITNAH MEHNAH PERJUANGAN

26 Jamadil Awal 1432 H | 29 April 2011

Saya tak tahu apa yg nak dikata dan nak diluahkan apabila mengenangkan akibat yang sedang ditanggung oleh DSAI dan keluarga. 11 tahun beliau diaibkan dan satu demi satu tuduhan dikenakan ke atas beliau, dan keluarga semata-mata kerana beliau berada di pihak pembangkang.

Andainya ia berada di pihak BN, tentulah ia akan dilayan macam tiada apa yang berlaku. Lihat saja Presiden MCA yg mengaku melakukan aksi tak bermoral, langsung tak disiasat dan tiada sebarang dakwaan pun. Demikian juga Razak Baginda, tiada rayuan dibuat dan beliau kini bebas lepas.

Tekanan ini bukan perkara baru dalam sejarah dunia. Firaun pernah melakukannya ke atas Nabi Musa dan pengikutnya yg beriman. Bahkan tukang sihir Firaun yg asalnya adalah petugas yang berusaha untuk menjatuhkan Nabi Musa, ia dilayan, disanjung tetapi bilamana tukang sihir melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa mereka kemudiannya beriman dengan Allah. Maka bermulalah penentangan dan penindasan sehingga mereka disalib pada kayu salib, mereka diseksa dengan kaki tangan mereka dipotong secara bersilang. Firaun menyeksa mereka dan setelah segala rayuan dan tangisan tidak dipedulikan, akhirnya yang keluar dari mulut mereka ialah "Hukumlah apa yg kamu ingin lakukan, kerana kamu hanya berkuasa di dunia ini sahaja".

Kini Anwar secara peribadi menjadi mangsa tuduhan. Beliau belum tentu bersalah tetapi kini bukan mahkamah diminta untuk buat keputusan sebaliknya media membuat tayangan, blog memainkan sentimen dan akhbar perdana membentuk minda pembaca agar menjadi hakim dalam perkara yg telah dirancang, disusun dan diedit agar sesuai dengan kehendak pemimpin BN. Mereka mengambil pendekatan agama (bersumpah) dalam perkara yang salah, agar dengannya rakyat yakin.

Bagaimana nantinya kalau dibuktikan bahawa ia bukan sebagaimana yang dituduh? Keaiban telah berlaku, dan ada yang bertanya, "Kalau betul, bagaimana?"

Saya berpegang kepada kaedah asas bahawa sesuatu tuduhan pada peringkat awal adalah tidak benar, melainkan dibuktikan benar. Maknanya dalam keadaan sekarang ia berada pada tahap tidak benar. Kenapa diaibkan sebegitu. Kerana 'kalau benar' akan dibuktikan kemudian.

Bagaimana pula yang membuat tuduhan sanggup bersumpah? Saya ingin agar kita lihat siapa yg membawa wanita itu, siapa yang sedia bilik, siapa yg merakam, siapa yang ada bersama waktu kejadian dan melihat kemungkaran itu. Apakah orang begini boleh menggunakan nama Allah untuk bersumpah, minta Allah agar buktikan?

Dia sepatutnya menentang kemungkaran sebelum berlaku, mencegahnya bukan menyediakannya. Kalau dia seorang Islam dia harus faham bahawa dia mesti bertindak menyekat kemungkaran, bukan memberi ruang dan menyediakan agar berlaku kemungkaran. Kepada saya siapa yg melakukan itu, kalaupun tidak dapat dibuktikan di dunia nanti, di Akhirat akan terbukti jua!

Kepada DSAI dan keluarga, saya menyeru agar bersabar di atas ujian berat ini, dan ambil kaedah yang Rasulullah s.a.w sarankan : "Jangan kamu cuba lawan gelombang waktu tengah-tengah membuak, jangan lari kerana orang akan membenarkannya, dan sabarlah sehingga Allah membersihkannya".

Peristiwa fitnah ke atas Aisyah dan Safwan berlanjutan sehingga 40 hari baru Allah turunkan ayat membersihkan Aisyah, sedangkan Allah boleh menyegerakan ayatnya. Namun para mufassurin menjelaskan sengaja Allah membiarkan 40 hari agar zahir siapa munafik, siapa nuknib, siapa pembela, siapa musuh dan siapa sebenarnya sahabat.

Dekatkan diri kepada Allah kerana Allah Maha mendengar rayuan hambaNya. Wassalam

sumber

Isu nasi lemak untuk lindungi wabak negara

25 Jamadilawal 1432H.

KUALA LUMPUR, 29 April: PAS sangat prihatin terhadap isu yang berlaku menyentuh aspek pendidikan dan pembangunan sumber manusia di negara ini termasuklah aspek pemakanan di sekolah.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) berkata, PAS tidak mahu isu pemakanan menenggelamkan isu besar seperti isu akhlak di kalangan pelajar dan belia, isu PPSMI, isu diskriminasi politik termasuk ke atas guru, rasuah, jenayah, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain yang belum diselesaikan.

“Apakah isu pemakanan ini serius atau hanya untuk menabiri dan melindungi isu-isu besar yang sedang mewabak dalam negara?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada keputusan Kerajaan untuk menyekat penjualan nasi lemak di sekolah seperti yang disiarkan oleh akhbar-akhbar harian bersama dengan sejumlah senarai makanan dan minuman yang lain.

Menurutnya, isu pemakanan untuk pelajar-pelajar bukanlah isu yang sangat besar berbanding dengan isu akhlak dan gejala sosial yang menjadi wabak di kalangan pelajar dan belia dalam negara hari ini.

Beliau menambah, sesuatu isu sepatutnya diselesaikan secara berstrategik dalam erti kata ianya hendaklah mengambil kira kemampuan anggota masyarakat untuk mengikuti aturan dan peraturan yang hendak dikenakan.

“Apakah isu sebenar di kalangan pelajar dewasa ini?” tanya beliau lagi.

Menurutnya lagi, diandaikan isu pemakanan merupakan isu besar, maka ia mestilah dikaji secara teliti di mana spek-aspek kebudayaan dan cara hidup khususnya yang membabitkan aspek pemakanan dalam masyarakat.

Katanya, budaya pemakanan ini tidak boleh ditukar secara drastik dengan suatu penguatkuasaan undang-undang kerana aspek perundangan tidak boleh mengatasi aspek kemanusiaan.

Beliau berkata, menukar menu makanan di sekolah secara drastik membabitkan makanan tradisi seperti nasi lemak walaupun nampaknya mudah tetapi akan menekan kehidupan dan kebiasaan yang belum tentu mendatangkan mudarat, sedangkan memaksa mereka meninggalkannya lebih menyusahkan dan membebankan banyak pihak kerana makanan itu adalah mengenyangkan dan mudah serta menjadi adat dan kebiasaan yang sudah bersebati dalam kehidupan masyarakat.

“Mana satu yang lebih mudarat membiarkan menu nasi lemak seperti biasa ataupun membebankan masyarakat dengan peraturan-peraturan yang baru?

“Apa bezanya nasi lemak dengan nasi minyak, mee kuning, nasi goreng, nasi dagang, roti canai dan seumpamanya?” soalnya lagi.

Oleh kerana itu, ujarnya maka pendidikan kepada anggota masyarakat untuk mengamalkan budaya baru yang difikirkan baik adalah lebih penting daripada memaksa meraka meninggalkan kebiasaan yang tidak terbukti kemudaratannya.

Dalam isu ini, katanya aspek-aspek kemampuan ibu bapa dalam semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar, kamampuan pengusaha-pengusaha kantin dan asrama dan kemampuan sekolah untuk melaksanakan peraturan dan kemampuan pelajar untuk mematuhi adalah isu besar yang memerlukan masa dan proses mendidik untuk memampukan mereka mematuhi peraturan-peraturan yang hendak dijalankan.

Sebagai perbandingan, katanya lagi isu pelajar-pelajar merokok, walaupun ia tidak dibenarkan dan diharamkan, namun peraturan-peraturan yang ada tidak dapat menyekat mereka daripada merokok bahkan masalah menjadi bertambah besar kerana makin ramai pelajar yang merokok.

Beliau berkata isu gengsterisme, pencabulan, pemakaian yang tidak menutupi aurat dan terlalu ketat pergaulan bebas, seks rambang, dadah, arak, ponteng sekolah, rempit, mencuri, ragut, vandalisme tidak menghormati guru dan menderhakai ibu bapa adalah isu-isu yang sangat menyayat hati dan mesti ditangani segera.

Pada hari ini, ujarnya terlalu banyak isu yang sedang berlaku menyentuh bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia di negara ini yang kalau tidak ditangani akan memberi kesan buruk kepada masa depan negara dan rakyat.

“Apabila pihak Kerajaan mahu memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) adakah ia bermakna isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) telah pun diselesaikan sesuai dengan tuntutan Perlembagaan Negara dan kepentingan nasional serta menjamin hak umat Islam di negara ini?” soalnya.

Harakahdaily

Jangan permainkan sumpah laknat

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 29 April: PAS mengingatkan semua pihak tidak mempermainkan sumpah laknat seperti yang mahu dibuat ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini berhubung video seks yang didedahkannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata dalam perundangan Islam, sumpah di hadapan hakim mahkamah syariah mempunyai nilai yang tinggi bagi menjaga martabat seseorang yang dituduh.

Bagaimanapun katanya, penuduh yang menggunakan kaedah sumpah laknat untuk membenarkan tuduhan, bukan sahaja akan merosakkan nilai sumpah itu sendiri, malah lari dari kaedah Islam.

"Sumpah mesti di dalam mahkamah atas arahan hakim syarie.

"Kita tengok sumpah ini dah jadi macam satu trend baru untuk menuduh orang. Lepas tuduh, bersumpah nak membenarkan tuduhan.

"Iaitu guna metodologi Islam (sumpah) untuk menghalalkan benda yang bukan syarak (fitnah)," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas hasrat Eskay yang mahu bersumpah laknat di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pelaku dalam video seks yang didedahkannya.

Beliau juga turut mengulangi penegasan bahawa Anwar juga tidak perlu bersumpah atas desakan mana-mana pihak kecuali hakim mahkamah syariah.

"Jika Anwar bersumpah di khalayak seperti yang didesak pihak tertentu, adakah ia menjamin bahawa tuduhan ke atasnya itu digugurkan?" soal Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria turut menegaskan Anwar tidak perlu bersumpah mubahalah atau kerana pelaku dalam rakaman video seks masih belum dibuktikan lagi.

“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.

“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya.

Thursday, April 28, 2011

Renungkan penciptaan ini

Ini adalah kenderaan hebat untuk menyelamatkan diri dari bencana banjir. Kenderaan itu dapat merakiti dirinya sendiri dalam 100 saat dan mampu menjaga ribuan hingga jutaan penumpangnya aman serta hanyut selama berhari-hari, bahkan hingga beberapa tempat.

http://images.nationalgeographic.com/wpf/media-live/photos/000/350/cache/fire-ants-form-life-rafts-afloat_35039_600x450.jpg

Kelompok semut api yang hanyut bersama adalah proses fitrah yang tidak ada pada binatang lain. Para saintis dan ilmuan berusaha mengetahui bagaimana semut-semut itu menciptakan rakit yang selesa dan tahan lama dari tubuh mereka sendiri.

Dengan rakit itu, mereka dapat menyelamatkan diri dari banjir di tempat asli semut api di Amerika Selatan, sekaligus berhijrah ke tempat jauh.

Pasukan ilmuan yang dipimpin oleh Nathan Mlot, ahli kajian biologi di Georgia Institute of Technology, Amerika Serikat, mengumpulkan semut api di tepi jalan dan memfilemkan serta membekukan semut itu ketika mereka membentuk kelompok apungan. Begitu juga diletakkan ke dalam air di laboratorium, kelompok semut berbentuk bola itu menyebar.

Semut-semut saling berpegangan, menggunakan cakar, rahang, dan cabang yang ada di kaki mereka, yang mengeluarkan cairan minyak, yang membuat mereka dapat melekat pada permukaan licin. Begitu juga rakit hidup itu terjadi.

http://images.nationalgeographic.com/wpf/media-live/photos/000/350/cache/fire-ants-form-life-rafts-edge_35040_600x450.jpg

Bagian tubuh luar semut, yang disebut kutikel, bersifat hidrofobik atau penolak air. Permukaan kasar kutikel membuat semut dapat menahan udara di tubuhnya ketika terendam air dan membentuk lapisan plastron.

"Kelompok besar semut api yang saling berpegangan itu memiliki kemampuan anti air yang lebih tinggi, sehingga seluruh anggota kelompok dapat mengembang sekaligus mencegah air memasuki rakit," kata Mlot.

Rakit semut itu memperoleh keuntungan dari tubuh semut yang kecil. "Pada skala milimeter, semut mempunyai kekuatan besar, kecepatan tinggi, dan kemampuan menahan ruang udara ketika terendam air, yang akhirnya membuat rakit mereka anti-air," kata Mlot dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences. "Kemampuan ini nampaknya hilang pada ukuran yang lebih besar."

Sayang, rakit semut itu punya kelemahan. Rakit akan bocor dan tenggelam apabila air diberi sabun yang akan merosakkan tegangan permukaan air.

Artis Bob Lokman memilih PAS

24 Jamadilawal 1432H.

ORANG lulus Universiti Azhar dengan ijazah PhD, bertabur firman dan hadis di hujung jarinya, tidak memilih PAS sebagai medan mengembangkan ilmu dan jihadnya.

Antaranya memilih Umno. Atau Allah memilih mereka menjadi Umno.

Yang Allah pilih menjadi ahli PAS ialah artis penulis lirik Bob Lokman. Dunia Bob dulunya di alam wayang. Tetapi dia memilih menjadi ahli PAS.

Bukan mudah bagi seseorang untuk memilih menjadi PAS. Menjadi hafiz dan PhD. Pengajian Islam belum tentu Allah pilih dia jadi orang PAS, tetapi Bob Lokman, sebagai penulis lirik Allah pilih jadi orang PAS.

Bob Lokman boleh bersyukur atas pemberian Allah itu. Dan umat Islam seluruhnya bersyukur kerana Bob Loman mula menjadi aktivis PAS.

Dia mengaku pilihannya betul setelah ada yang mencemik pemilihannya itu. Itulah ujian awal yang Bob hadapi. Dan mula gelaplah gambar dan karya seninya dari dada TV dan media perdana.

Tetapi Bob tetap memberitahu, setiap kali dia hendak meninggalkan, setelah berada dalam PAS, dia tahu langkahnya adalah betul dan mula merasai manisnya berpolitik dalam PAS.

Orang lain belum merasa manis itu, tetapi Bob sudah merasa manisnya.

Sudah ada rakan-rakan artisnya mula mendekatinya dan mahu mengikutnya.

Begitulah ada orang menyertai PAS kerana mengikut kuliah Tok Guru Mursyidul Am Dato’ Nik Aziz. Ada yang masuk kerana terasa sedapnya kata-kata mantik Ustaz Fadzil Noor. Demikian juga memahami Islam melalui kuliah Ustaz Abdul Hadi.

Tetapi ada juga kerana mengikut daya jelas Bob Lokman.

Seperti saya menanda tangani borang menyertai PAS 30 tahun dulu, saya didorong oleh pelakun filem Yusuf Suria. Saya berbuat bersamanya dengan Dato’ Asri, pemimpin PAS masa itu.

Tiba-tiba Yusuf berkata kapada saya di depan Dato’ Asri, ‘I ini bukan orang agama, tetapi I mahukan Islam. You orang beragama, tetapi pasal apa tak mahu ikut Islam?’

Saya tidak dapat memberi jawapan. Lalu dia menyuakan borang PAS kepada saya. Saya ambil borang itu dari tangannya. ‘Isi!’ suruhnya.

Dato’ Asri mengambil borang itu, dia minta kad pengenalan saya. Diisinya borang itu. Saya pun menjadi ahli PAS dan mula merasa manisnya berjuang dalam Islam.

Kira-kira 35 tahun dulu pelakon Yusuf Suria yang banyak berlakon di bawah arahan P.Ramlee dan menyokong kuat Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Harun Idris menjadi ahli PAS.

Ke sana ke mari dia menggalas borang PAS. Ramai orang ditemuinya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur diajaknya masuk PAS. Saya tengok beberapa pelakon kecil dan pelakun tambahan yang datang makan di gerainya, Restoran Semporna mengisi borang menjadi ahli PAS.

Dia rajin masuk ke luar-luar bandar berceramah mengajak orang masuk PAS.

Yusuf mahu jadi orang baik. Dia tidak banyak mendapat didikan agama. Jika ada orang PAS yang ada masa, boleh menumpukan penuh masa kepada Yusuf, dia boleh jadi aktivis Islam yang gigih.

Malangnya PAS ketika itu bertempur antara yang menyokong dan menentang Dato’ Asri, maka tidak yang dapat membeberi masa untuk membimbing artis-artis yang menyertai PAS masa itu.

Beberapa tahun selepas itu Jamal Mohamad yang dikenali sebagai Jamal Kerdil. Dia meninggalkan terus dunia hiburannya. Isterinya membawanya ke sana ke mari di seluruh negara memenuhi jemputan mengadakan ceramah PAS.

Dia tidak berapa sihat. Selalu masuk hospital. Tetapi bila keluar hospital selalu menghadhirkan diri dalam kegiatan PAS. Dunia hiburannya sudah terputus baginya. Dia tidak suka lagi diingatkan dengan zaman dunia hiburannya.

Bintang-bintang terkenal seperti Tompel, Ibrahim Din dan P.Ramlee yang baik dengannya, kalau boleh nama-nama itu tidak boleh disebut di depannya. Dia tidak suka dikaitkan dengan masa lampaunya.

Di hari tuanya dia tinggal di Dengkil. Dia hari-hari tuanya dengan mengingati kebesaran Allah. Semangat PASnya masih tinggi.

Jika Bob Lokman mahu tahu akan manisnya menyertai politik PAS mengikut pengalaman dan pandangan seorang bekas seorang artis, pergilah berkunjung ke rumah Pak Jamal Kerdil di Dengkil.

Tanya dia tentang manis dan indahnya PAS.

Harakahdaily/-
Oleh : Subky Abdul Latif

Sebar berita fitnah haram di sisi Islam – Dr Haron Din


KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am Pas, Profesor Datuk Dr Haron Din Al Hafiz, berkata, haram menyebar atau membaca mana-mana berita yang berbaur fitnah.

Menurut beliau, larangan Allah terhadap fitnah secara jelas terkandung dalam Al Quran seperti disebut dalam surah An Nur dan Al Hujurat.

Ketika dihubungi KeadilanDaily hari ini, Dr Haron bagaimanapun berkata, beliau merujuk kepada semua berita yang berunsur fitnah dan tidak menyatakan kepada mana-mana pihak tertentu.

“Saya kata, adalah haram menyebarkan berita yang berbaur fitnah,” ujarnya.

“Pemberita yang menulis tentang sesuatu fitnah memanglah haram. Kita bercakap secara umum. Saya tak refer kepada mana-mana pihak. Itu terpulang kepada pengertian masing-masing,” ujarnya

Dirompak Tetapi Sempat Berdakwah

zharifjenn
Nama Mohammad Sohail kini menjadi sebutan di Amerika. Namanya menjadi sebutan dan mendapat liputan di arus media selepas seorang lelaki cuba merompak kedai Shirley Express iaitu kedai milik Mohammad Sohail di Shirley, New York pada Mei 2010.

Perompak itu masuk dengan memegang tongkat baseball dan menuntut wang. Tetapi Sohail nekad dengan memutuskan untuk menarik keluar senapang. Perompak terkejut dengan tindakan Sohail dan dia terus melutut ke tanah. Sebenarnya senapang itu tidak mempunyai peluru.
Perompak mula menangis seperti budak kecil, mengatakan dia hanya merompak kedai kerana dia tidak punya pekerjaan dan keluarganya sudah tidak mempunyai bekalan makanan. Sohail kasihan selepas mendengar rintihan perompak tersebut

"Ketika saya melihat dia mulai menangis, saya dapat rasakan yang dia terdesak dalam hidupnya sehingga mengambil keputusan untuk mencuri" katanya kepada CNN.

Sohail meminta perompak itu berjanji supaya untuk tidak merompak lagi, kemudian memberinya $ 40 dan roti. Lelaki itu menjawab dengan mengatakan ia ingin menjadi Muslim seperti Sohail. Sohail memberitahu dua kalimah syahadah dan memberikan nama Zardari Nawaz Sharif kepada perompak tersebut.

Sementara Sohail pergi untuk mendapatkan susu untuk perompak, perompak itu terus melarikan diri. Namun Sohail tidak menekan butang amaran selepas itu dan membiarkan perompak itu melarikan diri.

Selepas orang lain mengetahui tentang kebaikannya, mereka mula menghantar wang kepadanya. Tetapi Sohail tidak menggunakan untuk dirinya. Dia memutuskan untuk memberikan kepada orang orang yang tidak berkemampuan dengan menawarkan roti dan kopi setiap malam.

Minggu ini Sohail menerima surat tanpa alamat pengirim yang mengandungi $ 50 dan nota. Kandungan surat itu:

"Anda telah menukar keseluruhan hidup saya ... Pada waktu itu saya tidak punyai duit, tidak punyai makanan, meja saya kosong, saya tak punyai kerja. Saya tahu ini kerja yang salah dengan merompak tetapi saya tidak punyai pilihan. Saya perlu memberi makanan kepada keluarga saya. Bila kamu acukan senapang, saya yakin 100% saya akan mati. " Tapi kamu telah menjadi inspirasi saya untuk saya menjadi "muslim sebenar"

"Saya sangat gembira bahawa seseorang itu telah mengubah hidupnya," kata Sohail dalam temuramahnya dengan CNN. "Jika dia masih lagi melakukan jenayah, hidup dia takkan berubah. Jadi sekarang dia adalah orang yang baik di dalam komuniti ini dan saya sangat gembira untuk itu. Dia tinggal keluar dari masalah, dia tidak dalam penjara, dan boleh mengurus keluarganya dengan baik . "

Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

KEBENARAN TERSERLAH – PERJUANGAN KASE DIAKUI

Saya ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia khasnya pemilik kenderaan dan pengguna jalanraya kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri yang disiarkan dalam akhbar theSun bertarikh 27/4/2011 di mukasurat 03. Beliau mengulas pertanyaan wartawan tentang keputusan Kerajaan menyenarai hitam pemilik kenderaan hanya setelah kesalahan yang dilakukan dibawa dan dibuktikan di Mahkamah. Antaranya beliau menyebut seperti berikut :

“It’s not (being lax). It’s only fair; innocent until proven guilty – that is the basic principle of law. Only when they are found to be guilty of their offences in court, will they be blacklisted”

Menyorot kembali polisi Kerajaan sebelum ini di mana Kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menguatkuasakan kaedah senarai hitam pemilik-pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu iaitu dengan menghalang segala transaksi melibatkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan) dan lesen memandu jika didapati pemilik kenderaan dan pemegang lesen mempunyai “perkara yang belum selesai” di dalam rekod JPJ dan PDRM. Tidak pernah pada bila-bila masa semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan mereka. Sebaliknya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen terus dihalang transaksi dengan JPJ melainkan mereka membayar dahulu segala kompaun bagi setiap perkara yang terdapat di dalam rekod JPJ dan PDRM. Ekoran tindakan tersebut, balai-balai polis, kaunter-kaunter pejabat pos dan JPJ dikerumuni para pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar kompaun-kompaun kerana terdesak dan takut mereka akan disenarai hitam. Mereka terpaksa bersusah payah beratur, mengambil cuti dan ada juga yang terpaksa membuat pinjaman peribadi dengan bank untuk melangsaikan kompaun sedangkan semua kesalahan yang direkodkan di dalam sistem JPJ dan PDRM masih belum dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan.

Kementerian Pengangkutan dan JPJ bertegas mengatakan mereka mempunyai kuasa untuk melakukan senarai hitam tersebut melalui peruntukkan Seksyen 17(1)(d) dan Seksyen 29(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Kami di Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) secara konsisten menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada tahun 2009 di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Pengarah Jabatan pengangkutan Jalan Negeri Sarawak. Kami di KASE telah menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Menteri Pengangkutan pada Ogos 2010 dan kemudiannya menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Walaubagaimana pun jawapan yang diterima pada waktu itu tetap sama iaitu Kerajaan mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam walaupun kes Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan sebaliknya.

Desakan demi desakan dilakukan sehinggalah pada 23/3/2011 Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju menarikbalik perlaksanaan senarai hitam atas kesalahan yang dikeluarkan Notis Pol 170A atau lebih popularnya “Saman Ekor”. Alasan yang diberikan beliau ialah Jemaah Menteri mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara bahawa keputusan perlu ditangguhkan sehingga suatu kes rayuan diputuskan di Mahkamah.

Kami di KASE menyambut baik keputusan tersebut. Walaubagaimana pun keputusan tersebut dengan jelas, nyata dan terang menunjukkan bahawa Kerajaan telah mendera, menindas, menzalimi dan memaksa rakyat khasnya pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar dan mengakui sesuatu perkara yang belum pasti dan belum diputuskan kesalahan mereka oleh Mahkamah. Tindakan Kerajaan sebelum ini jelas membuktikan prinsip “innocent until proven guilty” (tidak bersalah melainkan dibuktikan salah) yang disebut oleh Timbalan Menteri itu tidak diendahkan. Kenapa setelah berjuta-juta duit rakyat diperas melalui tindakan senarai hitam baru sekarang hendak disebutkan prinsip “innocent until proven guilty”. Adakah semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini Kerajaan tidak pernah tahu prinsip “innocent until proven guilty”?

PDRM pula dengan bangganya mengumumkan bahawa sehingga Februari 2011 sejumlah lebihkurang RM496.7 juta telah berjaya dikutip. Kutipan ini hasil daripada perlaksanaan kaedah ugut dan paksa oleh Kerajaan selama ini. Kerajaan mengugut akan menghalang transaksi pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu jika kompaun tidak dijelaskan. Hasil ugutan itu, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen berpusu-pusu membanjiri balai polis, pejabat pos dan JPJ untuk membayar kompaun sedangkan kesalahan mereka belum dibuktikan. Inikah prinsip “innocent until proven guilty” yang dipegang oleh Kerajaan? Bayar dahulu – salah atau tidak bukan isunya? Rakyat Didahulukan! Adakah PDRM tidak perlu menggunapakai prinsip “innocent until proven guilty”? Adakah duit kompaun lebih penting daripada pembuktian kesalahan?

Keputusan menarikbalik senarai hitam juga dikatakan ekoran nasihat Jabatan Peguam Negara. Mahkamah Tinggi Kuching telah membuat keputusan pada tahun 2009 tetapi hanya pada Mac 2011 baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat kepada Jemaah Menteri bahawa tindakan Kerajaan menyenarai hitam itu tidak betul. Negara amat malang mempunyai “penasihat” seperti ini. Sudah berjuta-juta duit rakyat dikaut, sudah berapa ramai rakyat disusahkan baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat bahawa tindakan Kerajaan tidak betul?

Kami di KASE ingin mendesak kepada Kerajaan untuk menjelaskan beberapa perkara. Pertama, atas prinsip undang-undang apa Kerajaan berpendirian bahawa Kerajaan boleh menghalang transaksi sebelum ini jika sekarang ditarik balik atas prinsip “innocent until proven guilty”? Kedua, siapa yang memberikan nasihat kepada Kerajaan untuk melaksanakan senarai hitam walau pun keputusan Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa tindakan itu salah? Ketiga, jika sekarang ditarik balik kerana prinsip “innocent until proven guilty”, bagaimana status mereka yang telah membayar kompaun sedangkan mereka tidak pernah didapati salah oleh Mahkamah? Mereka membayar kerana ugutan senarai hitam oleh Kerajaan, bukannya mengaku kesalahan.

Akhirnya KASE mendesak Kerajaan melakukan perkara-perkara berikut :

a) Memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen atas tindakan senarai hitam tanpa bukti sebelum ini.

b) Memulangkan segala bayaran kompaun yang telah dibuat oleh para pemilik kenderaan dan pemegang lesen akibat perlaksanaa kaedah senarai hitam sebelum ini.

c) Mengeluarkan rekod kesalahan yang tidak dibuktikan di Mahkamah daripada sistem PDRM dan JPJ melainkan semua kesalahan tersebut dibawa dan dibicarakan di Mahkamah.

d) Menghapuskan semua saman-saman ekor dan perkara-perkara yang tidak dibuktikan kesalahan di Mahkamah daripada rekod JPJ dan PDRM.

Sekiranya tindakan ini tidak dilakukan, KASE berpendapat bahawa Kerajaan sememangnya tidak bertanggungjawab dan telah bertindak zalim kepada rakyat. Di mana slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan? Kebenaran Akhirnya Terserlah....


ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
27/04/2011

Wednesday, April 27, 2011

Selaraskan fatwa agar tidak jadi bahan gurauan

KUANTAN, 26 April: Sesuatu fatwa yang ingin diputuskan perlu diselaraskan terlebih dahulu untuk mengelakkannya menjadi bahan gurauan dan mainan ketawa orang ramai, nasihat Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim berkata walaupun terdapat sedikit kesukaran dalam menyelaraskan fatwa kerana ada yang tertakluk di dalam bidang kuasa negeri, namun perkara ini perlu diselesaikan dengan baik dan tegas kerana fatwa yang berbeza akan menyusahkan rakyat.

“Biasanya kalau asas pengharaman itu sama, maka tidak timbul fatwa berbeza antara negeri-negeri.

Akan tetapi, disebabkan tiadanya penyelarasan antara ahli-Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, maka terjadinya perkara seperti ada negeri yang terlalu laju dalam memberi fatwa berbanding Majlis Fatwa Kebangsaan. Jadi, implikasi daripada fatwa itu menjadi sangat besar,” terangnya.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut mengambil contoh fatwa larangan merokok di Pahang sebagai hujah betapa pentingnya proses penyelarasan fatwa yang dicadangkannya.

“Seperti Pahang yang mengharamkan merokok, sedangkan negeri lain belum mengharamkannya. Ini bermakna kalau seseorang menghisap rokok, bilamana ia melepas terowong ke Pahang mesti dipadamkan rokoknya,” katanya.

Disebabkan ketidaksetaraan fatwa seperti itu, ujarnya, akan menganiaya sesuatu fatwa sehingga menjadi satu bahan gurauan dan mainan tertawa orang ramai.

“Ini akan merendah-rendahkan sesuatu fatwa itu,” tambah Tuan Ibrahim.

Beliau turut berkata perkara yang sama turut berlaku dalam isu fatwa tarian poco-poco di mana, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria telah terlebih dahulu memutuskan bahawa tarian poco-poco adalah haram untuk orang Muslim di negeri Perak telah menimbulkan pelbagai pertikaian daripada pelbagai pihak.

Perkara ini menjadi lebih mengelirukan untuk umat Islam, Jumaat lalu, apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dipetik sebagai berkata bahawa umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

Walaupun berbeza dengan fatwa negeri Perak, Abdul Shukor turut dipetik sebagai berkata bahawa jawatankuasa itu menghormati keputusan negeri tersebut untuk mengharamkan poco-poco sejak Januari lalu.

Namun begitu, perkara ini dinafikan Harrusani hari ini.



Harussani terkejut

“Dalam mesyuarat kita tidak bincangkan langsung pasal tarian poco-poco, apa yang berlaku saya hanya memberikan penerangan kenapa ia diharamkan . . . kita tidak bincangkan secara umum isu ini.

“Sebab itu saya terkejut apabila dalam akhbar kata Majlis Fatwa Kebangsaan benarkan tarian poco-poco di negeri lain, kita tidak bincangkan pun perkara ini... jadi bagaimana boleh kata macam itu,” kata Harussani (gambar) yang dipetik The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa beliau sudah mendapatkan penjelasan Abdul Shukor dan dimaklumkan media telah salah faham.

Dalam pandangannya terhadap perkara ini, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa bukan direka untuk menjaga hati mana-mana pihak dan dibuat berdasarkan garis panduan yang mengikuti peraturan syarak.

“Oleh itu, PAS menggesa seluruh umat Islam menghormati sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan,” katanya.

Bagi golongan yang tidak dibekalkan asas agama yang cukup dalam memahami kaedah syarak, beliau menasihatkan mereka untuk membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah syarak untuk pengambilan sesuatu hukum sebelum membuat sebarang ulasan dan pertikaian terhadap fatwa yang dikeluarkan.

“Apakah mereka membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah pengambilan sesuatu hukum terlebih dahulu sebelum mempertikaikannya?

Namun, persoalan ini timbul mungkin kerana kegagalan kerajaan melalui kementerian menjadikan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras dalam mana-mana peperiksaan, sehinggakan ada golongan yang tidak memahami agama secara mendalam sanggup mempertikaikan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya dengan kesal.

Harakahdaily/-

Kilang Mesin Taip Terakhir di dunia ditutup

MUMBAI, India - Syarikat Godrej and Boyce yang menjadi pengeluar mesin taip terakhir di dunia terpaksa menghentikan operasinya dan hanya meninggalkan beberapa ratus buah mesin taip dalam stoknya sebelum dijual kepada orang ramai, lapor sebuah akhbar semalam.

Penutupan kilang itu dipercayai akibat permintaan terhadap mesin taip semakin berkurangan sejak 10 tahun lalu selepas orang ramai beralih kepada komputer.

TUGAS mesin taip sudah diambil alih sepenuhnya oleh gajet lebih canggih terutama komputer

Pengurus Besar Godrej and Boyce, Milind Dukle berkata kepada akhbar tempatan India, Business Standard: "Kami tidak menerima banyak permintaan sekarang. Sejak awal tahun 2000, penggunaan komputer terus mendominasi pengguna di seluruh negara. Semua syarikat yang mengeluarkan mesin taip menghentikan operasi masing-masing kecuali kami.

"Sehingga tahun 2009, kami hanya menghasilkan 10,000 hingga 12,000 mesin taip setahun. Mungkin sekarang adalah waktu terbaik buat pengguna mesin taip untuk mendapatkan produk terakhir kami."

Syarikat itu memulakan perniagaan sejak tahun 1950-an selepas bekas Perdana Menteri, Jawaharlal Nehru menganggap mesin taip sebagai simbol pengembangan kemerdekaan dan industri di India.

Terdapat sebanyak 200 buah mesin taip ada dalam stok syarikat tersebut. Majoritinya terdiri daripada model dengan aksara bahasa Arab.

Pada awal 1990-an, Godrej and Boyce menjual 50,000 unit mesin taip setiap tahun. Tetapi pada tahun lalu, ia hanya dapat menjual 800 unit sahaja.

Jelajah Orang Muda Untuk Perubahan [JOM UBAH]


Projek : Jelajah Orang Muda Untuk Perubahan [ JOM UBAH ] siri 1
Tapak projek : Seluruh Negara [ 8 check point ] kecuali 3 negeri
Anjuran : Lajnah Politik DPPM dengan kerjasama DACS Pusat dan DPP Negeri.

Tarikh : 19, 20, 21 dan 22 hb Mei 2011
Hari : khamis - ahad
Masa : 4.30 pm [ khamis ] - 7.00 pm [ ahad ]

Matlamat :

Menyemarak kebangkitan anak muda ke arah menuntut perubahan dan menolak kerajaan korupsi demi masa depan rakyat serta negara yang sejahtera.

Objektif :

1. Menggerakkan jentera DPP dIpelbagai peringkat [ kawasan dan negeri ] bagi menghadapi gelombang kebangkitan anak muda dan siap menghadapi pilihanraya.

2. Mengembeling tenaga "pemacu gelombang" kebangkitan anak muda Malaysia untuk mengurus dan memimpin kebangkitan mereka. [ exco DPP kawasan dan negeri ]

3. Menyemarak gelombang kebangkitan anak muda agar bersama dengan DPP menggerakkan agenda perubahan.

4. Membekalkan motivasi dan amanah perjuangan serta bimbingan maklumat dari pucuk pimpinan.

5. Memasyarakatkan DPP serta membawanya dekat dengan sentimen dan aspirasi anak muda masakini.

Tentatif :

[ Khamis. 19 hb Mei 2011 - khamis ]

02.30 pm - Pelancaran JOM UBAH di Pantai Teluk Chempedak
[ Hi tea bersama DPP Negeri Pahang ]
Pelancaran Oleh : Ybhg. Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS. - 04.30 pm

05.10 pm - Jelajah Orang Muda bergerak ke Check Point 1 -
Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu.

09.00 pm - Solat, Makan malam dan Himpunan JOM UBAH 1 :
BBQ dan edar Risalah Tawaran PAS kepada Anak Muda
Amanah Perjuangan oleh :
Ybhg Ketua DPP Malaysia.
Yb. Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS.

11.30 pm - isterehat [ 20 hb Mei 2011 - Jumaat ]

05.00 am - Bergerak ke Kota Bharu

05.30 am - Solat subuh berjamaah, sarapan dan bergerak ke
Check Point 2 . KB Mall di Kota Bharu

11.00 am - Amanah Perjuangan di KB Mall oleh :
YAB Datuk Bentara Setia Tuan Guru Mursyidul Am PAS
[ edar risalah sinopsis Buku Jingga ]

12.00 pm - Makan tengahari dan solat jumaat

02.00 pm - JOM UBAH Bergerak ke Check Point 3 - Alor Star

[ singgah di Baling Kedah : ziarah maqam syuhada' Memali ]

08.30 pm - Solat Isyak - jamak Ta'khir - dan bergerak ke Alor Star

[ BBQ dan Cit Cat JOM UBAH bersama Pak Long dan beberapa selebiriti di Alor Star ]

12.00 pm - isterehat [ 21 hb Mei 2011 - sabtu ]

05.30 am - Solat Subuh berjamaah, kuliah subuh, sarapan dan bergerak
Ke Check Point 4. - Perlis.

[ ziarah maqam Al Marhum Dato' Tuan Guru Hj Fadhil Mohd Noor ]

09.30 am - Himpunan JOM UBAH 2 di Markaz Tarbiyah PAS Perlis

[ sukan ilmiah : pertandingan kuiz dan debat spontan ]

12.00 pm - Makan Tengahari, solat Jama' Taqdim dan bergerak ke
Check Point 5. - Penang

02.30 pm - Santai JOM UBAH di Pantai BERSIH Penang

[ Hi tea, Teater Musical Alternatif, Islamic Boria Pulau Pinang, pidato kanak - kanak, taaruf santai, sessi foto dll ]

05.30 pm - Bergerak ke Check Point 6 . Perak

08.30 pm - Solat Isyak jama' Ta'khir dan makan malam

09.30 pm - Malam Kebudayaan JOM UBAH
Di Pantai Lumut.
[ cit cat, artis undangan, nasyid, sajak perjuangan,
Pentomin, BBQ dan Mat Sabu ]

12.00 am - Isterehat [ 22 hb Mei 2011 - ahad ]

05.30 am - Solat subuh, kuliah subuh, senaman dan sarapan

08.00 am - Bergerak ke Check Point 7. Selangor

09.30 am - Karnival JOM UBAH di Sabak Bernam

[ bersama Bob Lokman. Pertandingan Paint Ball, Memanah, Carrom, Guli, Motor lambat, Motor Cantik, Yb Salahudin Ayub dsbnya. ]

01.20 pm - Makan Tengahari, solat zuhur Jamak Taqdim dan bergerak ke
Check Point 8. Wilayah Persekutuan.

03.30 pm - Labuh Tirai JOM UBAH

[ Hi tea, ramah mesra bersama anak muda, sessi beri dan terima pandangan dan Taujihat penutup oleh Yb Timbalan Presiden Ust Nasharudin ]

07.00 pm - Bersurai

nota :

[ Jelajah Orang Muda untuk Perubahan - JOM UBAH ]

JOM UBAH siri 2
Negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor pada 30 dan 31 Julai 2011 ]

JOM UBAH siri 3
Negeri Sabah pada 26, 27 dan 28 August 2011

JOM UBAH siri 4
Negeri Sarawak pada 23, 24 dan 25 September 2011

Daftar segera melalui DPP Negeri masing - masing atau terus ke lokasi untuk penyertaan anda. Terbuka kepada semua.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Pengarah JOM UBAH

Tuesday, April 26, 2011

Sungai di atas sungai

Jambatan air Magdeburg adalah saluran air di Jerman yang menghubungkan Kanal Elbe-Havel ke kanal Mittelland dan memungkinkan kapal untuk menyeberang di atas Sungai Elbe setinggi 918 meter. Jambatan air Magdeburg adalah saluran air terpanjang di dunia.


Kanal Elbe-Havel dan kanal Mittelland sebelumnya bertemu berdekatant Magdeburg tetapi di sisi berlawanan dari Elbe. Kapal dari Kanal Elbe-Havel menuju kanal Mittelland sebelumnya perlu menempuh jalan memutar sepanjang 12 kilometer, turun dari Terusan Mittelland melalui lift air raksasa Rothensee untuk mengangkat perahu menuju Elbe, kemudian berlayar melawan arus.

Sebelum memasuki Kanal Elbe-Havel harus melalui Niegripp Lock. Kadar air surut di Elbe sering membuat kapal yang sarat muatan kargo tidak dapat melakukan penyeberangan ini, dan hal ini memakan waktu lebih lama untuk kapal berlabuh.






Pembangunan saluran air ini dimulai sejak tahun 1930 namun kerana berlakunya Perang Dunia ke-2 dan pembahagian berikutnya dari Jerman, pekerjaan ini ditunda sehingga 1997. Saluran air itu akhirnya selesai dan dibuka untuk umum pada tahun 2003.

Menilai tahap kecekapan pengurusan UUM


Universiti Utara Malaysia (UUM) dikenali (bukan terkenal) sebagai universiti yang banyak memfokuskan bidang pengajian kepada falsafah dan pengaplikasian pengurusan. Kami sebagai graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) merasa terpanggil untuk mengemukakan komentar tentang isu-isu yang menyentuh kepada aspek tata-kelola universiti pengurusan ini.

Isu terbaru yang melanda UUM ialah mengenai isu air dan isu cukai tanah yang mana telah mengheret kerajaan PAS Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Jentera media diperkakaskan sepenuhnya oleh rejim Umno BN, apa yang menjadikan isu ini bertambah panas ialah apabila kesalahan tersebut dibebankan sepenuhnya ke atas bahu kerajaan PAS Kedah walaupun pada hakikatnya masalah ini berpunca daripada kelemahan yang ketara oleh pentadbiran dan pengurusan UUM untuk menangani masalah ini dari akar umbinya.

Apabila memperkatakan mengenai isu air, hal ini sebenarnya melibatkan dua persoalan yang utama iaitu, kegagalan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri untuk membekalkan air secukupnya kepada UUM atau masalah infrastruktur yang tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan pusat justeru infrastruktur universiti terletak sepenuhnya dalam tanggungjawab kerajaan pusat iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Utusan Malaysia melaporkan bahawa masalah ini berpunca daripada persoalan yang pertama walaupun pada hakikatnya pengurusan UUMlah yang patut disalahkan kerana gagal menangani masalah ini. Dilaporkan juga bahawa UUM menghabiskan purata sebanyak RM80,000 untuk bekalan air dengan menyewa lori untuk mengangkut air setiap bulan. Bayangkan jika duit yang dibazirkan ini digunakan untuk menyelenggarakan infrastruktur yang sedia ada, saya percaya bahawa pembaziran ini dapat dielakkan.

Persoalan lain yang turut terkait dengan isu air ini ialah tidak semua Dewan Penginapan Pelajar (DPP) mengalami masalah ini bahkan hanya segelintir sahaja. Namun media membesar-besarkan isu ini untuk menunjukkan bahawa seluruh universiti ‘kelam kabut’ kerana isu ketiadaan air ini. Saya difahamkan bahawa DPP yang berada di luar kampus utama iaitu DPP Bank Rakyat dan DPP SME Bank tidak pula mengalami masalah ini.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah melalui portal kerajaan negeri, dipetik sebagai berkata bahawa kelemahan ini berpunca daripada kelemahan pengurusan universiti yang gagal untuk menaiktaraf infrastruktur ada sesuai dengan pertambahan mahasiswa yang semakin meningkat. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menegaskan bahawa pihaknya telah membawa isu ini kepada kerajaan pusat (merujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi) namun tidak berhasil.

Isu air ini sebenarnya telah berlaku sejak pemerintahan rejim Umno BN memerintah Kedah sebelum diambil alih oleh Pakatan Rakyat. Hal ini bermakna kerajaan Umno BN sememangnya gagal membantu menyelesaikan masalah ini dan pemimpin sebelum ini yang patut dipersalahkan.

Isu yang seiring dengan isu air adalah mengenai isu cukai tanah. Dilaporkan bahawa kerajaan negeri menaikkan cukai tanah sehingga sepuluh kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri. UUM juga dilaporkan bahawa perlu membayar sebanyak RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Fitnah yang berterusan terus dihamburkan kepada kerajaan PAS Kedah dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri mengaut keuntungan daripada institut pengajian tinggi (IPT) itu. Kerajaan Pusat juga mendakwa bahawa mereka ingin untuk bersahabat dan menjalin lebih banyak kerja dengan kerajaan negeri. Jika ini disebutkan dengan hati yang tulus, selesaikanlah masalah air yang telah sekian lama berlaku dan jangan hanya tau menyalahkan kerajaan negeri.

Dalam Harakahdaily.net, Menteri Besar Kedah mengeluarkan kenyataan bahawa, tempoh pemberian rebat kepada universiti itu telah berakhir, dan oleh kerana itulah UUM perlu membayar penuh. Namun, jika UUM tidak mampu untuk membayar cukai tersebut, UUM boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula. Kenyataan yang dikeluarkan ini tidak ‘sampai’ kepada masyarakat kerana semua media massa adalah pro kerajaan dan sememangnya kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat adalah ‘haram’ dikeluarkan di media massa ini. Hal ini akan menampakkan bahawa PR sememangnya lemah dan tidak mampu untuk mentadbir negeri yang dimenanginya ketika pilihan raya yang lalu.

Saya sangat berharap agar mahasiswa UUM bijak untuk menilai situasi ini dan jangan hanya menuduh membabi buta tanpa mendapatkan berita daripada sumber yang benar. Mahasiswa perlu bersuara jika hak anda dicabuli. Jangan hanya menjadi mahasiswa yang bisu dan pekak, hanya mengikut telunjuk universiti yang nyata telah memanipulasi anda untuk menampakkan bahawa kesalahan perlu ditanggung oleh kerajaan yang sedang memerintah!


Siti Salasiah Salamun

Nostalgia bersama Abang Bob di Perlis














Syria perhebat patah kebangkitan rakyat



BEIRUT - Pemerintah Syria semalam memperhebatkan kempen untuk mematahkan kebangkitan rakyatnya sejak lima minggu lalu.

Bagi tujuan tersebut, pasukan tentera yang dibantu sejumlah kereta kebal, penembak tepat dan anggota keselamatan bersenjatakan pisau dikerahkan ke bandar Daraa tempat protes itu bermula di selatan negara berkenaan.

Beberapa saksi dan aktivis berkata, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala berpuluh-puluh yang lain ditangkap pihak berkuasa.

Operasi pihak berkuasa di bandar Daraa merupakan yang paling serius dalam usaha pemerintah mematahkan kebangkitan rakyat Syria.

Ia juga merupakan sebahagian strategi baru dengan melancarkan serangan berbentuk pencegahan terhadap para penentang rejim Presiden Syria, Bashar Al Assad berbanding bertindak selepas tunjuk perasaan dan bantahan berlaku.

Lebih 300 orang telah terbunuh di seluruh negara itu sejak penentangan rakyat terhadap kepimpinan Bashar bermula. Namun, penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan hanya menguatkan tekad mereka untuk menumbangkan presiden tersebut.

"Kami perlu campur tangan antarabangsa. Kami memerlukan negara-negara luar untuk membantu kami," kata seorang saksi di Daraa yang menyatakan, dia melihat lima mayat selepas pihak berkuasa membedil sebuah kereta.

Operasi ketenteraan di Daraa yang didiami sekitar 300,000 orang dan terletak berhampiran sempadan Jordan, bertujuan mematahkan kebangkitan penentang di kubu kuat mereka pada Mac lalu. - AP

Jahatnya dan bengong laporan Utusan ni..



Berita dari Lidah Rasmi UMNO yang dijadikan headline ini jika dibaca sekali lalu ianya hanya menceritakan kejayaan yang telah dicapai oleh pihak Polis dalam gerakan membenteras judi di Pulau Pinang..

Adakah itu sebenarnya tujuan Lidah Rasmi UMNO itu? Ada tujuan lain sebenarnya...

Bagaimana perasaan anda jika anda adalah salah seorang dari 114,668 orang warga emas yang telah dan akan menerima sumbangan RM100 dari Program Penghargaan Warga Emas (PPWE) Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari Sabtu 23Hb. Dan juga Ahad (24hb) yang lalu?


Pasti akan timbul keraguan dalam diri anda tentang dari mana datangnya wang yang diberikan kepada anda itu setelah terpandang headline Lidah Rasmi UMNO itu.. kerana ketika program penghargaan Warga Emas ini dilancarkan tahun lalu sebuah blog Pro UMNO telah menyebarkan fitnah mengatakan wang untuk sumbangan kepada Warga Emas itu datangnya dari hasil judi.

Berasaskan dakwaan dari blog itu Pemuda UMNO Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan kononnya dana dari kelab lumba kuda digunakan untuk membayar wang Ihsan itu..

Kemudiannya Lidah Rasmi UMNO telah menjadikannya satu berita disambung pula dengan gerakan mengutip kembali wang tersebut oleh beberapa ADUN dari UMNO dimulakan oleh ADUN Penaga iaitu Datuk Azhar.

Kutipan demi kutipan telah dilakukan oleh mereka setelah berjaya memperdaya warga emas yang menerima sumbangan itu dengan mengatakan ianya datang dari hasil judi.

Malangnya hingga kini tiada satu senpun telah dikembalikan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang..

Mereka berjaya memperdaya warga emas itu kerana warga emas tersebut tidak membaca laporan dari portal berita on-line yang kebanyakkan mereka baca ialah media cetak terutamanya Lidah Rasmi UMNO iaitu Utusan Malaysia..

Oleh itu mereka tidak mengetahui bahawa Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah berkata, rakyat yang menerima bantuan kerajaan sebenarnya tidak haram walaupun dana yang diperoleh pihak berkuasa adalah daripada pelbagai sumber termasuk judi yang menjadi amalan kerajaan pusat dan sesetengah kerajaan negeri.

“Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram, sebabnya mereka bukan berjudi... mereka (hanya) mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi,” tambah Dr Mohd Asri..

Jadi sekarang adalah jelas tujuan Lidah Rasmi UMNO itu menjadikan ‘Pulau Pinang lubuk judi?’ sebagai headline adalah untuk menimbulkan perasaan ragu-ragu atau was-was dalam hati Warga Emas Pulau Pinang yang telah menerima sumbangan RM100 itu…


Pulau Pinang lubuk judi?

• Aktiviti judi didapati semakin menjadi-jadi di Pulau Pinang apabila kian banyak tangkapan dilakukan, terbaru polis berjaya menumpaskan satu sindiket judi bola haram membabitkan taruhan sehingga jutaan ringgit.

• Sindiket yang beroperasi di sebuah pangsapuri di Jelutong itu tumpas setelah polis berjaya menahan tujuh lelaki dan dua wanita ketika mereka leka mengambil pertaruhan dalam talian.

• Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, dalam serbuan awal pagi semalam, polis merampas tiga buah komputer riba, kerusi serta meja ala kasino.

• Pada Khamis dan Jumaat lepas, polis berjaya menahan 50 orang yang sedang berjudi di Tokong Batu, Jelutong dan Tanjung Jaya, Jalan Raja Tun Uda, Pulau Pinang.

PULAU PINANG 24 April – Bermodalkan komputer riba dan talian Internet di sebuah pangsapuri sebagai pusat operasi judi bola haram, satu sindiket di Jelutong di sini mampu memperoleh nilai pertaruhan mencecah jutaan ringgit sehari.

Namun, sindiket itu yang dipercayai beroperasi sejak tahun lalu tumpas apabila diserbu sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut awal tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pertaruhan dijalankan dengan pembelian cip melalui akaun bank penjudi.

“Setiap pemain dibenarkan bertaruh hingga RM10,000 dalam setiap pertaruhan.

“Pertaruhan boleh mencecah RM300,000 dalam satu permainan atau hampir RM1 juta apabila terdapat tiga permainan dalam sehari,” katanya di sini hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, seramai tujuh lelaki dan dua wanita termasuk seorang wanita warga China berusia 30-an dan 48 tahun ditahan ketika leka mengambil pertaruhan dari dalam talian.

Kesemua mereka dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) dan Seksyen 4 (1)(C) Akta Rumah Perjudian Terbuka serta Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan.

Polis turut merampas tiga buah komputer riba dan kerusi serta meja ala kasino.
Kong Meng juga melahirkan penghargaan kepada pihak yang membuat aduan mengenai sindiket berkenaan dan meminta orang ramai berbuat demikian jika mengesyaki kegiatan seperti itu berlaku di kawasan mereka.

Pada Khamis dan Jumaat lepas, polis berjaya menahan 50 orang yang sedang berjudi di Tokong Batu, Jelutong dan Tanjung Jaya, Jalan Raja Tun Uda, Pulau Pinang.


Lidah Rasmi UMNO

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails