Thursday, August 12, 2010

Kabinet 'tak matang' larang mahasiswa berpolitik



Keputusan jemaah menteri yang melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, semalam, disifatkan sebagai "tidak matang".

Malah, kata pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir Mohd Ithnin keputusan itu dibuat dilihat tidak mengambil kira bahawa mahasiswa sebagai warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.

"Kerajaan perlu melihat mahasiswa sebagai warganegara yang berumur 21 tahun ke atas diberi hak, partisipasi (dalam politik), berhimpun dan memberikan pandangan.

"Kami kecewa dengan keputusan kabinet yang tidak membina (semangat) mahasiswa, sebaliknya lebih bersifat untuk membunuh semangat mahasiswa.

"Jika seksyen 15 AUKU (Akta Univeristi dan Kolej Universiti) membenarkan mahasiswa berpolitik dengan izin naib canselor, maka seksyen ini jugalah digunakan untuk mendakwa mahasiswa dalam mahkamah. Di mana hak mahasiswa?" soalnya.

Shazni Munir yang juga pelajar Universiti Malaya mengulas mengenai keputusan jemaah menteri semalam yang memutuskan bahawa mahasiswa tidak dibenarkan terlibat dalam politik kepartian.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dilaporkan berkata seksyen 15, AUKU yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.

Mengulas lanjut, Shazni Munir berkata rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas sepatutnya diberi hak untuk berpolitik sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

"Jadi mereka yang tidak menjadi mahasiswa, mereka lebih beruntung kerana berumur 21 tahun, bebas terlibat dengan politik dan berhimpun.

"Di mana kerajaan meletakkan mahasiswa sebagai agen intelektual. Ruang (berpolitik) harus diberikan lebih luas seperti berdebat dengan menteri atau NGO," katanya

Mengulas mengenai mahasiswa diwajibkan memohon kebenaran daripada naib canselor sebelum menyertai poltik, Shazni Munir berkata sepatutnya perkara tersebut tidak perlu.

Mohon restu mak, ayah

"Sepatutnya mereka memikirkan untuk menaikkan kedudukan universiti ke tahap global dan antarabangsa. Memadai memohon restu mak dan ayah. Kenapa nak susah-susah nak minta izin kepada naib canselor," katanya.

Sementara itu, presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS), Mohd Idris Mohd Yusoff berkata walaupun kerajaan membuat keputusan tersebut, pihaknya akan tetap memperjuangkan agar mahasiswa boleh menyetai politik kepartian.
"Ini soal rakyat Malaysia, soal hak dan kebebasan mahasiswa," katanya.

Sementara itu, pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Ahmad Wafi Sahedan berkata beliau menyambut baik keputusan jemaah menteri itu kerana berpandangan kerajaan telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan perkara berkenaan.

Ahmad Wafi berkata walaupun kerajaan tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik kepartian, kumpulan itu mempunyai saluran lain untuk terlibat dengan kegiatan masyarakat.
"Pindaan AUKU memberi peluang untuk menjadi mahasiwa berwibawa dan lebih bagus dengan terlibat dengan NGO untuk menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan," katanya.

Tegasnya, mahasiswa perlu menjadi satu golongan yang mempunyai pendirian dan tidak dipengaruhi serta bebas mengkritik mana-mana pihak.

Ahmad Wafi merupakan yang juga yang dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (MPMUSM).


http://promahasiswaum.blogspot.com/.


No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails