Monday, August 16, 2010

Pondok Pak Ya perlukan sumbangan sempena Ramadhan

ALOR SETAR, 16 Ogos: Walaupun hanya tinggal 12 buah sahaja Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kedah yang tidak diserap ke dalam Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran, Sekolah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya akan terus berjuang untuk mendidik anak bangsanya belajar agama.

"Memang sukar tetapi akan terus berjuang. Kami yakin, masyarakat akan bantu kami," kata Setiausahanya, Haji Najib Fahmi kepada Harakahdaily.

Untuk mencapai hasrat itulah, sekolah ini berusaha untuk mendapatkan sumbangan pelbagai pihak bagi membantunya.

Sekolah ini diasaskan pada 3 Zulhijjah 1360H @ Disember 1941 dan dibina atas surau peninggalan Tuan Hussein Kedah.
Pembinaan ini adalah hasil dari persidangan dan kata muafakat 25 penduduk yang berpengaruh di Kampung Padang Lumat yang bersidang pada 18 November 1941.

Surau dan tapaknya seluas 2 relung kemudiannya diwakafkan kepada Haji Yahaya Junaid. Taufikiah Khairiah ditubuhkan hasil khairat dan jariah masyarakat setempat.

Mudir atau Pengetua pertama Sekolah (Madrasah) Taufikiah ialah Tuan Guru Haji Yahaya AMK, seorang ulamak yang terkenal di negeri Kedah.

Beliau juga pernah dilantik sebagai ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah dan pernah menjadi ADUN Sala (Sungai Limau) selama dua penggal.

Sekolah ini dirasmikan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein (Mudir Al-Khairiah Pokok Sena, Seberang Prai) pada 2 April 1942.

Bilangan pelajar bertambah dari 18 pelajar di awal penubuhan kepada 194 pelajar semasa perasmian. Pada tahun 1964 jawatan mudir telah diserahkan kepada Allahyarham Ustaz Azhari Abd. Razak.

Pada zaman Allahyarham berdua, Taufikiah terus membangun dan mencapai banyak kejayaan.

Sekolah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah telah banyak melalui zaman jatuh bangunnya. Pada tahun 1990 bilangan pelajar melebihi 3000 pelajar.

Walaupun pada tahun 2010 bilangan pelajarnya Cuma 500 orang, Jawatankuasa Lembaga Tadbir telah bertekad untuk memperbaiki prestasi Taufikiah Khairiah Al-Halimiah dan terus berusaha melahirkan pelajar yang patuh dan tunduk kepada perintah Allah swt.

Sejarah telah membuktikan Taufikiah Khairiah Al-Halimiah telah melahirkan ribuan ulamak, intelektual Islam, bukan sahaja di Kedah, di Semenanjung malah ke Sabah dan Sarawak.

Taufikiah telah berjaya melahirkan Professor, Doktor, Pensyarah, Pegawai Tadbir, Pegawai Agama, Peguam, Golongan Profesional, Guru, Imam dan pemimpin masyarakat.

Mulai tahun 2008, Taufikiah memulakan pembaharuan dengan Pengajian Tahfiz diwajibkan bagi setiap tingkatan selama 1 jam, kelas tambahan diadakan bagi membaiki mutu pembelajaran seluruh pelajar.

Tahun 2009, Taufikiah telah mewujudkan kelas Pemulihan Khas untuk pelajar-pelajar yang tidak mahir di dalam membaca Al-Quran, jawi dan rumi.

Tahun 2010, pihak Taufikiah telah mewujudkan satu program khusus untuk pelajar yang mahir Al-Quran yang dikenali sebagai Akademi Tahfiz Al-Quran.

Mulai 2011, akan bermula pengambilan pelajar untuk tingkatan 1 Tahfiz Sains.

Visi Sekolah

Visi sekolah ini adalah memartabatkan sekolah sebagai sebuah institusi agama yang cemerlang dan berwibawa di negeri Kedah Darul Aman.

Misi sekolah

1) Merancang dan melaksanakan pelbagai program berdasarkan wahyu Ilahi untuk melahirkan para du’at yang berkebolehan dan berakhlak mulia.

2) Membentuk insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berlandaskan keyakinan dan kepatuhan kepada Allah swt.

3) Membentuk masyarakat Rabbani yang bertanggungjawab meneruskan amanah Allah swt.

Kepada mereka yang ingin membantu sekolah ini bolehlah hubungi Bendahari sekolah, Zolkefly Ismail 019-4001567.

harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails