Mengislah diri ialah membaiki dan merubah diri daripada keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik.Ia merupakan agenda utama seorang muslim di mana Imam al Banna meletakkannya sebagai kerja/amal yang pertama yang mesti dilaksanakan oleh para amilin (pendakwah) Islam.
Pengislahan diri merangkumi dua gerak kerja utama yang mesti dilakukan serentak iaitu ;
1. Membersihkan diri daripada sifat-sifat negatif (seperti kufur, fasik, zalim, malas, putus asa dan semua akhlak-akhlak mazmumah).
2. Menghiaskan diri dengan sifat-sifat positif (seperti iman , taat , takwa , berani , tawakal dan semua akhlak-akhlak mahmudah)
Apabila berlansungnya dua gerak kerja di atas maka akan terlaksanalah konsep pengislahan dan pentarbiyyahan yang selalu disebut oleh ulama' iaitu "التخلي و التحلي" (Penceraian/Perlucutan dan Pemakaian/Penghiasan) , mencerai dan melucutkan segala sifat keji dan buruk daripada diri dan kemudiannya memakai dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji dan indah.
Dalam ibarat yang lebih umum dapat kita nyatakan bahawa:
- Gerak kerja pertama bertujuan membersih unsur-unsur Jahiliyyah dan mencabut akar-umbinya daripada diri.
- Gerak kerja kedua bertujuan memakaikan diri dengan pakaian Islam dan menghiasinya dengan perhiasan Islam yang cantik dan indah.
Kita maksudkan dengan target khusus ini ialah target yang menjurus kepada setiap bidang / perspektif kehidupan secara khusus (seperti target dalam bidang keilmuan , kerohanian dan sebagainya) .
Target khusus ini mungkin tidak serupa di antara satu sama lain kerana suasana , kemampuan dan kecenderungan setiap individu adalah berbeza. Walau bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan bagi kita untuk meneliti target khusus yang dikemukakan oleh beberapa ulama' dalam beberapa bidang tertentu sebagai model dan panduan bagi kita sebelum kita melakarkannya sendiri.
1. Dalam Bidang Keilmuan Dan Saqofah
Pada pandangan As Syeikh Said Hawa, setiap muslim mesti melalui dua corak pembelajaran :
a) Pembelajaran ilmu Syari'e untuk menyempurnakan apa yang dituntut daripadanya yang terdiri daripada ilmu-ilmu fardhu ain.
Fardhu ain yang utama bagi setiap muslim ialah mengetahui Islam secara ijmali dan beriman dengannya serta mengakuinya dengan mengiklankan ucapan dua kalimah syahadah.
Fardhu ain kedua ialah mengetahui secara tafsili ilmu-ilmu Islam yang membolehkannya melaksanakan / menyempurnakan fardhu-fardhu yang dituntut ke atasnya.
Antara fardhu ain tersebut ialah ;
- Mentauhidkan Allah (التوحيد) , Beribadah (العبادة) dan Menyucikan diri (زكاة النفس).
- Mengetahui perkara-perkara yang diharamkan serta meninggalkannya dan mengetahui perkara-perkara yang dituntut serta melaksanakannya.
- Melaksanakan kewajipan terhadap dua ibu bapa,orang-orang yang mempunyai silaturrahim dengannya dan jiran-jirannya.
- Memenuhi kewajipan mentaati imam dan melazimi jamaah.
- Menjadikan sumber rezekinya adalah halal dan menafkahkan rezeki kepada orang-orang yang wajib dinafkahinya . Apabila ia mempunyai harta maka zakat, haji dan jihad harta (kalau ditentukan) menjadi fardhu ain ke atasnya.
Apabila jihad menjadi fardhu ain maka wajib baginya untuk melaksanakannya dengan niat untuk berjihad , berlatih , membuat persediaan, menyediakan kelengkapan dan seterusnya menyertai jihad.
Keseluruhan fardhu ain ialah seseorang manusia itu berada dalam situasi takwa.Takwa ialah tuntutan ilahi daripada hambanya.Takwa sepertimana yang digambarkan di awal surah al Baqarah ialah: Iman , Solat , Infaq , Mengikut al quran dan bebas daripada kekufuran dan kemunafikan.
Fardhu ain di dalam suasana-suasana yang biasa adalah serupa bagi setiap individu muslim keseluruhannya dan setengahnya berbeza (luas dan sempitnya) antara seorang individu dengan individu yang lain.
Sebagai contohnya :- Tuntutan supaya membersihkan diri (زكاة النفس ) adalah lebih rendah bagi seseorang yang mempunyai fitrah yang baik (صالح الفطرة) jika dibandingkan dengan seseorang yang mempunyai penyakit-penyakit jiwa.
Apa yang dituntut daripada pekerja biasa (عامل بسيط) lebih sedikit daripada apa yang dituntut daripada seorang peniaga kaya dan yang mempunyai pengaruh yang luas.
Apa yang dituntut terhadap manusia di dalam sesuatu biah (suasana) adalah berbeza dengan apa yang dituntut terhadap manusia yang berada di dalam sesuatu biah (suasana ) yang lain .
Contohnya : Seorang muslim yang hidup dalam suasana bida'ah dan kekufuran dituntut untuk melakukan perkara-perkara yang melindungi dirinya dan ahli keluarganya daripada bida'ah tersebut ( Bentuk Bida'ah dan kekufuran adalah berbeza di antara satu tempat dengan satu tempat yang lainnya ).
Begitu juga apabila berleluasanya syubhah yang menyesatkan , menjadi kewajipan bagi setiap mukallaf untuk melindungi dirinya daripada syubahah ini. Apabila (pada suatu ketika) terdapat ideologi-ideologi yang menyesatkan dan pemikiran-pemikiran yang betul maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk memelihara dirinya daripada ideologi yang menyesatkan dan menjadi sebahagian daripada penyokong pemikiran yang betul.
b. Pembelajaran Takhassusi - supaya ia dapat memberi saham di dalam menyempurnakan satu ilmu daripada ilmu-ilmu yang menjadi fardhu kifayah
Maksud pembelajaran takhassusi ialah seseorang individu muslim itu memilih salah satu daripada ilmu-ilmu yang tergolong di dalam fardhu kifayah untuk dipelajari secara takhassus sehingga ia dapat memenuhi keperluan masyarakat terhadap ilmu tersebut.
Mungkin kita dapat membahagikan ilmu-ilmu yang menjadi fardhu kifayah pada masa ini kepada tiga kategori :
1. Ilmu-ilmu yang diperlukan untuk memastikan berkekalan dan berterusannya agama seperti ilmu Qiraat , ilmu Tajwid' ilmu Tafsir , ilmu Mustalaahul Hadis, ilmu Tauhid , ilmu Feqah ,bahasa Arab dan sebagainya.
2. Ilmu-ilmu yang diperlukan di dalam gerak kerja Dakwah dan 'Amal Islami seperti ilmu Sirah Nabi dan Para Sahabat , ilmu tentang wasilah dan uslub dakwah, ilmu organisasi dakwah dan sebagainya.
3. Ilmu-ilmu yang diperlukan untuk kemaslahatan umat Islam dan negara Islam seperti ilmu Ketenteraan ,ilmu Pendidikan , ilmu segala jenis Perindustrian, ilmu Pertanian, ilmu Pentadbiran dan sebagainya.
Kesimpulannya, target kita dalam pengislahan diri dari aspek Ilmu atau Saqofah ialah ;
i. Melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang menjadi Fardhu Ain.
ii. Memantapkan bidang keilmuan yang menjadi takhassus kita.
2. Dalam Aspek Kerohanian/Hubungan Dengan Allah
Dalam usaha mendekatkan diri dan menguatkan hubungan kita dengan Allah swt. sasaran kita ialah menjadi golongan yang disebut oleh Allah sebagai auliya' Allah (أولياء الله). Golongan ini adalah golongan yang telah mencapai kedudukan/ maqam al-Wilayah (الولاية) yang disebut ciri-ciri mereka oleh Allah dalam ayat ;
"Ingatlah,sesungguhnya orang yang mematuhi Allah mereka tidak merasai takut dan tidak berduka-cita." (Surah Yunus, 62)
"Dan siapa yang dibiarkanNya sesat,tiadalah engkau akan mendapat teman yang menunjukinya ke jalan yang benar". (Surah Al-Kahfi, 17)
Syarat-syarat untuk menjadi golongan ini,seperti mana yang dinyatakan oleh Syeikh Said Hawa dalam kitabnya "إجازة تخصص الدعاة" ialah :
- Meninggalkan dosa besar dan tidak berpanjangan berada di dalam dosa kecil sama ada dosa zahir atau dosa batin.
- Mengerjakan atau melaksanakan perkara-perkara fardhu dan sunat (النوافل) meliputi zahir dan batin.
- Melazimi zikir, sama ada yang fardhu atau yang sunat.Termasuk dalam pengertian zikir ini ialah solat , membaca al Quran,zikir-zikir mutlak (الأذكار المطلقة) serta zikir-zikir dan doa-doa munasabah/sempena tertentu (الدعوات و الأذكار المناسبات).
- Berusaha untuk mencapai hati yang sejahtera dan hati yang mempunyai Nur yang disebut oleh Allah dalam al Quran ;
يوم لا ينفع مال ولا بنون إلا من أتى الله بقلب سليم
Di samping itu, beliau menyatakan;
"kami menasihatkan kepada semua ikhwah, supaya melakukan perkara-perkara di bawah ini untuk sampai kepada kedudukan yang disebut al Wilayah tadi;
Menjaga solat lima waktu dan solat sunat rawatibnya, mendirikan Qiamullail, solat dhuha dan solat-solat sunat yang lain.
Berpuasa Ramadhan dan memperbanyakkan puasa sunat.
Menyempurnakan zakat harta dan zakat fitrah,membanyakkan sedekah memberi makan tetamu dan memuliakannya.
Bermula dengan wirid harian dan menjaganya seperti Istighfar. Salawat , tahlil dan bacaan al Quran tidak kurang daripada tiga rubu' (ربع).
Berzikir dengan zikir mutlak yang warid daripada sunnah seperti ;
سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله و الله أكبر وحسبنا الله ونعم الوكيل ولاحول ولا قوة إلا بالله وسبحان الله وبحمده و سبحان الله العظيم membaca (الوظيفة الكبرى/ الصغرى) yang disusun oleh Imam Hasan al Banna.
Sekiranya tidak mampu membacanya dua kali sehari (iaitu pagi dan petang) maka hendaklah dibaca sekali sehari dan jika masih tidak mampu juga maka hendaklah dibaca seminggu sekali.
Melazimi zikir-zikir dan doa-doa munasabah.
Tidak melupai bahawa menghafal al Quran dan membacanya adalah zikir dan begitu juga ilmu Syariah adalah zikir.Oleh itu,hendaklah mempelajari al Quran, membaca kitab-kitab dan menghadiri halaqah ilmu.
Menghadiri halaqah-halaqah zikir dan tazkirah yang meraikan adab-adab syarak.
Memperbanyakkan pergaulan dengan orang-orang soleh , menziarahi dan berkumpul bersama mereka , memperbanyakkan persaudaraan pada jalan Allah dan menjadikan pergaulan dengan mereka di bawah syiar ;
تعالى نؤمن بربنا ساعة
Target kita dalam usaha pengislahan diri dilihat dari aspek kerohanian/hubungan dengan Allah ialah ;
Berusaha untuk menggolongkan diri di kalangan Auliya' Allah dengan memenuhi sedaya mungkin syarat-syarat yang disebutkan oleh ulama' tadi.
3. Dalam Aspek Kehidupan Material (belanja harian/tempat tinggal/kenderaan)
Seperti mana aspek maknawi manusia (iaitu aqal dan rohani) perlu diislahkan, begitu juga dengan aspek maddi/material manusia iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.
Pengislahan aspek maddi/material ini ialah dengan memperolehi rezki yang halal. Islam sejak awal-awal lagi menuntut manusia khususnya orang-orang beriman supaya berkerja dan berusaha untuk memperolehi rezki yang halal yang dapat mendatangkan kesejahteraan dalam kehidupan mereka. Firman Allah swt ;
"Apabila telah selesai mengerjakan solat , maka bertebaranlah di muka-bumi dan carilah kurniaan Allah" (Surah Al-Jumuah, 10)
"Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala yang diperbuat oleh orang, tidak menyembah Allah yang mencipta segala-galanya, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia, serta bersyukurlah kepadaNya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan. (Surah Al-Ankabut, 17)
Sabda Nabi (s.a.w) yang bermaksud :
"Mencari sumber rezki yang halal adalah suatu kefardhuan."
"Sesungguhnya di antara dosa-dosa, ada dosa-dosa yang tidak dapat dihapuskan oleh ibadat puasa, solat dan sedekah tetapi dihapuskan oleh usaha yang dilakukan untuk menyarai keluarga."
"Sesungguhnya makanan yang terbaik ialah yang diperolehi daripada hasil kerja tangan sendiri."
Dalam memenuhi kewajipan mencari rezki yang halal ini,kita tidak dituntut supaya mengejar kekayaan atau kemewahan walaupun ia adalah harus tetapi memadai sekadar mencapai tahap yang disebut oleh Fuqaha' sebagai "حد الكفاية" iaitu tahap yang mencukupi untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup bagi diri sendiri dan keluarga/orang yang berada di bawah tanggungan kita[2].
Kebiasaannya ,hajat atau keperluan asasi manusia terdiri daripada empat perkara ;
1. Makanan
2. Pakaian
3. Air
4. Tempat berlindung.
"Lalu kami berkata:Hai Adam!,Sesungguhnya iblis ini adalah musuh engkau dan musuh isteri engkau.Sebab itu janganlah dibiarkan dia sampai mengeluarkan engkau berdua dari syurga,nanti engkau menjadi celaka.Sesungguhnya di situ engkau tidak akan merasa lapar dan tiada pula bertelanjang.Dan sesungguhnya di situ engkau tiada akan merasa dan tiada merasakan panas matahari". (Surah Taha, 117 - 119)
"Siapa yang menghadapi waktu pagi dalam keadaan merasai keselamatan keluarga dan hartanya,sihat tubuh-badannya dan memiliki makanan hariannya maka seolah-olah dihimpunkan baginya dunia dengan segala penjurunya".
Allah swt tidak hanya memerintahkan manusia supaya berusaha dan berkerja tetapi juga menyediakan bagi mereka lapangan pencarian rezki yang luas di mana bidang-bidang yang boleh diceburi oleh mereka untuk mencari kurniaan/rezeki Allah swt adalah banyak dan pelbagai.
Bergantung kepada manusialah untuk memilih mana satu bidang pencarian yang ia sukai mengikut kecenderungan dan kemampuannya asalkan bidang tersebut tidak bercanggah dengan ketentuan Syara'.
"Dan dijadikan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya,(kurniaan) dari Tuhan". (Surah Al-Jaathiyah, 13)
"Sesungguhnya telah kami teguhkan kekuasaanmu di bumi ini,dan Kami jadikan di sana lapangan penghidupanmu". (Surah Al-A'raf, 10)
Oleh kerana bidang pencarian rezki ini luas,maka seharusnyalah bagi kita untuk memikirkan apakah bidang yang akan kita ceburi pada masa depan sebagai sumber rezki yang halal sesuai dengan kemampuan. Suasana , kecenderungan dan kemahiran yang ada pada kita.
Setelah target-target khusus ini dilakarkan, tugas kita seterusnya ialah berfikir dan bertindak untuk merealisasikannya.
~ Bersambung ~
Biodata Kolumnis
Ustaz Nasrudin Hassan merupakan graduan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau kini merupakan Pengarah Akademi Ar-Rasyidin yang berpusat di Kuantan, Pahang. Blog episodeperjuangan.blogspot.com menjadi medium untuk beliau menulis di alam maya.
No comments:
Post a Comment