PELUMBA pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh mencipta kejutan pada peringkat pertama Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 semalam.
Pada perlumbaan sejauh 94.3 kilometer dari Dataran Lang ke pekan Kuah itu, pelumba kelahiran Terengganu ini berjaya menduduki tangga ketiga selepas mencatat masa 2 jam 03 minit 28 saat.
Tempat pertama dan kedua masing-masing menjadi milik pelumba pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini dan pelumba skuad kebangsaan Korea Selatan, Park Sungbaek yang turut merakamkan catatan masa yang sama.
Harrif mengakui, dia cukup gembira dan teruja dengan kejayaan menaiki podium pada perlumbaan pembuka tirai itu.
"Saya seperti tidak percaya kerana dapat menamatkan perlumbaan hari ini (semalam) di tempat ketiga. Saya sudah cuba sedaya mungkin untuk berada dalam kelompok hadapan sehingga ke garisan penamat.
"Ini saja yang mampu saya lakukan dan saya cukup gembira dengan kejayaan menduduki tempat ketiga keseluruhan pada peringkat pertama LTdL 2011," jelas Harrif pada sidang media selepas tamat perlumbaan semalam.
Harrif yang beraksi buat kali kedua pada kejohanan berprestij di Asia itu menambah, kejayaan yang diraih semalam tidak akan tercapai sekiranya dia tidak mendapat bantuan daripada Anuar Manan.
"Saya mahu berterima kasih kepada Anuar dan juga rakan-rakan sepasukan yang lain kerana strategi kami hari ini (semalam) berhasil.
"Ketika zon pecut, saya membantu Anuar untuk mengutip mata dan ketika menuju ke garisan penamat, saya telah berpakat dengan Anuar dan dia membuka ruang kepada saya untuk memecut hingga garisan penamat," katanya.
Namun, di sebalik keceriaan yang terpancar di wajah Harrif, lain pula reaksi yang dijelmakan Anuar.
Anuar agak kecewa selepas mendapati dia gagal menyarung Jersi Biru (Raja Pecut) pada perlumbaan peringkat pertama meskipun berjaya mengutip 14 mata, satu mata di belakang Guardini.
Bagaimanapun, Anuar berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya yang lain akan merangka strategi baru bagi menghadapi perlumbaan peringkat kedua dari Kangar ke Butterworth sejauh 145.4 kilometer hari ini.
Pada masa yang sama, Guardini, 20, dari Itali berkata, kejayaan muncul juara peringkat pertama telah menambah keyakinannya untuk terus mempertahankan Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan.
"Saya gembira kerana percaturan pasukan kami menjadi sehingga membolehkan saya memenangi perlumbaan hari ini (semalam). Kejayaan memenangi Jersi Kuning dan Jersi Biru memberikan suntikan semangat kepada saya bagi menghadapi perlumbaan seterusnya.
"Namun, saya akui misi untuk mempertahankan Jersi Kuning agak mencabar apabila bermulanya peringkat keempat (dari Ayer Tawar ke Cameron Highlands) dan kelima (dari Tapah ke Genting Highlands) nanti," jelas Guardini.
Sementara itu, Jersi Putih (pelumba Asia terbaik) menjadi milik Sungbaek manakala Jersi Merah (Raja Bukit) pula berada dalam genggaman pelumba pasukan Skil Shimano Cycling Team, Koen de Kort.-kosmo
No comments:
Post a Comment