Thursday, January 6, 2011

Seorang Pemimpin Ulama'


Sebelum ini, aku sebenarnya tidak pernah bertemu dengan Tuan Guru Haji Hadi Awang. Tidak juga pernah berimpian untuk bertemu dengan beliau. Dan tidak juga selalu mengikuti perkembangan tentang beliau dan PAS secara langsung. Yang aku tahu, terdapat juga mereka-mereka yang mencemuh Tuan Guru Haji Hadi dalam pelbagai cara dan tentang pelbagai isu. Dalam entri ini aku nak berkongsi tentang bagaimana 'Diskusi: Politik Islam & PAS' dapat diadakan di Warwick University pada 29 Disember 2010.

Aku baru sahaja balik daripada FUIYO 2010, di Waddow Hall, Clithroe dan singgah di Manchester beberapa hari yang lepas pada 26 Disember. Dan aku berkesempatan untuk menyertai ucapan perasmian PRC (Pas Representative Council UK & Ireland) oleh Tuan Guru Haji Hadi di Manchester Conference Centre. Selesai ucapan itu, aku terfikir, bagus juga kalau dapat bawa Tuan Guru ke Warwick kerana daripada ucapannya di Manchester itu, aku rasa banyak ilmu yang beliau sampaikan. Lalu aku bertanyakan wakil beliau untuk menjemput Tuan Guru ke Warwick. Malam itu aku terima satu mesej, dikatakan Tuan Guru sudi untuk ke Warwick. Tetapi hanya boleh antara Selasa dan Rabu sahaja kerana Tuan Guru sudah mahu balik ke Malaysia pada hari Khamis untuk membantu kempen PAS di Pilihanraya Kecil Tenang.

Jadi, pendek kata aku setuju untuk mengaturkan diskusi bersama beliau pada hari Rabu, 29 Disember. Disebabkan masa yang singkat dan jemputan yang ad-hoc aku gagal untuk dapatkan bilik kuliah yang sesuai untuk diskusi tersebut. Kawan aku pesan, nak buat event untuk Tuan Guru biarlah elok sedikit. Beliau kan Presiden PAS, antara calon Perdana Menteri sekiranya PR (Pakatan Rakyat) menang PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang. Aku usaha untuk mendapatkan bilik, tetapi tidak berjaya kerana pejabat universiti tutup sempena tahun baru. Bilik-bilik kuliah lain pun sudah penuh kerana ada Jew Conference di sekitar Warwick University. Maka hanya dapat buat di Prayer Hall.

Berkaitan dengan promosi, sekadar promosi menggunakan Facebook sahaja. Buat poster dan tag beramai-ramai. Seterusnya bergantung kepada buah mulut rakan-rakan. Aku jangkakan dalam 30 orang yang akan hadir untuk ceramah ini. Lalu, satu kali itu aku menelefon wakil Tuan Guru dan berterus-terang, "Oleh kerana agak ad-hoc, saya hanya dapat Prayer Hall sebagai tempat. Tidak ada mic, LCD projektor dan sebagainya. Jemputan pula saya anggarkan dalam 30 orang." Lalu aku diberitahu, tidak mengapa, Tuan Guru tidak kisah. Kalau beberapa orang pun beliau tidak kisah. Lalu aku terfikir, betapa mudahnya untuk menjemput seorang ulama' untuk diskusi bersama pelajar. Bukan calang-calang orang pula tu, antara ulama' besar dunia.

Seterusnya aku bayangkan, kalaulah yang nak datang ni Menteri di kabinet Malaysia dan aku hanya dapat buat aktiviti itu di Prayer Hall; anggaran dalam 30 orang. Tidak boleh aku bayangkan apa kata menteri itu nanti. Sebab selalunya kalau aktiviti untuk menteri, mestilah 'grand', mesti ramai. Jika tidak ramai pun, buat di hotel atau bilik kuliah yang lebih sesuai dan sebagainya.

Kami di Warwick pun pernah diberitahu oleh seorang pemimpin organisasi Malaysia di UK yang beliau ingin anjurkan aktiviti di Warwick. Lalu kami membuatkan proposal, menyiapkan aturan aktiviti dan segalanya. Hanya ingin mendapatkan 'Yes' daripada pemimpin itu sahaja. Selepas menghantar proposal tersebut kepada beliau, beliau kata "I'll contact you guys later about this."

Lalu tunggu punya tunggu, sampai 10 minggu tidak ada berita langsung. Pelik. Yang nak buat aktiviti itu beliau sendiri. Siap proposal semuanya, hilang tanpa berita. Jadi disini aku boleh lihat dan buat kesimpulan sendiri, betapa berbezanya individu-individu berdasarkan dengan pegangan mereka. Ramai antara pemimpin yang apabila jadi pemimpin mereka merasakan mereka besar dan hebat walhal jika menurut Islam, memimpin itu adalah satu tanggungjawab dan bukannya kemegahan.

Aku cuma ingin berkongsi pengalaman menganjurkan sesi diskusi untuk Presiden PAS yang sangat merendah diri dan bersifat redha. Sebenarnya aku amat risau tentang aktiviti yang baru lepas ini. Aku risau takut ada yang tidak bersetuju dengan tempat program di Prayer Hall. Aku risau takut tidak ramai orang yang datang. Aku risau takut tidak habis tepat masanya. Tetapi Alhamdulillah, hampir 60 orang hadir dan 40 orang tonton secara langsung di Ustream. Diskusi habis tepat-tepat jam 9.30pm dan tiada masalah dengan tempat program. Alhamdulillah kerana semuanya mendapat kemudahan daripada Allah S.W.T.

InsyaAllah pada masa akan datang, lebih banyak aktiviti akan dibuat di Warwick. Mudah-mudahan mendapat kemudahan dan dapat dilaksanakan untuk manfaat semua.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Faiez Ali merupakan seorang pelajar tahun dua jurusan TESL di Warwick University UK di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Beliau merupakan salah seorang AJK Projek Kalsom ke-17 2010/2011. Beliau juga berkongsi pengalaman dan pendapat di blog beliau: Reverie Malaya.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails