Soalan; Ustaz, saya ada beberapa kemusykilan .
2. Saya ada terbaca kisah wali2 melayu .
* Tokku Paloh pernah menjadi makmum kpd Nabi Khidir A.S .
* Syeikh Habib Nuh pernah bermesyuarat brsama para wali2 yg lain di alam
syahadat yg turut dihadiri oleh baginda Muhammad SAW .
Saya jadi konfius la . Ustaz boleh explain kesasihan cerita ini . Adakah sama
seperti kisah para2 nabi yg turun mnjadi makmum kpd nabi Muhammad SAW sewaktu
peristiwa isra' wal mikraj ?
Jazakallah hu khairan kasiro
Jawapan
Sudah tentu tidak sama. Kisah Nabi-Nabi lain menjadi makmum di belakang Nabi Muhammad -sallallahu alaihi wasallam- ketika Mikraj, kisah tersebut sabit dari hadis Soheh, yakni ia diceritakan oleh Nabi sendiri dalam hadisnya.[1] Nabi tidak bercakap dari hawa nafsunya atau dari rekaannya, akan tetapi apa yang beliau katakan datang dari wahyu sebagaimana firman Allah; "Dan tidaklah Muhammad bertutur dari hawa nafsunya. Tidaklah yang ia tuturkan melainkan wahyu yang diwahyukan (kepadanya)" (Surah an-Najm, ayat 3-4). Menolak hadis soheh adalah berdosa.
Adapun cerita-cerita tadi ia datang dari sumber manusia. Manusia lain selain Nabi, harus diterima dan ditolak cerita dan perkhabaran mereka. Kita tidak berdosa jika kita menolak cerita-cerita tersebut (yakni memilih untuk tidak mempercayainya). Bagi orang-orang Melayu, ukuran wali bagi mereka ialah dengan berlakunya peristiwa-peristiwa pelik kepada seseorang. Namun jika kita merujuk kepada al-Quran dan melihat pengertian wali di sisi Allah; wali Allah tidak lain adalah manusia-manusia yang beriman kepada Allah, beramal soleh, taat kepadaNya, bertakwa kepadaNya dan mempertahankan agamaNya. Perhatikan ayat dan hadis di bawah;
"Ketahuilah bahawasanya wali-wali Allah tiada kebimbangan ke atas mereka dan mereka tiada berasa sedih. Mereka ialah orang-orang beriman dan sentiasa bertakwa". (Surah Yunus, ayat 62-63).
Jelas di dalam ayat ini bahawa wali mengikut pengertian Allah ialah orang yang beriman dan bertakwa. Berkata Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya; "Sesiapa bertakwa kepada Allah, dia adalah wali Allah" (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir).
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda; bahawa Allah berfirman (hadis Qudsi); "Sesiapa menentang waliku, sesungguhnya aku istiharkan perang terhadapnya. Tidak ada suatu amalan yang hambaKu lakukan untuk mendekatkan dirinya kepadaKu yang paling Aku sukai dari apa yang aku fadhukan ke atasnya. Dan berterusan hambaKu mendekatkan dirinya denganKu dengan melakukan amalan-amalan yang sunat hinggalah Aku kasih kepadanya. Apabila Aku telah mengasihinya, Akulah (yang akan menjaga dan memberi taufik) pendengaran yang mana ia mendengar dengannya, penglihatan yang mana ia melihat dengannya, tangan yang mana ia menyentuh dengannya dan kaki yang mana ia berjalan dengannya. Jika ia meminta kepadaKu pasti aku memberinya. Jika ia memohon perlindungan dariKu, pasti aku melindunginya" (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah).
Di dalam hadis di atas dinyatakan akibat orang yang menentang wali Allah iaitu mereka akan dibalas oleh Allah. Kemudian Allah menjelaskan siapa walinya atau bagaimana untuk menjadi walinya, iaitulah dengan melakukan dua perkara;
1. Dengan melaksanakan semua kefardhuan yang ditetapkam Allah
2. Dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat
Dengan melakukan kedua-dua perkara tersebut, seorang manusia akan dikasihi Allah dan menjadi wali Allah.
Tidak dinafikan harus berlaku karamah kepada wali-wali Allah. Namun karamah bukanlah asas kewalian. Asas kewalian ialah ciri-ciri yang disebutkan oleh al-Quran dan Hadis di atas. Adapun karamah ia adalah sampingan sahaja bagi para wali bila dikehendaki Allah untuk berlaku kepada mereka. Oleh kerana pada zaman hari ini ramai orang mendakwa karamah itu dan ini, kita yang mendengarnya hendaklah pandai menilai menggunakan neraca wahyu dan aqli yang ada pada kita. Namun jika kita memilih untuk tidak mempercayainya, tidaklah ada sesiapa boleh menganggap kita sesat atau berdosa kerana tidak mempercayai cerita-cerita yang didakwa karamah itu kerana ia bukanlah datang dari wahyu Allah (yakni al-Quran atau as-Sunnah).
Wallahu a'lam.
Nota hujung;
[1] Lihat: Soheh Muslim (kitab al-Iman, bab Zikr al-Masih ibn Maryam wa al-Masih ad-Dajjal, hadis dari Abu Hurairah), Musnad Imam Ahmad (Musnad Abdullah bin Abbas), Fathul-Bari (juz 11, bab al-Mi'raj), Tafsir at-Thabari (Surah al-Isra', ayat 1).
Wednesday, January 12, 2011
CERITA KARAMAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
salam perjuangan akhi,
ReplyDeletemoga Allah permudhkn segala urusan..
teruskn menyebar maklumat,
moga bermanfaat buat ummat manusia..
Amin (",)