Saturday, January 8, 2011

JUBAH AKATSUKI



Soalan; Ustaz, saya ada beberapa kemusykilan.
1 . Satu jubah ni diadaptasi dari anime. Jubah itu mempunyai gambar awan. Sedang jubah itu digunakan utk operasi menyembah jin. Wajarkah jubah itu digunakan didalam solat mahupun diluar solat? Ustaz boleh taip pada images "jubah akatsuki".
Jawapan;

Jika benar sebagaimana yang saudara katakan iaitu jubah itu dipakai oleh orang yang menjalankan upacara menyembah jin –dengan stail dan corak yang sama atau hampir sama-, tidak haruslah orang Islam memakainya –dalam solat atau diluar solat- berdalilkan hadis Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

من تشبَّه بقومٍ فهو منهم
“Sesiapa meniru satu kaum/golongan, ia dari kalangan mereka” (HR Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Berkata Imam Ibnu Hajar; sanadnya adalah hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier dan Syarahnya (Faidhul-Qadier), hadis no. 8593).

Berkata Imam al-Qurthubi; “Jika suatu pakaian telah khusus (menjadi identiti) orang-orang fasik dan orang-orang tidak berakhlak, dilarang orang lain selain mereka untuk memakainya kerana orang yang tidak mengenalinya akan menyangka ia (yakni si pemakai itu) adalah sebahagian dari mereka. Maka timbullah sangkaan buruk terhadapnya yang menyebabkan berdosa kedua-dua mereka iaitu orang yang menaruh sangkaan buruk dan orang yang menjadi sasaran sangkaan (kerana ia menjadi penyebab kepada sangkaan buruk itu)”. (Faidhul-Qadier, hadis no. 8593).

Saya telah melihat pakaian yang saudara maksudkan dalam internet. Pada zahirnya pakaian itu kelihatan tiada sebarang lambang atau corak yang menyalahi Syarak. Namun jika benar dakwaan saudara bahawa ia dipakai oleh golongan yang menyembah jin, tidak selayaknya ia dipakai oleh orang beriman. Adapun jika dakwaan itu tidak benar, ia kembali kepada hukum asal bagi perkara-perkara keduniaan dalam Islam (termasuk pakaian) iaitu harus. Kaedah Fiqh yang diamalkan oleh para ulamak menyebutkan; “Asal pada setiap perkara adalah harus selama tidak ada dalil Syarak yang melarangnya”.

Wallahu a’lam.

1 comment:

  1. akatsuki? akatsuki tidak menyembah jin, mereka hanya kumpul makhluk2 (jinchuuriki) untuk membuat dunia yang baru

    ReplyDelete

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails