Friday, January 28, 2011

ZAKAT KWSP



Soalan; assalamualaikum, ustaz..sekiranya kita mengeluarkan wang daripada KWSP ,adakah wang tersebut terus di zakatkan atau tunggu sehingga cukup haul..Harap ustaz terangkan..Terima Kasih...

Jawapan;

Di antara syarat wajib zakat ialah harta yang kita miliki adalah milik sempurna. Maksud milik sempurna ialah pemilik harta berkuasa ke atas harta yang wajib dizakati di mana ia boleh menggunakan harta itu dengan kehendaknya tanpa terikat dengan kebenaran dari orang lain.[1] Ada sebahagian ulamak mensyaratkan juga hendaklah harta yang dimiliki itu berada di dalam tangan pemiliknya, barulah dikatakan milik sempurna dan wajib dizakati.[2]

Melihat kepada wang KWSP, walaupun wang itu adalah milik kita namun tidaklah kita boleh menggunakannya kerana ia berada di dalam simpanan orang lain dan kita terhalang dari menggunakannya melainkan setelah wang itu diserahkan kepada kita. Ia menyamai situasi di mana wang kita dihutangi oleh orang lain. Jumhur ulamak membahagikan hutang kepada dua jenis;[3]

i. Hutang yang dapat diharap pelunasannya. Hutang jenis ini hendaklah dizakati pada setiap tahun bersama harta yang lain (jika mencukupi nisabnya).

ii. Hutang yang tidak dapat diharap perlunasannya. Hutang dari jenis ini tidak wajib dikeluarkan zakat kecuali apabila orang yang berhutang melunasinya, maka wajib dikeluarkan zakat sebaik sahaja hutang itu berada dalam tangan tanpa perlu menunggu genap haul (yakni cukup tempoh dimiliki) dan begitu juga, tidak dituntut mengqadha bayaran bagi tahun-tahun yang lepas.[4]

Melihat ciri-ciri yang ada pada wang KWSP, maka ia menyamai jenis hutang yang kedua di atas. Oleh demikian, ia tidak wajib kita keluarkan zakat melainkan apabila wang itu telah kita terima. Sebaik sahaja menerimanya, hendaklah dikeluarkan zakat jika jumlahnya mencapai nisab (iaitu nilai semasa 85 gram emas). Kadar yang wajib dikeluarkan ialah 2.5% (yakni atas RM1000 dikeluarkan sebanyak RM25). Tidak perlu diqadha zakat untuk tahun-tahun yang lalu (sebelum kita menerima wang tersebut) kerana ia tidak berada dalam pemilikan kita. Adapun untuk tahun-tahun mendatang (yakni selepas kita menerima wang), jika jumlah yang tinggal masih mencapai nisab tadi, wajiblah kita mengeluarkan lagi zakat apabila genap setahun kita miliki.

Wallahu a'lam.

Nota hujung;

[1] Berdasarkan takrifan al-Milk oleh al-Kamal ibn al-Humam (lihat; Fiqh az-Zakah, 1/148).
[2] Iaitulah ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie mereka tidak mensyaratkan harta yang dimiliki berada dalam tangan pemiliknya. Memadai harta itu miliknya untuk diwajibkan zakat ke atasnya jika cukup nisab dan syarat-syarat yang lain sekalipun harta tersebut tidak berada dalam tangannya. Kesan khilaf dapat dilihat dalam masalah Mal al-Ghimar (مال الغمار) iaitu harta yang pemiliknya tidak dapat mengambil manfaat darinya kerana tidak berada dalam tangannya –walaupun harta itu secara sah diakui haknya- seperti; hutang yang diengkari dan pemiliknya tidak mempunyai saksi (untuk mensabitkan haknya ke atas orang yang berhutang) sedang tempoh haul telah pun sampai. Dalam hal ini, mazhab Hanafi berpandangan tidak wajib zakat kerana pemilikan tidak sempurna disebabkan harta itu tidak berada dalam tangan pemiliknya. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie berpandangan ia tetap diwajibkan zakat kerana mereka tidak mensyaratkan hal tersebut bagi pemilikan penuh. (Lihat; Al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, 1/354).


[3] Fiqh az-Zakah, 1/155-156.
[4] Fiqh az-Zakah, 1/157.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails