Soalan; Adakah wajib bagi seseorang pengawal keselamatan yang menjaga sesuatu premis menunaikan sembahyang jumaat? Ini kerana jika premis tersebut ditinggalkan tidak berjaga, terdapat kemungkinan ianya diceroboh dan berlakunya kecurian harta benda.
Jawapan;
Solat jumaat adalah wajib dengan nas al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud); "Wahai orang-orang beriman! Apabila diseru azan untuk mengerjakan solat pada hari jumaat, maka segeralah (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah urusan jual-beli (pada saat itu). Yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)" (Surah al-Jumuah, ayat 9). Sabda Nabi; "Hendaklah orang-orang yang meninggalkan solat jumaat berhenti dari perbuatan mereka itu atau jika tidak, Allah akan menutup hati-hati mereka hingga akhirnya mereka akan tergolong dari kalangan orang-orang yang lalai" (HR Imam Muslim dari Ibnu 'Abbas).
Oleh itu tidak harus orang-orang yang diwajibkan ke atas mereka solat jumaat meninggalkannya dengan sengaja, iaitulah orang-orang yang ada padanya syarat-syarat berikut;
1. Lelaki; solat jumaat tidak wajib ke atas wanita
2. Telah baligh
3. Tidak sakit atau menghadapi halangan lain untuk menghadiri solat berjamaah di masjid.
4. Mukim (tinggal menetap); yakni bukan dalam musafir.
(Mughni Muhtaj, Syeikh al-Khatib as-Syirbini, bab Solat al-Jum'at)
Kesibukan kerja tidak boleh menjadi alasan untuk meninggalkan solat jumaat. Di dalam ayat di atas Allah menyebut "....dan tinggalkanlah urusan jual-beli" menunjukkan bahawa aktiviti mencari rezki dan keuntungan tidak harus menjadi alasan untuk tidak hadir solat jumaat. Majikan yang mengarahkan pekerjanya untuk tetap berkerja ketika solat jumaat semata-mata untuk mengekalkan produktiviti atau keuntungan, ia berdosa kepada Allah kerana menghalang hamba Allah menunaikan kewajipan ibadahnya dan para pekerja pula tidak harus mentaati arahan majikan sebegitu kerana Nabi bersabda "Tidak harus taat kepada makhluk dalam perkara yang maksiat kepada khalik (Tuhan pencipta)" (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari 'Imran dan al-Hakam bin Amru al-Ghifari).
Dikecualikan jika suatu kerja atau tugas itu membabitkan kepentingan awam atau menjaga kemaslahatan/kepentingan yang tidak dapat dielakkan (dari menjaga dan memerhatikannya sepanjang masa termasuk ketika waktu jumaat), haruslah orang terbabit meninggalkan jumaat kerana berlaku keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Firman Allah; "Bertakwalah kamu kepada Allah (dengan melaksanakan perintahNya) dengan apa yang terdaya kamu lakukan" (Surah at-Taghabun, ayat 16). Mereka seperti;
1. Anggota polis, bomba atau pasukan keselamatan yang terpaksa bertugas untuk menjaga kepentingan awam atau terdapat kes-kes tertentu yang perlu ditangani yang berbetulan dengan waktu jumaat.
2. Doktor di bahagian kecemasan atau di bilik pembedahan
3. Jurutera yang menyelia mesin yang terpaksa beroperasi 24 jam dan tiba gilirannya bertugas berbetulan waktu jumaat.
4. Pengawal keselamatan yang bertugas mengawal premis yang terpaksa dijaga 24 jam untuk mengelak dari diceroboh, kecurian atau sebagainya.
Mereka hendaklah menggantikan jumaat mereka dengan solat zohor dan seboleh-bolehnya solat zohor itu dilakukan secara berjamaah.
Majlis Fatwa Arab Saudi, apabila ditanya berkenaan doktor-doktor yang bertugas di hospital/klinik yang beroperasi 24 jam secara bergantian, haruskah doktor yang bertugas berbetulan dengan waktu jumaat meninggalkan solat jumaat? Jawapan yang diberikan;
"Doktor tersebut melaksanakan satu urusan yang besar untuk manfaat orang-orang Islam dan jika ia keluar untuk solat Jumaat akan menimbulkan bahaya yang besar, maka tidak berdosa untuk ia meninggalkan solat Jumaat. Ia hendaklah menggantikan solat Jumaat itu dengan mengerjakan solat Zohor pada waktunya dan jika boleh menunaikannya berjamaah, wajiblah ditunaikan secara berjamaah (*Ulamak-ulamak Arab Saudi berpandangan; solat berjamaah bagi solat fardhu adalah wajib). Keharusan meninggalkan jumaat tersebut berdalilkan firman Allah (bermaksud); "Bertakwalah kamu kepada Allah (dengan melaksanakan perintahNya) dengan apa yang terdaya kamu lakukan" (Surah at-Taghabun, ayat 16). (Fatwa al-Lujnah ad-Daimah, al- Majmu'ah 1; 8/191).
Begitu juga, apabila ditanya berkenaan; Seorang pemilik stesyen minyak yang berada agak jauh dari bandar, adakah harus ia mengambil seorang pengawal keselamatan untuk mengawasi stesyen minyaknya ketika solat jumaat memandangkan stesyen tersebut pernah berlaku kebakaran dan kecurian sebelum ini? Jawapan yang diberikan;
"Jika benar wujud kebimbangan sebagaimana yang disebutkan, haruslah bagi pengawal tersebut untuk meninggalkan solat Jumaat dan menggantinya dengan solat zohor untuk membolehkannya mengawasi apa yang disebutkan. Keharusan ini berdalilkan dalil-dalil Syariat yang memberi keharusan untuk meninggalkan solat Jumaat jika wujud keuzuran seumpama itu" (Fatwa al-Lujnah ad-Daimah, al- Majmu'ah 1; 8/193).
Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid dalam fatwanya memberi garis panduan yang lebih jelas bentuk kerja atau tugas yang boleh menjadi keuzuran untuk meninggalkan jumaat dan yang tidak boleh menjadi keuzuran. Beliau menjelaskan;
1. Jika akan menyebabkan kemusnahan kepada kepentingan awam atau kepentingan khusus seperti akan berlaku kecurian harta, kebakaran, kerosakan atau timbulnya suatu mudarat dengan hadirnya orang yang ditugaskan menjaga atau mengendali kepentingan tersebut ke solat jumaat, haruslah ia meninggalkan solat Jumaat dan ia hendaklah menggantinya dengan solat zohor.
2. Adapun jika sebab ia ingin meninggalkan solat Jumaat adalah kerana ingin mengejar tambahan untung, meningkatkan produktiviti, untuk mengekalkan jawatan, kenaikan pangkat, takut kehilangan kerja atau sebagainya dari manfaat-manfaat duniawi, sebab tersebut tidaklah mengharuskannya untuk meninggalkan solat jumaat.
(Laman as-Sual wa al-Jawab (islamqa.com), fatwa no. 36530).
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment