1. Saat dunia dan seluruh tokohnya bersidang serata dunia mencari formula penyelesaian terhadap konflik yang mencetus huru hara kepada dunia serta penghuninya, saya sangat kesal dengan sikap Lee Kuan Yew yang telah menyemarakkan lagi semangat dendam kesumat dan permusuhan yang tebal terhadap Islam dan ummatnya dengan prasangka - prasangka negatif tanpa berasaskan maklumat tepat mengenai Islam yang sebenar.
2. Buku terbarunya Hard Truths to Keep Singapore Going menampilkan pemikiran Lee Kuan Yew yang telah luput tarikh dan zaman apabila beliau mengaitkan Islam sebagai halangan kepada untuk mewujudkan integrasi kaum dan pembangunan di negaranya.
3. Saya melihat zaman kegemilangan Lee Kuan Yew telah berakhir apabila beliau selaku tokoh negarawan besar Asia bahkan dunia telah mula berfikir seperti pejuang militan yang rasis dan mengalami penyakit Islamophobia yang parah . Biarpun beliau begitu lama hidup dekat dengan komuniti ummat Islam, ternyata beliau masih gagal melihat secara positif bagaimana Islam dan ummatnya menjalani kehidupan dan menyertai politik mahupun ekonomi.
4. Tokoh sebijak Lee Kuan Yew sepatutnya tidak tergesa - gesa membuat kesimpulan mengenai Islam yang mungkin dilihat melalui kacamata yang salah dan serong tanpa terlebih dahulu merujuk kepada tokoh - tokoh ulama' Islam sebagai pihak yang berauthoriti untuk menjelaskan kedudukan Islam dan ummatnya secara tepat dan benar.
5. Lee Kuan Yew selayaknya menyedari bahawa penghalang sebenar kepada keharmonian kaum sehingga mencetus sentimen perkauman yang melampau malah mendorong berlakunya jenayah adalah hasil dari penolakan agama Islam atau salah faham yang serius terhadap agama Islam.
6. Justeru Islam adalah agama yang sangat toleransi kaum dan menghubungkan silaturrahim. Definisi mudah mengenai ajaran Islam ini boleh difahami dari kenyataan Duta Besar Islam ke Habsyah Saiyyidina Jaafar bin Abi Talib dihadapan Raja Najasyi :
Wahai Raja, kami dahulunya orang - orang Jahiliyyah. Kami menyembah berhala, memakan bangkai, melakukan kekejian [ zina ], memutuskan ikatan kekeluargaan, jahat terhadap jiran dan orang yang kuat dari kalangan kami akan menindas orang yang lemah. kami terus dalam keadaan begitu, sehingga lah Allah membangkitkan kepada kami Rasul dari kalangan kami. Kami kenal titisan keluarganya, sifat benarnya, amanahnya dan bersihnya dari melakukan dosa.
Lalu ia mengajak kami kepada Allah, supaya mengEsakanNya dan menyembahNya, meninggalkan apa yang disembah oleh kami dan nenek moyang kami sebelum ini akan patung - patung dan berhala.
Ia menyuruh kami bercakap benar, menunaikan amanah, menghubungkan tali kekeluargaan, berbaik dengan jiran, meninggalkan perkara yang haram, dan meninggalkan pertumpahan darah. Ia melarang kami dari kekejian [zina], bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh perempuan yang bersih dengan tuduhan zina.
Ia menyuruh kami menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa dengan tidak mempersekutukanNya dengan suatu yang lain. Ia menyuruh kami mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan berpuasa .......
7. Kenyataan diatas jelas menunjukkan bagaimana orientasi ajaran Islam. Berpegang teguh atau komited dengan ajaran ini tidak menjadikan masyarakat berpecah belah apalagi terperangkap dalam permusuhan dan perkauman sempit yang mencetus huru hara. Sebaliknya Islam menganjurkan kebaikan dan persaudaraan.
8. Sayugianya Lee Kuan Yew menyeru ummat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dianuti oleh mereka agar lahirnya sebuah masyarakat yang sejahtera, harmonis dan membangun. Cara Lee Kuan Yew melihat Islam sebagai penghalang tidak ubah seperti musuh - musuh Islam melihat Islam dengan api dendam dan permusuhan yang berpanjangan.
9. Lebih ketara apabila Lee Kuan Yew turut menaruh rasa curiga yang mendalam terhadap negara jirannya seperti Malaysia dan Indonesia sebagai sebuah negara Islam yang akan mengugat kedaulatan negaranya. Cara fikir dan sikap yang diambil oleh Lee Kuan Yew adalah suatu yang berisiko tinggi bagi keselamatan serantau ini. Malah ianya adalah fikiran yang aktif ke arah mencetus konfrantasi laksana gunung berapi yang aktif sedang menanti masa untuk memuntahkan lavanya.
10. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa supaya Lee Kuan Yew lebih banyak mengkaji Islam dan mempelajarinya dari tokoh Islam yang mempunyai authoriti untuk membetulkan persepsi beliau terhadap Islam. [ Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia untuk memberi penjelasan mengenai Islam kepada Lee Kuan Yew andai diberi peluang untuk berbuat demikian ] Jika tidak,reputasi Lee Kuan Yew akan terus menjunam dan beliau semakin tidak popular sebaliknya dunia termasuk rantau ini sedang menumpu ke arah gaya, sikap dan pemikiran pemimpin - pemimpin muda yang dilihat oleh rata - rata penganalisis politik dan sosial sebagai lebih rasional dan efektif.
No comments:
Post a Comment