Friday, April 1, 2011

Hilang tempat berteduh selamanya...




26 Rabiulakhir 1432H.

TOKYO - Sementara jutaan penduduk Tokyo dan negara lain bimbangkan kesan radiasi di dalam air minuman, makanan dan di udara, ribuan penduduk yang tinggal berhampiran loji nuklear Jepun mempunyai kebimbangan lain.

Kebocoran di loji Fukushima Daiichi itu memaksa mereka meninggalkan kediaman masing-masing, mungkin untuk beberapa tahun, dan mungkin juga untuk selama-lamanya.

Lebih 70,000 penduduk yang tinggal dalam lingkungan 20 kilometer dari loji itu telah dipindahkan dan 130,000 lagi yang menetap dalam lingkungan 30 kilometer dinasihatkan supaya sentiasa berada di dalam rumah.

Mereka juga bakal diarah keluar dari rumah masing-masing jika krisis nuklear yang semakin meruncing tidak dapat dikawal dengan baik.

Namun tiada mana-mana pihak, termasuk kerajaan Jepun yang menyentuh isu itu secara terbuka walaupun tanah dan makanan di kawasan itu disahkan tercemar dengan bahan radioaktif.

"Tiada siapa yang berani bercakap mengenai perkara ini secara terbuka, tetapi saya pasti semua orang sedar dan khuatir mereka tidak dapat pulang ke rumah selama beberapa tahun," kata Yoichi Azuma, guru besar sekolah Koriyama yang menjadi pusat perpindahan penduduk Fukushima.

Walaupun beberapa pakar yakin krisis nuklear di Jepun itu tidak seburuk yang dijangka, namun kebocoran bahan radioaktif tetap mengancam nyawa penduduk.

Salah satu bahan radioaktif yang dibebaskan oleh loji Fukushima, sesium-134 adalah paling membimbangkan kerana mampu mencemarkan tanah selama lebih 200 tahun, meningkatkan kemungkinan penduduk yang dipindahkan tidak dapat kembali semula ke rumah mereka.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano turut menyentuh isu itu, Khamis lalu, bahawa kerajaan sedar keperluan sosial penduduk di kawasan loji perlu dipenuhi dalam jangka masa panjang.

"Tetapi kerajaan perlu berhati-hati jika mahu mengarahkan zon perpindahan diperluas supaya tidak mencetuskan panik," katanya.

Sehingga kini, krisis nuklear di Jepun masih belum berakhir malah dilaporkan semakin buruk dan kebanyakan penduduk berlindung di sekolah, pejabat dan bangunan lain, jauh dari pencemaran itu.

"Penduduk berharap dapat pulang ke rumah tetapi mereka khuatir dengan keselamatan diri akibat krisis nuklear ini," menurut pengurusan sekolah Azuma, di mana 150 penduduk yang dipindahkan sedang menumpang berteduh.

Sinar Harian/-

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails