|
|
SEDIH dan kecewa.
Itulah perasaan yang dihadapi jaguh lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang (gambar) selepas kemenangannya dalam acara keirin pada Sukan Komanwel 2010 semalam dibatalkan.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini sepatutnya memenangi pingat emas dalam acara tersebut tetapi tindakan berani yang dilakukannya beberapa meter sebelum sampai ke garisan penamat telah mengundang padah.
Pada aksi di Kompleks Sukan Indira Gandhi, Azizulhasni, 22, berjaya menamatkan saingan di hadapan rakan senegaranya, Josiah Ng.
Begitupun para pegawai perlumbaan mengambil keputusan untuk membatalkan kemenangan Azizulhasni kerana mendapati dia bersalah kerana cuba menghimpit pelumba New Zealand, Simon Van Vel Thooven.
Begitupun, kem lumba basikal Malaysia negara masih boleh menghela nafas lega apabila pingat emas yang terlepas daripada genggaman Azizulhasni secara automatik diberikan kepada Josiah.
Pingat perak dalam acara itu pula dimenangi pelumba England, David Daniell dan pingat gangsa menjadi milik Van Velthooven.
"Sudah tentu saya sedih. Saya telah mengambil tindakan berani untuk mencelah di tengah-tengah pelumba England dan New Zealand untuk memenangi perlumbaan ini.
"Apa yang saya dengar, komisar (pegawai perlumbaan) mendakwa saya menghimpit Simon. Namun berdasarkan maklumat daripada para pegawai Malaysia dan rakan-rakan pelumba lain, saya tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Malah mereka menganggap saya telah melakukan satu tindakan berani yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh pelumba lain.
"Tetapi segala-galanya tidak berbaloi kerana kemenangan saya telah dibatalkan," katanya.
Kegagalan itu menyebabkan Azizulhasni terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk memenangi pingat emas acara keirin pada Sukan Komanwel.
"Ini adalah lumrah perlumbaan. Ada yang menang dan ada yang kalah tetapi saya memperoleh pengajaran yang cukup berguna hari ini (semalam).
"Lain kali, saya akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan terutamanya pada saat-saat yang genting seperti ini," katanya.kosmo
No comments:
Post a Comment