HEBRON, 13 Okt: Tentera Israel menangkap tujuh orang penduduk di daerah Hebron, Isnin lalu termasuk seorang ibu yang baru melahirkan anak dua minggu lepas.
Laman web Haluan Palestin melaporkan Sajida Riziq Muhammad Al-Awawda, 20, seorang pelajar dalam jurusan Syariah ditahan oleh askar Zionis di luar Universiti Hebron pada waktu tengahari.
Palestinian Prisoners’ Society mendesak supaya pihak berkuasa Zionis Israel segera melepaskan Sajida, memandangkan beliau melahirkan anak secara cesarean dan masih lagi memerlukan pemerhatian doktor.
Suaminya, Mahmud Abu Hashem kini masih lagi dalam tahanan di Israel. Bayi mereka yang baru dilahirkan itu kini dijaga oleh neneknya.
Awal pagi pada hari yang sama tentera Israel telah menceroboh masuk kampung Sa’ir dan seterusnya menahan Nizar Hussein Al-Aramin, Raed Saket Jaradat, Jihad Khaled dan Mahdi Jaradat.
Semua mereka ditangkap setelah tentera Zioinis memecah masuk rumah mereka. Seorang lagi yang ditangkap adalah Iyad Al-Allami.
Mereka yang ditangkap telah dibawa ke destinasi yang tidak diketahui.
Tentera Zionis juga turut memusnahkan sebuah telaga sumber air yang dimiliki oleh Wael Al-Rajabi di timur Hebron. Dalam kejadian ini, anak kepada Wael yang berumur 18 tahun turut ditahan oleh tentera Zionis.
Menurut laporan Ma’an News Agency, pihak tentera Zionis tidak melayan sebarang pertanyaan tentang mereka yang ditangkap, sebaliknya mereka menyerahkan urusan tersebut kepada Israel Border Guard, sebuah unit paramilitari polis. (mn/Maan)
harakahdaily
No comments:
Post a Comment