Friday, October 15, 2010

Sukan Komanwel 2010 labuh tirai


SIMBOLIK... Belon gergasi yang berimejkan bendera India dilepaskan pada majlis penutup Sukan Komanwel 2010 di Stadium Jawaharlal Nehru, New Delhi semalam.


SELAMAT tinggal New Delhi dan jumpa lagi di Glasgow 2014.

Slogan itu menutup tirai temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India yang bermula 3 Oktober lalu.

Semalam, secara rasmi temasya yang memasuki edisi ke-19 itu melabuhkan tirainya.

Upacara penutup di Stadium Jawaharlal Nehru itu berlangsung penuh gemilang-gemilang dan berwarna-warni.

Di sebalik pelbagai masalah yang menghantui tuan rumah, terutama dalam isu Perkampungan Sukan serta isu keselamatan, temasya kali ini masih mampu berjalan lancar dan selamat.

Malah kini pujian diberikan kepada pihak penganjur yang berjaya memastikan temasya di New Delhi berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Dalam masa yang sama, kontinjen Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila mencatat pencapaian terbaik pada Sukan Komanwel sejak menyertainya pada 1950 dengan memenangi 12 emas, 10 perak dan 14 gangsa.

Catatan tersebut mengatasi pencapaian terbaik setakat ini iaitu pada 1998 di Kuala Lumpur yang menyaksikan kontinjen negara memenangi 10 emas, 14 perak dan 12 gangsa.

Pada temasya 2006 di Melbourne, Australia, kontinjen Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas, 12 perak dan 10 gangsa.

Semalam, Malaysia menambah empat lagi pingat emas pada hari terakhir saingan iaitu tiga menerusi badminton dan satu daripada gimnastik artistik.

Sementara itu, upacara penutup semalam bermula seawal pukul 2 petang waktu tempatan apabila Stadium Jawaharlal Nehru dibuka kepada orang awam.

Persembahan kebudayaan bertemakan kegemilangan sukan memulakan acara penutup diikuti perbarisan masuk setiap kontinjen ke stadium.

Majlis penutup dirasmikan oleh wakil Ratu Elizabeth, Putera Edward.

Hadir sama ialah Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Michael Fennel, Perdana Menteri India, Manmohan Singh dan Timbalan Presiden India, M. Hamid Ansari.

Upacara penutup diakhiri dengan penyerahan bendera CGF oleh tuan rumah New Delhi kepada penganjuran Sukan Komanwel 2014, bandar raya Glasgow, Scotland.

Bendera CGF diserahkan oleh Ketua Menteri Delhi, Sheila Dikshit kepada wakil tuan rumah Sukan Komanwel 2014, Lord Provost of Glasgow, Robert Winter.

"Tugas sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2014 akan kami laksanakan sebaik mungkin," kata Winter dalam ucapannya semalam.kosmo

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails