1. Negara sedang deras menuju kehancuran dan kebinasaan dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib apabila satu lagi tindakan drastik dalam ETP diambil tanpa melihat kesan jangka panjang kepada negara , rakyat dan tamaddunnya.
2. Setelah Bajet 2011 tempohari menerima kecaman hebat dari semua pihak ekoran langkah kerajaan mengemuka satu strategi kewangan yang tidak banyak memihak kepada rakyat terbanyak, sebaliknya dilihat lebih kepada berlakunya pemusatan kuasa ekonomi dikalangan pihak elit [atasan] dan kroni pemerintah. Ianya termasuklah agihan peruntukan serta anugerah projek.
3. Peruntukan tinggi RM 111 juta kepada PERMATA dan pengisytiharan projek raksasa seperti pembinaan Menara Warisan 100 tingkat antara subjek yang diperkata umum bagaimana Bajet 2011 ini dilihat pincang. Sementelah pula saat negara berdepan dengan kadar hutang RM 362.39 billion [ kadar yang paling tinggi dalam tempoh 5 tahun ] sebagaimana yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang . Lebih tenat apabila indeks rasuah negara masih tersangkut di tangga ke 56 diperingkat antarabangsa.
4. Melalui ETP pula kerajaan yang ditadbir oleh Datuk Seri Najib pula mahu meluaskan industri maksiat dengan menjadikan Malaysia sebagai Hub Hiburan , iaitu menambah kelulusan dan pembinaan pusat - pusat hiburan seperti kelab malam dan melonggarkan syarat bagi persembahan konsert artis antarabangsa ke negara ini .
5. Saya melihat ini adalah satu langkah yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan rakyat sedang ia adalah langkah mundur kebelakang serta dilihat sebagai usaha untuk menjahiliyyahkan negara .
6. Tidak cukup dengan keadaan iklim sosial yang parah mutaakhir ini , kerajaan seperti mahu menularkan barah sosial yang sukar ditangani sekarang . Memacu pertumbuhan ekonomi kononnya tetapi seakan kerajaan mengalami sindrom Rabun Ekonomi untuk melihat lebih jauh kesan kepada ekonomi negara bahkan kesan pada sosial dan tamadun negara dengan menjadikan Malaysia sebagai Hub Hiburan .
7. Pertambahan pusat hiburan dan konsert artis yang sedia ada jelas tidak terkawal dan ia antara penyumbang besar kepada keruntuhan moral dan akhlak generasi kita . Justeru di situlah berpusatnya segala aktiviti mungkar dan gaya hidup yang tidak sihat seperti pergaulan bebas , seks bebas , pil ectasy , khayal , mabuk dan sebagainya . Implikasi dari fenomena ini lahirlah jenayah samun , ragut , rompak , rogol , buang bayi , bunuh dan sebagainya .
8. Akhirnya kerajaan terpaksa pula membelanjakan ratusan juta ringgit untuk mempromosi gaya hidup sihat , menangani penyakit aids dan hiv , kos merawat pesakit , belanja tahanan dan sebagainya . Inilah yang saya sifatkan sebagai economy pumping . Melompat seketika tahap perolehan kasar negara dengan projek Hub Hiburan ini dan kemudiannya ia akan terhentak ke bawah dengan mengeluarkan kos yang banyak untuk menangani kesan langsung dan tidak langsung dari industri nafsu itu sedang ia boleh di elak sejak awal lagi.
9. Lebih malang langkah kerajaan ini dilihat sia - sia kerana membangunkan material kemudiannya meruntuhkan pembangunan modal insan . Sementara negara memerlukan modal insan yang berkualiti untuk meletakkan negara sebaris dengan negara maju pada masa hadapan. Kos membangunkan semula modal insan yang diruntuhkan ini tentu sahaja memerlukan kadar yang tinggi pula . Akhirnya kerajaan hanya buat kerja - kerja bodoh dan sia - sia iaitu korek lubang kemudian timbusnya kembali .
10. Selayaknya kerajaan memiliki acuan sendiri dalam membangunkan negara dan menjana pertumbuhan ekonominya tanpa meniru dan terpengaruh dengan negara - negara barat. Justeru Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi maka wajarlah syariat Islam dijadikan asas dan acuan pembangunan iaitu membangun bersama Islam . Masih banyak sektor dan industri lain yang boleh memacu ekonomi negara ,kenapa industri mungkar juga yang dipilih ?
Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi
Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi
No comments:
Post a Comment