Saturday, January 1, 2011

TAZKIRAH PRU: CIRI DAN PRINSIP NEGARA ISLAM


Ciri dan Prinsip Negara Islam

Muqaddimah
Di antara matlamat utama kejadian manusia ialah untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Allah berfirman kepada malaikat sesungguhnya ِAku ingin menjadikan khalifah yang mentadbir bumi. ( Al Baqarah : 30 )

Ibnu Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah menjelaskan khalifah itu ditafsirkan oleh ulama’ sebagai إقامة الدين وسياسة الدنيا به / menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya ( Agama Islam ).

Peranan khalifah ini telah direalisasikan oleh Nabi SAW dan para Sahabat melalui pembentukkan negara Islam Madinah yang lengkap dengan sistem perlembagaan. Ia diteruskan oleh khalifah-khalifah Islam selepas generasi tersebut meskipun terdapat kelemahan dan kekurangan dalam pelaksanaannya. Islam terus didaulatkan sehinggalah kejatuhan Khilafah Islam Utsmaniyyah Turki pada tahun 1924. Empayar Islam telah difaraidkan oleh penjajah-penjajah manakala hati-hati umat Islam telah diresapi oleh fahaman sekularisme, sehingga mereka akhirnya menganggap Islam hanyalah agama yang bersifat ritual semata-mata.

Alhamdulillah, gerakan Islam bangkit kembali melalui penubuhan harakah Islamiyyah yang bermatlamat mengembalikan khilafah Islamiyyah. Mereka berjuang di negara masing-masing melalui pelbagai uslub dan pendekatan bagi meruntuhkan jahiliyyah dan menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah itu.

PAS adalah salah satu dari harakah Islamiyyah yang berjuang melalui sistem demokrasi berparlimen bagi menegakkan Daulah Islamiyyah.

Kewajipan Meneggakkan Negara Islam

Firman Allah yang bermaksud: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah Al Hajj : 41)

Daripada ayat dalil utama di atas, kita dapat mengambil beberapa ciri yang perlu dilaksanakan apabila kuasa berada pada tangan kita selaku khalifah.

• Mendirikan solat
• Memberi zakat
• Menyuruh perkara kebaikan
• Melarang perkara buruk
• Berserah segala urusan kepada Allah

Pembentukan Negara Islam

Selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah, maka barulah terbentuknya sebuah negara Islam yang bebas untuk mereka mendiami di dalam negara sendiri.

Umat Islam terasa sangat bertuah kerana sistem Islam yang diperkenalkan oleh Baginda adalah sebaik-baik sistem bagi kehidupan manusia.

Baginda Rasulullah telah menggubal sebuah perlembagaan bagi negara Islam yang baru dibentuknya itu berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah yang mempunyai cirri-ciri berikut:

Pertama: Husnu al-Jiwar iaitu hormat-menghormati jiran atau antara satu negara dengan lainnya

Kedua: Al-Ta’awun Dhiddu Al-Udwan iaitu tolong menolong menentang musuh dan permusuhan

Ketiga: Al-Nasr Li al-Mazlum iaitu memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi

Keempat: Al-Nush wa al-Nasihah iaitu saling nasihat menasihati dan sama-sama menunjuk ajar

Kelima: Ihtiram Hurriyyat al-Akidah wa Hurriyyat al-Ibadah Mahma Tabayun al-Adyan iaitu menghormati kebebasan akidah, ibadat, walau apa jua perbezaan di dalam beragama.

Masyarakat Majmuk Di Madinah al-Munawwarah

Penduduk di Madinah al-Munawwarah pada masa itu terdiri daripada masyarakat majmuk yang menganut empat agama yang terbesar:

1.Orang-orang Islam, al-Muslimun
2.Orang-orang Yahudi, al-Yahudiyun
3.Orang-orang Nasrani , al-Nasraniyun
4.Penyembah berhala, al-Wathaniyun

Baginda memberi kebebasan kepada semua agama untuk mendiri serta melaksanakan ajaran agama masing-masing. Ini adalah jelas sebagaimana tercatat di dalam Mithaq al-Hukum atau perlembagaan yang digubal oleh baginda selepas hijrah ke Madinah. Perlembagaan Madinah ini mengandungi sebanyak 47 ceraian.

Di dalam perlembagaan ini telah diletakkan asas bagi negara Islam, maka umat Islam adalah menjadi rakyat di dalam negara Islam walaupun berbeza bangsa dan keturunan mereka.

Kegiatan Negara Islam Madinah

Di antara kegiatan Negara Islam (di Madinah) ialah:

1. Menyusun atur sistem pertahanan.

2. Menjaga keamanan dan keselamatan.

3. Menyediakan berbagai-bagai agensi aturan untuk melaksanakan keadilan kepada seluruh manusia.

4. Menyebar ilmu pengetahuan.

5. Memungut hasil negara (di Baitulmal).

6. Membuat dan mengadakan perjanjian dengan negara asing.

7. Membuat hubungan diplomasi – menghantar dan menerima duta-duta asing.

CIRI-CIRI NEGARA ISLAM
1. Negara berdaulat
Kedaulatan merupakan tonggak utama kepada sesebuah negara. Kedaulatan negara boleh dicapai melalui kesetiaan kepada kepimpinan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang selama mana tidak bercanggah dengan perintah Allah Ta’ala.

2. Agama yang diikuti

Sebagai sebuah negara bertunjangkan agama, kepercayaan kepada Allah Ta’ala Maha Kuasa merupakan ciri utama.

Setiap rakyat seharusnya mentaati agama masing-masing. Kepada penganut Islam, mereka tiada pilihan kecuali menghayati ajaran agama mereka dalam segenap aspek kehidupan.

3. Melaksanakan syariah bagi menjamin lima asas kehidupan:

• Agama
• Nyawa
• Akal
• Maruah dan keturunan
• Hartabenda

Dengan perlaksanaan hukum syariah, semua jenayah yang melibatkan lima perkara asas di atas akan dapat dikawal. Undang-undang ciptaan manusia terbukti gagal memberikan jaminan keselamatan dan kehormatan sebenar.

4. Kesetiaan kepada Negara

Rakyat dituntut memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan negara selagi mana tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Jika pemimpin gagal memikul amanah kepimpinan, rakyat berhak untuk menarik balik ketaatan mereka.

5. Pertanggungjawaban dan ketelusan

Rakyat berhak mempersoalkan ketelusan kepimpinan di semua peringkat. Pemimpin bukan sahaja dipersoalkan oleh rakyat dan institusi Hisbah tetapi juga akan dipersoalkan oleh Allah Ta’ala pada hari Qiamat.

6. Menegakkan makruf dan mencegah mungkar

Prinsip menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran akan dihidupkan dalam masyarakat sehingga menjadi tanggungjawab seluruh warganegara. Seluruh warganegara akan menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Prinsip ini menjadi ciri penting yang membezakan antara sebuah negara Islam tulen dengan negara Islam tiruan.

7. Negara Berkebajikan

Negara Islam sangat mengambil berat kebajikan rakyat dengan para pemimpinnya akan sedia mendengar segala masalah rakyat. Pemimpin adalah ibarat khadam kepada rakyat.

8. Syura Berparlimen dan Raja Berperlembagaan

Negara Islam akan memperkukuhkan amalan Syura Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Malaysia berpaksikan ajaran Islam.

9. Keadilan – al-'Adalah

Keadilan adalah sifat terpuji dan ia adalah salah satu daripada nama-nama Allah yang menjadi neraca Allah dalam alam ciptaan-Nya. Diutuskan pada Rasul dan diwahyukan syariat.

Keadilan dibahagikan kepada beberapa pecahan:

a. Keadilan dari segi hukum

b. Keadilan dari segi kehakiman

c. Keadilan menentukan haq dan tanggungjawab terhadap masyarakat

11. Kebebasan (al-Hurriyyah)

Yakni memberi hak kebebasan kepada rakyat mengikut naluri manusia serta berdasarkan kepada perlembagaan negara seperti:

a. kebebasan menganut agama

b. kebebasan menasihati kepada semua pihak seperti amar ma’ruf nahi mungkar tanpa perbezaan di antara pemimpin dan rakyat

Pemimpin hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada rakyatnya sejauh manakah rakyatnya taat kepada ajaran Islam dan sebaliknya.

12. Persamaan – Al-Musawah

Semua manusia adalah sama di hadapan syariat Allah dalam negara Islam tanpa dibezakan antara yang kaya, miskin, berpangkat, warna kulit dan sebagainya.

13. Al-Syura

Permesyuaratan, dalam mengendalikan urusan duniawi yang mesti ditegakkan dengan agama, manusia berhak memikirkannya sebagai menghadapi perkembangan semasa serta menggunakan kebijaksanaan akal di dalam segala urusan.

14. Ketaatan – al-Ta’ah

Taat kepada Allah secara mutlak dan juga ketaatan kepada pemimpin selagi pemimpin itu taatkan Allah dan Rasul-Nya sebagaimana sabda nabi, maksudnya:

Tidak harus taat kepada makhluk di dalam perkara maksiat terhadap Allah (al-Khaliq)

Abu Bakar pernah menegaskan di dalam ucapan dasarnya selepas dipilih menjadi khalifah dengan katanya yang bermaksud:

"Taatlah kepada aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya , bila aku derhakakan Allah dan RasulNya maka jangan kamu taatkan lagi kepada aku."

PENUTUP

Perjuangan menegakkan Islam adalah satu perjuangan yang panjang dan penuh dengan ujian serta cabaran. Golongan Islam yang tahan, sabar serta yakin kepada janji kemenangan oleh Allah Ta’ala sahaja yang akan sampai ke destinasinya. Ramai para pejuang yang tercicir di pertengahan jalan, malah ada di kalangan mereka yang menjadi pembelot dan menentang perjuangan jamaah yang ingin menegakkan Negara Islam.

shamatun.blogspot

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails