Soalan; Assalamualaikum, Ustaz, Adakah sah mandi hadas dengan "shower"? dengan meratakan air ke seluruh badan sahaja tetapi tidak ade bilangan jirusan. Jika tidak sah, apa yang sepatutnya saya buat. Terima kasih. Hamba Allah yang keliru
Jawapan;
Para ulamak mereka membahagikan perbuatan-perbuatan yang perlu dilakukan di dalam ibadah (solat, puasa, haji, mandi hadas dan sebagainya) kepada dua kategori;
1. Perbuatan-perbuatan rukun
2. Perbuatan-buatan sunat
Perbuatan-perbuatan rukun jika ditinggalkan akan menyebabkan ibadah rosak dan batal. Adapun perbuatan-perbuatan sunat jika ditinggalkan tidaklah menyebabkan ibadah rosak dan batal, akan tetapi akan mengurangkan pahala ibadah.
Bagi mandi hadas/wajib, perbuatan-perbuatan rukun ialah;
1. Berniat mandi hadas
2. Meratakan air ke seluruh badan.
Jika seseorang mandi dengan menyempurnakan dua perkara di atas, sahlah mandi hadasnya. Pertama, ia berniat di dalam hati ketika mandi itu bahawa mandi yang dilakukannya itu adalah bertujuan untuk menghilangkan hadas (bukan mandi biasa). Kedua, ia meratakan air ke seluruh badannya termasuk celah-celah rambut dan kawasan-kawasan yang berlipat di badan. Cara bagaimana ia mandi (sama ada dengan menyelam atau menjirus atau berdiri di bawah shower atau air terjun) tidaklah menjadi syarat asalkan air merata ke seluruh badan (dari hujung rambut hingga ke hujung kaki). Begitu juga, tidak disyaratkan bilangan jirusan tertentu. Jika dengan sekali jirusan sudah dapat meratakan air ke seluruh badan, memadai dengannya. Jika tidak, perlulah diulangi jirusan hingga diyakini air telah sampai ke serata badan. Namun, makruh mandi dengan terlalu banyak air hingga menimbulkan israf (pembaziran). Di dalam hadis, diceritakan bahawa; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- mandi dengan hanya segantang air sahaja” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Anas. Lihat hadis ini dalam Bulughul-Maram, bab al-Wudhu’).
Itu adalah had wajib yang mesti dilakukan ketika mandi hadas. Adapun jika ingin mendapat pahala yang sempurna, hendaklah melakukan juga perbuatan-perbuatan yang disunatkan semasa mandi. Menurut mazhab Syafiie, di antara perbuatan yang disunatkan ketika mandi hadas ialah;
1. Membaca Bismillah.
2. Dimulai dengan membasuh kedua tangan.
3. Menggunakan tangan kiri ketika membasuh kemaluan dan ketika menghilangkan najis di badan jika ada.
4. Mengambil wudhuk sebelum mula mandi.
5. Mandi dari atas ke bawah; yakni dari kepala turun ke kaki.
6. Menggosok celah-celah rambut dengan air, kemudian menjirus air ke kepala dengan tiga kali cebukan air.
7. Mandi dari sebelah kanan, kemudian baru kiri, yakni menjirus badan sebelah kanan dahulu, baru sebelah kiri.
8. Mengulangi mandi sebanyak tiga-tiga kali bagi setiap anggota.
9. Menggosok-gosok badan dengan tangan ketika mandi.
10. Menyelati celah-celah jari tangan dan kaki (jika dikhuatiri air tidak sampai tanpa diselati, wajiblah melakukannya).
11. Membaca doa apabila selesai mandi sebagaimana doa selepas mengambil wudhuk.
Sebaik-baiknya ialah kita melakukan mandi dengan mengikut cara mandi Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Pembaca boleh membacanya di dalam blog ini (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/cara-mandi-hadas-yang-sempurna-dan.html).
Wallahu a’lam.
Thursday, February 3, 2011
MANDI HADAS DENGAN SHOWER DAN BILANGAN JIRUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment